Kapitalis

Thursday, March 21, 2013

Isteriku Ratu Ais - Bab 2

taken from here 

Adriana melangkah keluar dari bilik mandi setelah selesai membersihkan diri dan lengkap berpakaian.

"Tunggu sekejap ye, abang nak mandi lepas tu kita boleh solat sekali" kata Firdaus sambil tersenyum kearah Adriana yang sedang mengelap rambut.

Adriana hanya menganggukkan kepala tanpa memandang Firdaus. Dia sebenarnya sudah berwuduk dan berfikir mahu bersolat terus selepas mandi. Nampaknya dia kena menunggu Firdaus untuk solat berjemaah.

'Abang? Oh dia tua tiga tahun dari aku' getus Adriana dalam hati.

Selepas 10 minit, Firdaus keluar dari bilik mandi dengan hanya bertuala paras lutut. Adriana mengalihkan pandangannya kepada buku yang dibacanya. Terkejut kerana pertama kali melihat Firdaus yang begitu terdedah dihadapannya. Adriana terasa malu namun mukanya langsung tidak menunjukkan apa-apa reaksi.

Firdaus pula dengan selamba memakai pakaian dihadapan Adriana. Baginya tiada apa yang perlu disorok kerana mereka sudah halal diantara satu sama lain.

Adriana terlopong apabila melihat aksi berani suami yang baru dinikahinya itu.

"Dah cukup-cukup la tengok abang, jom solat" Adriana tak sedar yang Firdaus sudah siap berpakaian dan kini berada betul-betul dihadapannya. Adriana pantas menganggukkan kepalanya. Cepat-cepat dia memakai telekung dan mengikut suaminya yang sudah berdiri diatas sejadah. Malam ini merupakan malam bersejarah buatnya. Malam dimana dia terkejut dengan aksi berani suaminya dan dia kini sudah ada imam lain selain papanya.

Selesai solat, Adriana mencium tangan Firdaus dan Firdaus menghadiahinya dengan ciuman di dahi. Muka Adriana masih tidak berubah namun sebenarnya dia berasa gembira dengan perlakuan Firdaus.

"Ana lapar tak?" tanya Firdaus tiba-tiba ketika Adriana sedang menegemas sejadah dan melipat telekung.

"Ana?"

"Oh abang nak panggil Hanan dengan panggilan Ana boleh? Kan nama penuh Hanan, Adriana Hanan? Biar abang rasa istimewa sikit" terang Firdaus sambil tersenyum kearah Adriana.

"Tapi kenapa 'Ana'?" tanya Adriana lagi. Dari dulu dia sememangnya mahukan seseorang untuk memanggilnya dengan panggilan 'Ana'.

"Sebab setiap kali abang panggil Ana, abang akan mengingatkan diri abang tentang tanggungjawab baru abang. 'Ana' kan merujuk kepada 'saya' dalam bahasa Arab? Jadi Ana melambang diri abang juga" jelas Firdaus.

Adriana puas hati dengan penjelasan Firdaus. Dia terus bangun dan menarik tangan Firdaus keluar dari biliknya. Firdaus terpinga-pinga dengan tindakan Adriana.

'Aku salah cakap ke?' getus hati Firdaus yang risau.

"Kenapa ni Ana?" tanya Firdaus apabila Adriana diam seribu bahasa. Dia hanya mengikut kerana ingin menjaga hati isterinya.

"Abangkan lapar." jawab Adriana pendek.

Adriana membawa Firdaus ke dapur. Dia melepaskan tangan Firdaus dan menyuruh Firdaus duduk di meja makan. Firdaus hanya memerhatikan gelagat isterinya dengan penuh khusyuk.

Adriana membuka peti sejuk dan mengeluarkan ayam, kentang, lobak merah dan brokoli. Setelah itu dia memanaskan nasi di dalam periuk nasi. Adriana membersihkan ayam, lobak merah dan brokoli, memotong bahan-bahan itu dan kemudiannya diasingkan. Dia mencapai bawang merah, halia dan bawang putih yang juga kemudiannya dipotong. Setelah itu Adriana menghidupkan api dan memulakan aktiviti memasak. Bawang merah, bawang putih, kulit kayu manis dan bunga lawang ditumis seketika dan dia memasukkan bahan-bahan lain dan air secara berperingkat-peringkat.

"Nasi dengan sup ayam okay?" tanya Adriana. Firdaus hanya mengangguk nak membantah pun isterinya sudah mula memasak dan kini hanya menunggu sup itu mendidih. Sementara itu mereka duduk bersama-sama di meja makan.

"Ana suka memasak?" tanya Firdaus. Adriana hanya menjungkitkan bahu.

"Ana marah dengan abang ke?" Pertanyaan Firdaus membuatkan Adriana memalingkan mukanya kearah Firdaus sambil menunjuk muka pelik.

