Kapitalis

Friday, August 9, 2013

Cerpen: Si Cacat itu Suami Aku..

taken from here  

Suasana meriah di kantin Sekolah Menengah Kebangsaan Ar-Rashiddin ketika waktu rehat memang sesuatu yang normal. Kantin yang serba moden dan bersih itu merupakan kebanggaan warga sekolah dan selayaknya untuk sekolah elit ini.

"Murid-murid sila ke tepi, beri laluan kepada Syed Nazmi." Syed Nazmi hanya menundukkan kepalanya. Tidak suka apabila dirinya menjadi tumpuan murid-murid lain. Cikgu Dian merupakan guru yang bertugas pada minggu ini cukup menjengkelkannya. Bukan dia tak tahu yang Cikgu Dian sengaja mengambil hatinya kerana papanya penyumbang terbesar dalam dana sekolah.

"Argh! Apa ni cikgu?! Kami dah beratur lama ni! Takkan pasal si cacat ni kami kena tunggu lagi!" bentak Murshid dengan wajah yang bengis. Murshid memang terkenal dengan sikap samsengnya dan dia bukan seorang yang boleh berkompromi.

"Cikgu, tak apa biar saya beratur," Syed Nazmi bergerak mahu beratur dibelakang barisan. Tetapi belum sempat dia melangkah satu suara menghentikan pergerakannya.

"Woi Murshid kau ni memang kurang kesedaran sivik kan?" Wirdatul Husna, kawan baiknya sejak kecil sudah berdiri berdepan dengan Murshid. Tangannya dicekak dipinggang.

"Kau apahal? Aku dah lama beratur okey? Tak cukup lagi ke sivik aku ni?" marah Murshid. Namun marah Murshid tak lama apabila terlihat Humairah yang hanya mendiamkan diri dibelakang Wirdatul.

"Eh Humairah, nak beli croquette ke? Biar Murshid belikan," berubah terus perangai Murshid yang garang. Humairah masih lagi mendiamkan diri. Malas melayan Murshid yang tak habis-habis mengacaunya. Wirdatul menjulingkan matanya ke atas tanda menyampah dengan perangai Murshid.

"Ek eleh, Nazmi yang memerlukan ni kau tak nak tolong! Dah tepi biar Nazmi beli dulu. Agak-agak la dia nak beratur panjang dengan tongkat dia. Penat tahu?" Wirdatul sudah menjengilkan matanya kepada Murshid.

"Yelah, sebab ada Humairah aku bagi. Dah apa kau tercegat lagi? Pergilah beli!" gertak Murshid melihatkan Syed Nazmi yang hanya mendiamkan diri dari tadi. Cikgu Dian pula sudah hilang entah ke mana. Mungkin malas masuk campur dalam pergaduhan murid-murid elit.

"Terima kasih Murshid" ucap Syed Nazmi tanpa memandang langsung ke arah Wirdatul dan Humairah. Sebenarnya dia berasa malu apabila dirinya dipertahankan oleh perempuan terasa dirinya amat lemah dimata sahabatnya itu.

"Nazmi, wallet awak jatuh." dengan pantas Humairah mengutip dompet duit Nazmi dari lantai dan menepuk-nepuk sedikit sebelum menyerahkannya kepada Syed Nazmi. Syed Nazmi memandang wajah Humairah ketika gadis itu menghulurkan dompetnya. Merah padam wajah gadis itu apabila melihatkan Syed Nazmi yang terpegun dihadapannya.

"Woi cacat, jangan nak pandang awek aku lebih-lebih!" Murshid berang lalu menolak kasar bahu Syed Nazmi. Malang nasib lelaki itu apabila dia hilang imbangan dan kepalanya terhantuk pada palang besi.

"Nazmi!!" jeritan sang gadis kedengaran sebelum matanya terpejam.


"Nazmi! Kenapa tak siap lagi ni?" Teguran mamanya, Puan Sri Syarifah Haslinda mengembalikan dirinya ke alam nyata. Peristiwa 10 tahun lepas masih segar dalam ingatannya dan disebabkan peristiwa itu dia ditukarkan ke sekolah lain oleh kedua ibubapanya yang bimbang akan keselamatan dirinya. Berkali-kali dia memohon untuk tidak ditukarkan sekolah namun rayuannya tidak dipedulikan.

