Kapitalis

Monday, December 28, 2015

Heartbreak Compilation 2: Suicide

[credit]  


Melangkah dan terus melangkah. Hidup aku makin tak bermakna dari hari ke hari. Jiwaku kosong dan aku sudah lupa tujuan hidupku. Oh tuhan, kenapa KAU ciptakan aku? Kenapa KAU berikan aku nyawa? Aku dah penat, cukup penat dengan dunia! Dunia yang tak adil dan penuh muslihat! Cukup-cukuplah KAU menyeksa aku wahai tuhan!

 Bangunan pencakar langit aku pandang dengan pandangan lesu seraya berfikir, aku patut habiskan nyawa aku disini. Sudah banyak kali aku cuba membunuh diri tetapi liat sungguh nyawaku nak bercerai dari jasad. Tali gantung aku putus sebelum sempat leher aku terjerut. Apabila aku kelar urat nadiku, jiranku yang datang mahu menumpang tandas segera menyelamatkan aku. Ketika mahu membeli pil tidur di farmasi, boleh pula kehabisan stok dan kelemahan aku yang tak suka bau ubat racun binatang menyebabkan aku tak boleh menelan racun tikus untuk membunuh diri.


Butang lif aku tekan tingkat yang paling tinggi didalam bangunan ini. Otak aku cuma memikirkan tentang cara untuk terjun dan macam mana keadaan jasad aku selepas itu. Arghh, tak perlu fikir tentang itu semua! Aku hanya mahu tamatkan hidup aku!

Tiba ditingkat paling atas, aku melangkah ke penghujung bangunan. Angin bertiup agak kencang malam ini membuatkan tubuhku menggigil kesejukan. Aku menggagahkan kudratku untuk berjalan. Menuju ke sudut paling hujung bangunan ini. Aku nekad! Kali ini aku mesti mati!

“Woi, tunggu turn boleh?!” Mahu terloncat aku apabila ditegur. Hah! Orang yang nak bunuh diri pun takut hantu? Silap hari bulan aku yang jadi hantu.

“Apasal pula? Ni bangunan kau ke?!”

“Argh, aku sampai sini dulu jadi aku patut terjun dulu!” bentak lelaki itu. Dari gayanya, aku agak dia berumur awal 20an. Muda-muda pun nak bunuh diri ke?!

“Weh kisah pula aku siapa sampai dulu!” Kami mula bertekak dan aksi tolak-menolak mula berlaku. Masing-masing tak mahu mengalah dan mahu terjun dahulu.

“Eh apa kata kita terjun sama-sama je? Kan senang? Nak gaduh apa kan?” cadang lelaki itu. Haah. Aku hampir tergelak memikirkan betapa bodohnya kami. Bangunan ini luas dan tak ada masalah pun jika kami terjun bersama-sama.

“Err tak macam pasangan gay yang frust kan?” soalku bodoh-bodoh alang.

“Tak kecuali kau nak terjun sambil berpegangan tangan. Dah jom panjat hujung sana tu.” Aku mengangguk dan mula mengikut.

“Hoi, apa korang buat kat sini malam-malam buta ni?!” Alamak! Tiga orang pengawal keselamatan mula berlari ke arah kami. Tak sampai tiga minit kami ditahan.

“Apa ke gila budak-budak zaman sekarang! Atas bumbung ni pun nak buat main! Hish!” Aku hanya mendiamkan diri. Mahu naya jika mereka tahu niat asal aku.





Setelah cubaan untuk membunuh diri aku gagal, aku menjalani kehidupan seperti biasa tapi dalam masa yang sama aku mencari cara-cara baru untuk membunuh diri. Pelbagai sumber bacaan dan filem aku rujuk supaya mendapat idea yang lebih baik.

Bukan aku tak pernah berjumpa kaunselor tapi setiap kali aku pergi, aku tak dapat meluahkan perasaan aku sepenuhnya kerana aku sukar untuk mempercayai orang lain. Dalam fikiranku, masalah aku maka aku sahaja yang perlu menanggungnya bukan orang lain. Tak ada istilah berkongsi masalah!

Telefon pintar aku berbunyi namun aku hanya membiarkan sahaja. Tak lama kemudian, satu mel baru masuk ke peti emelku. Aku segera bertindak melakukan kerja yang biasa aku lakukan. Memanipulasi pasaran saham sehingga menjatuhkan kedudukan sesuatu syarikat. Kerja yang memberikan aku banyak wang tapi semakin hari jiwaku makin kosong dan parah.Apa guna aku hidup jika sepanjang hidup aku hanya menyusahkan orang lain? Bakat aku digunakan untuk mendatangkan kejatuhan! Argh!! Aku patut mati!

