Kapitalis

Tuesday, June 23, 2015

Cerpen: The Other Side

[kredit]    

Imran memutar kunci rumahnya. Pintu terbuka dan dia melangkah masuk setelah memberi salam. Rumahnya tidak mewah tidak juga daif. Cukup untuk dia tinggal berseorangan di bandar besar ini. Langkahnya diatur ke sofa lantas dia melabuhkan punggungnya. Dia baru sahaja mengimamkan solat berjemaah di surau komuniti kejiranannya.

Imam muda. Panggilan jiran-jiran kepadanya. Kadangkala dia sampai malu sendiri memikirkan dirinya hanyalah manusia biasa dan tak terlepas dari dosa. Jolokan itu kadangkala bagaikan satu beban untuk dirinya. Ilmu agama yang ada didalam dada tak sebanyak mana. Namun dia bersyukur dan menganggap panggilan itu sebagai satu doa dan pemangkin untuk dirinya supaya lebih berusaha menjadi seorang Muslim yang baik.


“Allah, mengelamun pula. Dahaga…” Dia bingkas bangun. Hayunan kaki dihala ke peti sejuk.

“Alhamdulillah ada lagi air soya multigrain ni hehehe…” Imran tersenyum sendiri memikirkan tabiatnya yang suka bercakap seorang diri. Kurang-kurang hilang sedikit rasa sunyi.

“Kalau sunyi, kahwinlah Imran oii!” Nasihat dari kakaknya yang ada masa membuatkan dia nak pelangkung juga kakak kesayangannya. Tahulah dia baru kahwin bulan lepas, itu yang seronok nak suruh orang lain sama-sama melangkah ke alam perkahwinan yang tak tahu lagi indah atau…argh! Apa kejadah ingat pasal benda ini masa nak minum air? Ada ke isteri dalam dunia ini yang boleh buat air soya sebiji macam V-Soy Multigrain ini? Hahaha..sah mengarut!

Komputer ribanya dibuka dan dia mula melayari internet. Membuka laman sesawang berita dunia dan menyemak emel. Cukup 30 minit, dia dah mula mengantuk. Dia bukan jenis tidur lewat dan malam nanti dia perlu bangun untuk solat tahajud.


**************


‘Bweeekkkkk’ Segala isi dalam perutnya dimuntahkan keluar. Gwen menunduk menahan sakit. Mukanya mula bertukar pucat dan badannya tak usah ceritalah.

“Yang kau minum banyak-banyak tu kenapa? Dah tahu tak pernah minum arak apasal minum macam orang gila?!” Bebelan rakannya itu masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tadi buat kali pertama dalam hidupnya dia menjejakkan kaki ke pusat hiburan. Akibat terlalu tertekan dengan tekanan hidup, dia mengambil keputusan untuk meminum arak dan fikirnya dia mahu mabuk sehinggakan apabila dia terjun bangunan pun tak terasa sakitnya. Tapi..jangankan terjun bangunan, muntah macam ini pun dah cukup menyeksakan.

“Angel, hantar aku balik.” Angel nama rakan baiknya tapi kadangkala lebih kepada ‘Demon’ perangai perempuan itu.

“Balik mana? Rumah parents kau ke?” Nampak tak ke’demon’an si Angel?

 “Rumah akulah.” Angel yang diarahkan untuk tidak meminum air kencing syaitan menjadi pemandunya malam ini.

Fine!” Angel memapah tubuh Gwen masuk ke dalam kereta. Walaupun dalam hatinya dia menyumpah dek bau busuk muntah Gwen namun dia tidak sampai hati untuk meninggalkan rakan baiknya ditepi lorong pusat hiburan ini.


************


Bunyi gugusan anak kunci yang terjatuh mengejutkan Imran dari tidurnya. Jam menunjukkan pukul empat pagi. Imran bingkas bangun dari tidur lantas bersegera untuk membersihkan diri. Dalam diam dia berterima kasih kepada jirannya yang terjatuh kunci kerana berjaya mengejutkannya dari tidur. Entah kenapa jamnya tidak berbunyi pula hari ini.

“La aku salah set alarm rupanya. Thank you la jiran…” Imran segera mendirikan solat-solat sunat malam. Sebelum Subuh nanti dia perlu ke surau komuniti.

Jam menunjukkan pukul lima setengah pagi. Imran melangkah keluar dari rumahnya dengan bacaan basmallah dan ayat Kursi. Sayup dia terdengar bunyi suara orang menangis teresak-esak. Langkahnya dihentikan dan dia cuba mencari sumber dari mana bunyi itu datang. Namun suara itu sudah tidak kedengaran lagi maka dia meneruskan perjalanannya ke surau komuniti.