"Mama, sekejap lagi Nazmi turun ye? Nazmi tengah cari stoking ni" tutur Nazmi lembut lalu mengatur langkahnya yang pincang ke arah almari bajunya. Kini dia sudah boleh berjalan tanpa bantuan tongkat setelah menjalani latihan fisioterapi yang intensif di sebuah hospital swasta.

"Yelah, hari ni kamu jangan balik lambat ye? Ada kawan mama nak datang" Nazmi hanya menganggukkan kepala tanda faham. Pelik juga kerana sebelum ini jika ada tetamu, mamanya tidak sibuk-sibuk memberitahunya tentang kedatangan mereka namun kali ni, mamanya siap menyuruhnya balik awal.

Setelah siap berpakaian, Syed Nazmi turun ke tingkat bawah untuk turut sama bersarapan dengan papa dan mamanya. Tan Sri Syed Imran yang sibuk membaca surat khabar hanya memerhatinya dengan ekor mata. Syed Nazmi segera menyalami papanya sebelum duduk di meja makan. Mamanya yang baharu datang dari dapur meletakkan mangkuk berisi nasi goreng ditengah-tengah meja. Mamanya memang suka menyediakan sendiri makanan untuk mereka tanpa bantuan pembantu rumah.

"Abang, jangan lupa hari ni kawan Linda nak datang. InsyaAllah lepas Maghrib diorang sampai. Abang jangan lambat ye?" pesan Puan Sri Syarifah Haslinda sambil mencedok nasi goreng yang masih panas ke dalam pinggan suaminya.

"Ye, dah banyak kali awak beritahu" jawab Tan Sri Syed Imran malas. Penat juga apabila isterinya asyik mengingatkan perkara yang sama sejak malam tadi.

"Yelah, Linda takut abang lupa je, abang kan busy," perlahan suara Puan Sri Syarifah Haslinda lalu mencedok nasi goreng ke dalam pinggan Syed Nazmi pula.

"Alolo mama kamu nak merajuk la tu, ye sayang, abang balik awal ye?" usik Tan Sri Syed Imran lalu mengenggam erat tangan isterinya. Puan Sri Syarifah Haslinda senyum senang dengan pujukan suaminya itu. Syed Nazmi hanya tersenyum melihat gelagat kedua ibubapanya yang masih romantik walaupun sudah melayari bahtera rumahtangga selama hampir 30 tahun.

"Aik senyum sorang-sorang pula kamu ni Nazmi, cepat makan! Kita ada meeting pagi ni," tegur Tan Sri Syed Imran sebelum mengetawakan Syed Nazmi yang sudah tersedak.

"Papa ni.." rungut Syed Nazmi lalu meneguk segelas air untuk menghilangkan perit ditekaknya. Mamanya turut mengetawakannya yang tersedak gara-gara ditegur ketika mengelamun.



Nazmi meletakkan beg kerjanya didalam laci meja kerjanya. Tangannya segera mencapai fail-fail penting untuk mesyuarat yang akan bermula kurang dari 20 minit. Air mineral diatas mejanya diteguk untuk menghilangkan gugup. Sebentar lagi dia akan membentangkan kertas kerjanya dihadapan semua pemegang-pemegang saham terbesar syarikat milik papanya ini. Walaupun dia anak papanya, namun dalam syarikat statusnya tetap sama seperti pekerja-pekerja yang lain.

Syed Nazmi melangkah masuk ke dalam bilik mesyuarat setelah tiba masanya. Belum sempat dia mendapatkan tempat duduk, matanya terpaku kepada seorang gadis bertudung labuh yang duduk tak jauh dari tempat duduknya. Sempat juga gadis itu melemparkan senyuman kepadanya dan menegur wakil-wakil syarikat yang lain. Gayanya sungguh professional dan masih menjaga batasan-batasan syarak cukup menarik hati Syed Nazmi.