"Yelah, dahlah kena kahwin dengan abang lepas tu banyak punya permintaan abang tengah-tengah malam ni. Mesti Ana tak suka abang kan? Dari tadi Ana tak senyum" jelas Firdaus panjang lebar. Dia sebenarnya sudah tahu tentang Adriana Hanan yang sememangnya tidak suka menunjukkan perasaannya. Gelaran Ice Queen yang dipegang Adriana bukan diberikan secara suka-suka. Sengaja Firdaus mahu menguji Adriana malam ini. Kalau boleh dia mahu Adriana lebih mesra dengannya.

Adriana terpempan dengan soalan Firdaus. Dia kemudiannya menggelengkan kepala. Dia bukannya dipaksa untuk berkahwin dengan lelaki itu.

"Saya tak kisah. Saya memang jarang senyum" Firdaus agak kecewa dengan jawapan Adriana. Dia sangkakan yang Adriana berkahwin kerana sukakannya. Disebabkan hubungan baik diantara mamanya dan Datin Hafsyah, sewaktu kecil dia sering ke rumah Adriana untuk bermain-main bersama gadis itu namun setelah mereka menginjak dewasa, dia sudah tidak ke rumah Adriana kerana sibuk dengan aktiviti persekolahan dan hidupnya sendiri. Setelah tamat universiti, dia bertemu dengan Adriana ketika majlis doa selamat di rumah Adriana namun gadis itu telah menjadi gadis yang dingin dan tidak bergaul dengan orang lain. Adriana juga seperti tidak mengenali dirinya apabila dia menegur gadis itu ketika majlis itu.

"Jemput makan." Adriana meletakkan sepinggan nasi dan semangkuk sup ayam dihadapan Firdaus. Dia kemudiannya duduk bertentangan dengan suaminya.

"Ana tak nak makan?" tanya Firdaus sambil menghirup sup dari sudu.

'Sedap!' puji Firdaus dalam diam sambil tersenyum kearah Adriana.

"Saya tak lapar" jawab Adriana pendek. Dia meneliti lelaki di hadapannya sambil tersenyum. Firdaus yang sedang berselera menikmati makan lewat malamnya itu tidak sedar yang Adriana sedang asyik merenungnya dan tersenyum kearahnya.

"Terima kasih ye masakkan untuk abang" kata Firdaus sambil membawa pinggan mangkuk ke sinki. Adriana menuju ke sinki dan membantu Firdaus mengeringkan pinggan mangkuk yang siap dicuci Firdaus.

"Sama-sama" jawab Adriana pendek.

Adriana senang dengan perlakuan Firdaus yang ringan tulang. Dia memang benci dengan orang yang suka mengambil kesempatan dan mengharapkan orang lain sahaja. Dalam diam dia mula menyukai personaliti suaminya.


Jam sudah menunjukkan pukul 12 malam. Adriana dan Firdaus bersiar-siar seketika di taman bunga milik Datin Hafsyah.

"Ingat tak dulu kita selalu kena marah sebab petik bunga mama?" Firdaus teringat yang dahulu dia memang suka bermain pelbagai permainan dengan Adriana. Kadangkala mereka bermain masak-masak dan ada kalanya mereka bermain tembak-tembak. Aktiviti memetik bunga Datin Hafsyah pula dilakukan apabila mereka memerlukan bahan 'masakan' ataupun 'mewarna' dalam permainan mereka. Pandai sungguh menggunakan sumber semulajadi tapi aktiviti jugalah yang membuatkan mereka didenda membersihkan laman rumah yang bersepah dek aktiviti permainan mereka.

Adriana mengangguk. Dia tak akan lupa kenangan yang paling indah dilaluinya ketika kecil. Dia ingat cuma apabila mereka menginjak dewasa, dia terasa malu untuk bertegur dan bercakap dengan Firdaus. Kini rakan sepermainannya sudah menjadi suaminya.

"Dah lama abang tak datang rumah Ana kan? Bila mama cakap nak cari jodoh untuk abang, abang terus cakap abang ikut je sebab abang tahu yang nak dipinang mama pun bukan siapa-siapa mesti Adriana Hanan punya" kata Firdaus. Pengakuan Firdaus itu membuatkan Adriana terkesima.

"Abang sukakan Ana?" tanya Adriana sambil memandang tepat ke mata Firdaus. Orang kata mata tak pandai menipu jadi memang sudah menjadi tabiat Adriana untuk cakap sambil memandang kearah mata apabila dia inginkan penjelasan.

"Sejak dari dulu lagi" jawab Firdaus sambil membalas pandangan Adriana. Adriana tertunduk malu.

"Dah malam sangat ni. Jom masuk tidur" kata Firdaus sambil memimpin tangan Adriana menuju ke bilik tidur. Adriana hanya menurut. Didalam hatinya dia gembira kerana dia berkahwin dengan lelaki yang mencintainya tapi dia sebenarnya masih ragu-ragu dengan perasaannya sendiri.

'Cintakah aku pada Firdaus?' persoalan yang bermain didalam mindanya mula membelenggu dirinya sendiri.


2 comments:

Miss FF said...

Okla Hanan. not bad. wpun dgelar ice queen tp ttp respect en. suami.. juga sorg anak yg baik.

Norlyana Nasrin said...

Adriana Hanan jns cool kt luar dlm dia still tahu apa yg ptt dia buat n hormat