“Kot la syaitanirrojim nak main-mainkan aku pagi-pagi ni. Astaghfirullahalazim.” Imran menggelengkan kepalanya sambil tersenyum.



*************


“Mana kunci kau ni Gwen?” Angel menyelongkar beg tangan Gwen mencari kunci rumah rakan baiknya itu.

“Ada segugus dalam tu cari la,” balas Gwen lemah. Tubuhnya betul-betul lemah dek asyik termuntah. Tadi pun beberapa Angel terpaksa memberhentikan kenderaan dibahu jalan kerana dia tak habis-habis mahu termuntah. Kuat betul penangan alcohol bomb yang diminum tadi.

“Mana?” Angel yang mula hilang sabar menterbalikkan beg tangan Gwen. Segala benda terkeluar dan barulah terjumpa gugusan kunci yang dimaksudkan. Serius betullah kata orang, beg tangan perempuan memang macam black hole. Gwen mengapai gugusan kunci dan mula membuka pintu rumahnya. Bikin meriah sahaja si Angel ini. Mahu terkejut satu kejiranan dengan bunyi barang-barangnya yang jatuh.

Masuk ke dalam rumah, Gwen berlari ke tandas. Tekaknya masih meloya dan rasa ingin termuntah membuak-buak.

“Gwen, aku balik dululah. Apa-apa kau call hospital sebab aku tak tahu nak tolong macam mana. Bye!” Gwen hanya mampu mengangguk. Bunyi pintu yang sudah ditutup menguatkan tanggapan yang Angel betul-betul sudah balik meninggalkan dirinya keseorangan. Menderita seorang diri akibat perbuatan bodohnya sendiri. Padan muka!

“Sumpah aku tak mahu sentuh arak lagi!” Dia mengelap mulutnya setelah berkumur. Air oren dibawa keluar dari peti sejuk ditunggang rakus. Dia dahaga dan sekurang-kurangnya air oren ini dapat mengurangkan rasa mualnya. Kakinya membawa tubuh separuh matinya ke verandah. Matanya membuang pandangnya ke bawah. Kalau dia terjun dari verandah ini pun tak akan mati sebab dia tinggal di tingkat dua di kompleks apartment empat tingkat ini. Bau busuk badannya setelah muntah dan bergelumang dengan asap rokok di pusat hiburan membuatkan dia terasa dirinya kotor.

“Mandilah.” Dia melangkah perlahan ke bilik mandi. Tab mandinya perlahan diisikan air panas bercampur sejuk. Pagi-pagi begini dia tak sanggup nak mandi air sejuk. Entah kenapa dia diserang perasaan sedih secara tiba-tiba dan mula menangis semahu-mahunya. Teringat akan sebab dia meminum minuman keras dan cubaan untuk membunuh diri yang tak berjaya. Dia tertekan dan dia benci dengan dirinya sendiri. Tubuhnya masuk ke dalam tab mandi dan dia duduk meluruskan kakinya. Air matanya masih mengalir laju bagaikan tak mahu berhenti.

“Bodoh!” Dia mengesat air mata lalu membenamkan kepalanya.



************


“Meran, pakcik nak tanya Meran ni ada calon belum?” Tersedak Imran dengan pertanyaan Bilal Aziz yang agak tak boleh blah selepas solat Subuh berjemaah.

“Calon apa pak bilal?” Sengaja dia buat-buat tak tahu sebab serius dia cukup malu apabila ditanyakan soalan sebegitu.

“Ni ha..ramai juga anak-anak gadis kat sini yang asyik terjeling-jeling kat Meran. Tak mahu ambil satu buat isteri ke?” Imran menggaru kepalanya yang tak gatal. Gadis-gadis zaman sekarang ini ramai yang dah hilang malunya. Kadangkala, Imran sendiri naik seram dengan sikap agresif gadis di komuniti perumahannya yang ‘menyerang’ kalah singa lapar.

“Macam ni la pak bilal, saya ni kalau dah berkenan memang saya sunting terus. Masalahnya sekarang, tak ada satu pun yang berkenan di jiwa saya ni.” Ehey jawapan terus-terang dari Imran bukan Ajmain. Bilal Aziz terus ketawa lalu menepuk-nepuk bahu Imran.