"Ehem..Nazmi? Saya rasa kamu dah boleh mulakan pembentangan,"tegur papanya dengan suara yang agak tegas. Syed Nazmi berdehem untuk menghilangkan gugup lalu memulakan perbentangannya dengan lancar dan berjaya menjawab semua soalan-soalan yang ditujukan kepadanya dengan tenang. Sekali-sekala dia melarikan pandangannya ke arah gadis bertudung labuh itu.

"Tahniah Nazmi! Bagus perbentangan kamu, pandai kamu mendidik anak Imran," puji Tan Sri Muiz sambil menepuk-nepuk bahu Syed Nazmi. Papanya apa lagi senyum melebar sehingga ke telinga mendengarkan anaknya dipuji dihadapan pemegang-pemegang saham yang lain.

"Alhamdulillah semua berjalan dengan lancar," ucap Syed Nazmi lalu melemparkan senyuman kepada Tan Sri Muiz, jutawan tersohor di Malaysia yang mengamalkan perniagaan bercirikan Islam dan cukup disegani di rantau Asia.

"Baiklah Imran, aku balik dulu. Apa-apa nanti kau update kat aku okey?" pamit Tan Sri Muiz sebelum mendapatkan gadis bertudung labuh yang asyik berbual dengan wakil wanita dari syarikat lain. Putih mata Syed Nazmi melihatkan Tan Sri Muiz memaut bahu gadis itu dengan mesra lalu pergi meninggalkan syarikat mereka.

"Pandang apa tu Nazmi?" tegur papanya dengan wajah yang pelik. Syed Nazmi hanya menggelengkan kepalanya lalu melangkah masuk ke dalam bilik pejabatnya. Kecewa kerana gadis yang sempat diminatnya seketika milik orang.


Petang itu, dia dan papanya pulang awal ke rumah. Takut jika mamanya melancarkan perang dingin kepada mereka jika mereka sampai lewat di rumah. Puan Sri Syarifah Haslinda tersenyum lebar sebaik sahaja melihat kereta mereka masuk ke perkarangan rumah.

"Assalamualaikum, ucap Tan Sri Syed Imran dan Syed Nazmi serentak. Syed Nazmi segera bersalam dengan mamanya yang sudah siap sedia menunggu mereka di halaman rumah.

"Waalaikumussalam, bagus-bagus. Dua-dua bertindak mengikut arahan, kalau tak memang mama merajuk sepuluh tahun!" gurau Puan Sri Syarifah Haslinda lalu mendapatkan suaminya untuk bersalaman. Tan Sri Syed Imran sempat menghadiahkan kucupan didahi isterinya.

"Amboi sampai sepuluh tahun! Dah siap ke semua persiapan ala Diraja awak tu?" usik Tan Sri Imran dengan senyuman.

"Dah, tinggal kek je dalam oven tu," balas Puan Sri Syarifah lalu memaut lengan suaminya mesra. Syed Nazmi hanya menggelengkan kepala dengan telatah kedua ibubapanya.

"Nazmi naik atas solat dulu ye," pamit Nazmi sebelum mengaturkan langkah. Tan Sri Imran dan Puan Sri Syarifah hanya menganggukkan kepala mereka.



Selepas Maghrib, tetamu yang dinanti-nantikan pun tiba. Terkejut besar Nazmi apabila melihat gadis bertudung labuh siang tadi turut muncul sebagai tetamu dirumahnya.

"Mia, Iqram! Dah lama kita tak jumpa kan? Sihat?" Puan Sri Syarifah memeluk tubuh tinggi lampai sahabatnya itu. Perbezaan ketinggian yang agak ketara itu membuatkan mereka kelihatan kelakar.

"Alhamdulillah sihat, Linda?" tanya Mia Hana. Iqram dan Tan Sri Imran hanya tersenyum dengan gelagat isteri mereka.

"Alhamdulillah sihat juga. Ni anak kedua Mia kan? Apa namanya?" Puan Sri Syarifah memerhatikan anak dara Mia Hana yang manis bertudung labuh dan dipadankan dengan jubah dua lapis. Gadis itu terus mendapatkan Puan Sri Syarifah untuk bersalaman.