“Bagus kerja kau Orion! Aku bayar kau tiga kali ganda dari biasa sebab kau berjaya buat mereka huru-hara kurang dari dua jam. Hahahaha!” Aku hanya mendiamkan diri. Perbualan melalui panggilan video atas permintaan pelanggan aku. Seperti biasa aku tak mendedahkan identitiku. Cukup dengan topeng muka dan hoodie. Aku hanya berkomukasi melalui papan kekunci.

“Kau boleh periksa akaun kau sekarang. Aku harap kau kekalkan prestasi kau.” Aku hanya mendiamkan diri. Dalam hati aku berharap yang ini adalah kali terakhir aku melakukan perbuatan terkutuk ini. Aku nak mati!





Keretaku pandu agak laju menaiki cenuram menuju ke Bukit Fraser. Waktu senja dan hari bekerja membuatkan jalan itu lenggang dan tiada satu pun kereta yang melalui jalan itu. Suasana jalan yang dikelilingi hutan dan bunyi air terjun mendamaikan aku. Hmm nampaknya aku dah pilih tempat yang bagus untuk mati!

Dalam kegelapan malam itu aku terlihat satu lapangan yang sesuai untuk aku laksanakan rancanganku. Aku memarkirkan kereta dan mematikan enjin. Paip hos yang aku beli aku keluarkan dan mula menyambungkannya ke ekzos kereta. Pita selofan aku lilit dikeliling ekzos dan paip. Penghujung paip aku masukkan ke celah tingkap pintu belakang kereta aku dan ruangannya aku tutup dengan pita selofan. Selesai kerja, aku masuk ke dalam kereta dan mula menghidupkan enjin. Pada mulanya aku terbatuk-batuk dan tekakku rasa perit. Mata mula kabur dan dalam hati aku sudah bersorak ‘ah sudah tiba masa aku!’.

Belum sempat aku menutupkan mata, tingkap kereta aku dipecahkan dari luar dan seorang lelaki membuka pintu kereta lantas menarik aku keluar.

“Encik, kau okay tak encik?!” Lelaki itu menampar-nampar pipiku. Aku yang masih lemah sedaya upaya mengangkat tanganku untuk menyuruhnya berhenti menampar. Sakitlah bangang!

“Oh encik sudah sedar. Dah jom ikut aku? Malam ni ada pasar malam kat Kuala Kubu Bharu.” Eh kejap, mamat ni bengong ke apa? Dia tak nampak ke aku nak bunuh diri tadi? Ada ke orang yang nak bunuh diri bernafsu lagi nak pergi pasar malam?

“Diam maksudnya setuju. Jom? Kereta aku kat sana tu.” Aku dipapahnya ke kereta yang diparkirkan di seberang jalan. Aisy, pelik juga sebab aku tak menolak.

“Kuala Kubu Bharu atau KKB ni orang selalu panggil pekan cowboy. Kat situ pukul lapan malam pun dah senyap sunyi. Kadar jenayah? Hahaha boleh kata tak adalah.” Dia berterus-terusan berborak dengan aku.

“Oh kau nampak tak simpang depan tu? Masuk je ada perkampungan orang Asli dan ada air terjun. Best woo. Kalau dapat berkelah sambil buat barbeque memang cun lah!”

Okay sambung balik pasal KKB, pasar malam diorang ni unik sikit sebab cuma dua kali dalam sebulan je weh! Dah tu bila dah dua kali je, maka ramailah warga KKB yang keluar masa pasar malam. Masa-masa ni jugalah diorang berjumpa yang mana jarang nampak muka sebab kebanyakkan diorang ni kerja luar.”

“Kalau nak bergambar pun banyak lokasi menarik dalam pekan tu sendiri. Ada mural dan permandangan semulajadi keliling KKB ni. Aku ni dah macam pemandu pelancong pula hahaha..” Aku hanya senyum sedikit. Kegigihan mamat ini bercakap dengan aku sedikit sebanyak membuatkan aku geli hati.

“Apa nama kau weh? Aku Dinesh.” Tangan kanannya dihulurkan kepadaku dan lagi sebelah dok kawal stereng kereta.

“Orion.”

“Pergh! Coolnya nama kau, dude! Orion tu bukan pemburu dalam mitos Greek ke? Ada juga bintang dinamakan Orion. Cool! ” Eh, eh seronok pula dia.

Okay kita dah sampai. Jap aku cari valet parking ahahaha..” Asyik ketawa je mamat ni dari tadi. Aku ke dia yang terhidu gas tadi?

“Dulu zaman aku masih budak-budak, sini ada je funfair dalam tiga bulan sekali tapi sekarang ni tapak funfair ni pun dah ditukar kepada bangunan TnB. Bangunan ni pun dah macam bangunan kosong pun ada aku tengok. Buat rugi tapak funfair aku je!” Okay yang ni lawak. Aku ketawa sedikit. Sengal punya Dinesh! Kau nak buat macam mana kalau dah tu perancangan kerajaan negeri?