“Memilih juga kamu ni Meran. Betul juga, kahwin bukan untuk sehari dua maka sila pilih peneman hidup yang boleh sama-sama membimbing ke syurga.” Imran hanya mampu tersenyum dan mengangguk faham. Memilih? Entah, yang pasti tak ada lagi gadis yang berjaya sangkut dihati Imran.


**************


Hujan turun renyai-renyai pagi itu, suasana sejuk menikam sehingga ke belulang mengejutkan Gwen yang masih berkelubung dengan selimut tebal. Elok pula masa-masa ini penyaman udara rumahnya rosak dan hanya boleh dibuka pada suhu rendah. Memang menggigil satu badan.

“Sabtu yang gloomy.” Gwen bangkit lalu menyelak langsir tebal bilik tidurnya. Hujan-hujan begini dia akan teringat akan ayahnya. Dulu ayahnya suka menyanyikan lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sambil memetik gitar cabuknya ketika hujan turun. Lagu yang dinyanyikan pelbagai namun yang selalu dimainkan oleh ayahnya ialah lagu ‘Tunggu Sekejap’ dari filem Sarjan Hassan. Kakinya diatur ke piano lantas dimainkan lagu yang sedang bermain difikirannya.

Gwen duduk bersandar setelah puas bermain piano. Air matanya mula mengalir. Ayahnya terpaksa berpisah dengan dia dan ibunya ketika dia masih bersekolah menengah. Semuanya kerana ayahnya memeluk agama Islam dan ibunya tak mahu mengikut. Ibunya meminta cerai dan membawanya lari ke Semenanjung Malaysia. Kini ibunya sudahpun berkahwin lain dan tak pernah sekali pun dia menghubungi ayahnya kerana dihalang ibu. Sebaliknya, ayahnya sering menghantar emel bertanya khabar memandangkan hanya alamat emelnya sahaja yang ayahnya ada. Pada mulanya dia ada membalas namun setelah beberapa ketika dia berhenti membalas kerana berasa canggung.

Telefon rumahnya dicapai dan dia mula menekan nombor telefon ayahnya. Nasib baik ayahnya ada memberikan nombor telefon melalui emel. Tiga kali deringan sahaja, panggilan terus disambung.

“Assalamualaikum, hello?” Bagaikan hilang suara, Gwen terpaku setelah mendengar suara ayahnya.

“Gwen? Ini Gwen kah?” Gwen terus menangis semahu-mahunya. Kuat sungguh gerak hati ayahnya.

“Ayah, I miss you.” Kedengaran suara tua itu turut menangis gembira.


*******************


Imran yang baru sahaja pulang dari membeli sarapan segera masuk ke dalam rumahnya apabila mendengar bunyi piano yang dimainkan oleh jirannya. Entah kenapa dia memang suka mendengar alunan muzik yang dimainkan oleh jirannya itu. Agaknya, jirannya ialah pakcik tua berumur  yang suka akan lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Telinganya dirapatkan kedinding dan dia mula menikmati alunan muzik dari rumah sebelah. Tanpa sedar dia terikut menyanyi bersama alunan muzik.

“Subhanallah, pandai betul jiran aku ni main piano. Tak apa, insyaAllah lain kali aku pergi tegur dia.” Imran segera bersiap-siap. Dia perlu ke rumah kakaknya. Mak dan ayahnya datang dari kampung dan kini berada dirumah kakaknya. Telefon pintarnya yang berbunyi terus diangkat.

“Assalamualaikum, ha mak. Imran baru nak keluar dari rumah ni. Oh okey nanti kalau Imran nampak ada orang jual nanti Imran beli ye? Lima bungkus air kelapa je kan? Okey, assalamualaikum mak.” Imran segera menyarung kasut. Seperti kebiasaan, dengan basmallah dan ayat Kursi, Imran melangkah keluar dari rumah.

Tiba di tempat memarkir kenderaan, Imran ditegur oleh Makcik Salwa, jiran yang sering memujuknya untuk membeli karpet daripadanya.

“Hai Meran, nampak macam nak cepat je? Nak jumpa awek ke imam muda kita ni?” teguran Makcik Salwa disambut dengan gelak ketawa dari geng makcik-makcik yang selalu membeli barang dagangannya.

“Assalamualaikum makcik-makcik. Saya nak jumpa mak dan ayah saya. Kebetulan mereka singgah rumah kakak saya. Hmm saya gerak dulu ye? Assalamualaikum.” Geng makcik-makcik itu hanya menayangkan senyuman sumbing. Aik terasa ke? Imran menghadiahkan senyuman dan melambaikan tangan kepada mereka.