"Myra Humairah, Puan Sri," dengan senyuman yang tidak lekang dibibir, gadis itu menjawab pertanyaan Puan Sri Syarifah.

"Eh tak payah nak Puan Sri sangatlah Myra, panggil makcik je. Anak sulung kamu mana Mia?" Berkenan hati Puan Sri Syarifah dengan sikap sopan santun anak dara Mia dan Iqram itu. Didalam otaknya, dia sudah memasang angan-angan.

"Ikmal dekat Mekah temankan atuknya tunaikan haji, sambil-sambil tu dia buat sekali. Anak-anak awak yang lain mana Linda?"

"Najmi macam biasa la terbang, Hanis pula study lagi. Kat rumah ni tinggal si Nazmi je," Nazmi yang sedang sedang bersalaman dengan Pakcik Iqram sempat mengerling ke arah gadis bertudung labuh itu namun cepat-cepat dia mengalihkan pandangan apabila Myra Humairah mula perasan yang dia asyik memandang gadis itu.

"Haih takkanlah berdiri je? Jomlah ke meja makan, Linda dah siap masak dari siang tadi lagi," pelawa Tan Sri Imran.

"Hehehe..lupa pula. Seronok dapat jumpa kawan lama punya pasal," Puan Sri Syarifah menarik tangan Mia Hana dan Myra Humairah ke meja makan. Para suami dan Nazmi hanya mengekor dari belakang biasalah kalau orang perempuan dah berkumpul, suami dan anak dilupakan huhu..



"What mama?! Seriously?!" Terkejut beruk Syed Nazmi dengan perkara yang dikhabarkan oleh mamanya. Mahu tak terkejut, dia dipinang oleh Myra Humairah, gadis bertudung labuh yang hanya ditemui dua kali.

"Tapi bukan Myra tu dengan Tan Sri Muiz ke ma?" Syed Nazmi teringat akan perkara yang membuatkannya patah hati dengan gadis itu.

"Kamu merepek apa ni Nazmi? Tan Sri Muiz tu kan bapa saudara Myra! Mengarut betul kamu ni." Puan Sri Syarifah sudah mencekak pinggang. Geram dengan Syed Nazmi yang suka membuat kesimpulan sendiri.

"Mama pun sebenarnya terkejut juga bila Mia call mama tadi. Myra sendiri yang nak papanya pinang kamu. Kamu nak tak?" Syed Nazmi sudah menguntum senyum. Hatinya mula melagukan lagu gembira.

"Nak la mama." Puan Sri Syarifah terus memeluk anaknya. Gembira hajatnya untuk memenantukan Myra dalam diam sudah disetujui anaknya. Walaupun dia sendiri tak menyangkakan yang gadis itu berani melamar anaknya. Syukur anaknya yang tak begitu sempurna sudah menemui jodoh.

"Tapi Myra tak kisah ke Nazmi cacat?" soal Syed Nazmi tiba-tiba membuatkan Puan Sri Syarifah tersentak.

"Nazmi, mama pasti insyaAllah Myra tak kisah lagipun Nazmi pun dah tak pakai tongkat dan tak perlukan bantuan sesiapa untuk bergerak," Puan Sri Syarifah mengelus pipi anaknya. Syed Nazmi yang cacat kakinya akibat kemalangan jalan raya, semakin pulih walaupun pergerakannya agak pincang.

Syed Nazmi hanya mengangguk. Terasa kelakar pula dirinya dilamar seorang gadis.

"Hmm Myra kalau boleh nak nikah terus. Kamu okey tak?" Lagi sekali Syed Nazmi terkejut. Macam tak sabar-sabar pula Myra Humairah ni. Timbul rasa curiga dihati Syed Nazmi namun dia segera beristighfar menyingkirkan prasangka yang mula bertapak dihati.