“Ha..baru nampak kau tayang gigi. Aku rasa kau patut try yong tau fu kat sini. Jom!” Aku mengangguk. Lupa terus pada hakikat yang baru sekejap tadi aku cuba untuk bunuh diri.

Satu demi satu gerai si Dinesh bawa aku. Bayangkanlah berapa banyak beg plastik kat tangan aku. Tujuan asal nak beli yong tau fu bertukar kepada pesta beli-belah untuk seminggu rumah Dinesh.

“Eh kejap ni Patti aku suruh beli sayur.” Aku terus ketawa dengan gelagat Dinesh yang terkocoh-kocoh berlari ke gerai menjual sayur.





Selesai membeli, aku dan Dinesh duduk berehat di stesen bas Kuala Kubu Bharu. Kami mula makan yong tau fu yang dibeli tadi dan berborak seperti sudah kenal lama.

“Tunang aku mati bulan lepas.” Eh apasal dia tiba-tiba cerita pasal ni? Aku menunjukkan muka terkejut namun Dinesh hanya senyum memandang aku.

“Aku bertunang dengan dia lama juga. Hmm adalah setahun dan persiapan untuk perkahwinan pun aku dah buat sikit-sikit demi dia.” Dinesh bersandar pada tiang dan matanya memandang jauh pekat malam.

“Dia mati akibat kemalangan. Pada mulanya aku sedih macam nak gila tapi tak lama. Aku jumpa sepucuk surat dalam beg tangan dia.” Dinesh berhenti seketika untuk menghirup air teh O yang dibeli tadi.

“Dalam surat tu dia tulis yang dia nak minta putus. Dia cintakan lelaki lain dan terpaksa terima aku sebab aku pilihan keluarga dia. Dah siap letak setem bagai tapi aku rasa dia mati masa dalam perjalanan nak ke pejabat pos tu.”

 “Bila aku fikir balik memang kelakar apa yang terjadi pada aku. Keluarga aku ingatkan aku sedih sangat sebab dia mati tapi sebenarnya aku sedih sebab setahun masa aku dihabiskan pada orang yang tak cintakan aku langsung.” Dinesh menghabiskan teh O dan membuang plastik bekas minuman ke dalam tong sampah.

“Kau ada fikir nak mati ke?” soalku tiba-tiba.

“Ada juga tapi aku rasa lebih baik aku habiskan hidup aku dengan orang yang menghargai kehadiran aku. Aku rasa aku perlu hidup untuk diri aku sendiri bukan sebab orang lain,” jawabnya yakin.

“Macam mana kalau kau rasa hidup kau cuma mendatangkan kejatuhan orang lain? Kau rasa nak mati tak?” Aku menelan liur. Pahit memikirkan apa yang pernah aku lakukan selama ini. Banyak syarikat-syarikat kecil yang aku hancurkan hanya kerana mahu memberi untung lebih kepada syarikat-syarikat gergasi yang mengupahku.

“Benda yang buat kau bahagia selalunya tak akan memusnahkan orang lain. Okay, kau pernah dengar orang yang membunuh rasa bahagia tak? Atau pencuri rasa bahagia dan aman damai tak? Tak kan? Jadi kau perlu hidup dan bahagiakan diri kau. Buat sesuatu yang mendatangkan faedah pada kau dan orang lain. Aku pasti kau akan rasa hidup kau lebih bermakna dan kau tak akan fikir nak mati.”

Aku mula menunduk. Rasa diriku tak berguna kerana tak mampu membezakan yang baik dan yang buruk.

“Aku boleh bantu kau kalau kau nak mulakan hidup baru Orion. Tinggalkan segala benda yang negatif dan aku yakin kau tak terlambat untuk berubah.” Dinesh menepuk bahuku. Memberikan kekuatan kepada aku yang rapuh jiwa.

“Dinesh, aku tak mahu mati.” Aku memandang Dinesh di sebelah aku. Satu keazaman membuak dari dalam hatiku. Keazaman untuk menghargai hari-hari yang dikurniakanNya. Keazaman untuk meninggalkan kehidupan sebagai Orion di belakang. Berusaha untuk mencari hidup yang lebih bermakna. Mengembara untuk mencari makna kehidupan.


“Aku bukan Orion. Aku Hafiz.”

4 comments:

lebah comel said...

Best sngt..

Norlyana Nasrin said...

@lebah comel: Alhamdulillah. Thanks sudi baca & komen.

(^-^)v

razdibastory said...

Asalamualaikum. best sangat. bila sambungan isteriku ratu ais? tasabar.. hehe

Norlyana Nasrin said...

@razdibastory:Waalaikumussalam. maaf lambat membalas komen anda. Isteriku Ratu Ais dihentikan penceritaannya di blog dan insyaAllah saya akan keluarkan satu buku khas untuk novel itu.

(^-^)v