Majlis perkahwinan diantara Syed Nazmi dan Myra Humairah diadakan dengan penuh gilang-gemilang. Majlis yang dirancang oleh Puan Sri Syarifah dan Mia Hana dengan menggunakan tema warna perak tampak ekslusif dan memikat mata yang memandang. Myra Humairah menggenakan jubah gaun yang labuh dan tidak mengikut bentuk badan berwarna turquoise berjaya mencuri tumpuan tetamu yang hadir kerana tudung yang dipakai juga labuh dan pakaiannya mengikut syarak dan tidak berlebih-lebihan.

"Selamat pengantin baru Myra dan Nazmi!" ucap Wirdatul Husna dengan sengihan melebar.

"Husna! Alhamdulillah awak sempat datang! Saya ingat awak kat Tokyo lagi," Myra Humairah memeluk sahabatnya yang amat dirinduinya. Kini Wirdatul Husna menetap di Tokyo kerana mengikut suaminya yang bertugas di sana.

"Myra kenal Wirdah?" soal Syed Nazmi dengan penuh tanda tanya.

"Syed Nazmi, kau lupa ke kita bertiga ni satu sekolah sebelum kau bertukar sekolah sebab terhantuk dulu?" sinis Wirdatul Husna melontarkan soalan cepumas kepada Syed Nazmi.

"Wait..jadi Myra ni Humairah yang selalu dengan kau dulu ke Wirdah? Subhanallah, kecil betul dunia ni," Wirdatul Husna mengangguk dengan wajah pelik.

"Lah kau tak tahu ke?" Syed Nazmi menggeleng-gelengkan kepala. Dia mula tersenyum sendiri.

"Myra ingat Nazmi dah tahu. Tu sebab Myra senyum kat Nazmi masa meeting hari tu," sopan tutur bicara Myra Humairah. Syed Nazmi segera menggengam jari jemari isterinya. Dia sememangnya tak perasan Humairah yang diminatinya dulu merupakan Myra Humairah yang menarik hatinya.

"Maaf memang Nazmi tak perasan. Eh Wirdah, suami dengan anak kau mana?"

"Ada je kat sana. Murshid temankan Zahin makan. Murshid tu mana boleh lekang dari si Zahin tu. Semua benda pasal Zahin dia nak uruskan," terang Wirdatul Husna sambil melambaikan tangannya ke arah suami dan anaknya.

"Weh okeylah aku nak temankan suami dengan anak aku. Selamat pengantin baru dan semoga kekal sehingga ke syurga"

"InsyaAllah" serentak Myra Humairah dan Syed Nazmi membalas.

"Tak sangkakan jodoh Wirdah dengan Murshid tu," kata Syed Nazmi sambil tangannya masih memegang tangan Myra Humairah. Myra Humairah hanya menjungkitkan bahunya.

"Yela, dulu Murshid tu siap tolak abang sampai terhantuk sebab abang pandang Myra lama-lama. Wirdah pula memang tak suka kat Murshid tu dulu," terang Syed Nazmi dengan senyuman melebar.

"Jodoh itukan rahsia Allah. Kita hanya perlu berusaha, berdoa dan kemudiannya tawakal. Macam Myra, Myra usaha dapatkan abang dengan suruh papa pinangkan abang untuk Myra. Lepas tu Myra berdoa dan tawakal pada Allah. Alhamdulillah ada jodoh antara kita. Myra harap abang boleh jadi imam untuk Myra sepanjang hayat Myra dan semoga kita dapat bersama di jannah kelak insyaAllah." Terpegun Syed Nazmi apabila mendengarkan kata-kata isterinya. Myra Humairah seorang yang pendiam namun bila sekali bersuara, kata-katanya tidak sia-sia dan sesungguhnya dia terharu dengan kata-kata Myra Humairah tadi.

"InsyaAllah sayang," Syed Nazmi membawa tangan Myra Humairah ke dadanya lalu memandang tepat ke dalam kolam mata isterinya. Myra Humairah turut membalas pandangan mata suaminya tersenyum senang dengan perlakuan suaminya. Dua hati yang sama-sama memanjatkan doa kepada Illahi semoga perkahwinan mereka kekal sehingga ke syurga dan diberkati Allah. Amin..