 *************

“Apa khabar anak ayah?” Wajah tua ayahnya direnung dengan mata berkaca. Hari ini dia memutuskan untuk bersua muka dengan ayah yang sudah bertahun lama tidak berjumpa. Ternyata ayahnya nampak lebih tua namun wajah ayahnya nampak lain. Namun kelainan itu membuatkan jiwanya rasa damai.

“Baik. Ayah bila pindah Semenanjung?” Gwen menyoal untuk mengurangkan kecanggungan.

“Sudah lama. Ayah cuba cari Gwen dan ibu tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa ayah hari ni. Ayah bersyukur dapat jumpa Gwen sebelum ayah meninggal dunia.” Terdapat air mata bertakung di kolam mata tua itu. Gwen menahan sebak didada. Hidupnya kucar-kacir setelah ibunya berkahwin lain. Lelaki yang kini bapa tirinya seringkali cuba mengambil kesempatan ke atasnya dan bila diadukan kepada ibu, dia dituduh cuba memusnahkan keluarga mereka. Dia bernasib baik kerana telah membeli rumah atas desakan Angel yang juga agen hartanah. Kalau tidak pasti dia akan merempat setelah diusir ibunya.

“Ayah, terima kasih sebab masih mengambil berat akan Gwen walaupun Gwen sering mengelak dari berjumpa dengan ayah. Gwen tak tahu dan malu.” Ayahnya hanya mengusap kepalanya sambil tersenyum.

“Tak apa, macam mana pun Gwen lah satu-satunya anak ayah. Ayah sayangkan Gwen sampai bila-bila.” Gwen sudah tak dapat menahan tangisannya. Sangkanya dia sudah tidak ada sesiapa lagi didunia ini. Ibunya sudah makin tak keruan setelah di’racun’ oleh bapa tirinya yang kononnya dirinya sering menggoda lelaki itu apabila ketiadaan ibu dirumah. Padahal sebaliknya yang berlaku. Sesungguhnya dia tak bernafsu pun dengan bapa tirinya.

“Ayah tahu Gwen sedang runsing. Bersabarlah nak, ingat ayah akan melindungi kamu dan insyaAllah ayah sentiasa doakan kamu sehingga ayah tak ada lagi didunia ini.” Gwen terus memeluk tubuh tua ayahnya. Tubuh itu sudah tak setegap dahulu.Kalau dulu, ayahnya ialah pahlawan didesa dan terkenal dengan kegagahannya.

“Gwen mahu tinggal dengan ayah?” soal ayahnya dengan muka mengharap. Mungkin risau dia tak akan dapat berjumpa dengan anak perempuannya setelah pertemuan ini berakhir.

“Biar Gwen fikir dulu.” Gwen sememangnya memerlukan masa untuk berfikir. Dengan keadaan emosinya yang kurang stabil, ada baiknya dia tinggal bersama ayahnya namun bila difikirkan tentang agama ayahnya dan gaya hidup bebas yang disukainya membuatkan dia serba salah.


*****************


 Imran memarkirkan keretanya di garaj. Kelihatan mak dan ayahnya sedang seronok berbual dengan kakak dan abang iparnya di taman. Air kelapa yang dibeli diserahkan kepada pembantu rumah kakaknya. Segera dia mendapatkan kedua orang tuanya untuk bersalaman.

“Mak dengan ayah tak nak pergi rumah Imran ke?” soalnya setelah selesai bersalaman dengan kakak dan abang iparnya.

“Kau ni dik, mak dengan ayah baru sampai kat rumah kakak kau dah nak ajak pergi rumah kau. Tunggulah kakak melepaskan rindu seminggu dua pastu barulah boleh pass kat kau. Hehehe..” Imran hanya tersengeh dengan gurauan kakaknya. Mustahillah mak dan ayah nak tinggal lama-lama di bandar sedangkan mereka ada perniagaan sendiri di kampung.

“Haahlah korang berdua ingat mak dengan ayah nak menetap terus kat sini ke apa? Oh tidak…ayam, kambing, lembu mak kat kampung tu siapa nak jaga kalau mak melekat kat sini?” Jawapan selamba dari mak mengundang tawa mereka semua.

“Ni mak dengan ayah ni datang nak beritahu yang insyaAllah bulan depan kami berdua nak pergi haji. Jadi nak minta salah seorang dari korang ni balik kampung selalu untuk jenguk kedai tu. Nak duduk sana terus pun tak apa.”

“Isy tak adalah sampai duduk terus. Hiperbola sangat mak kamu ni. Tolong tengok-tengokkan sepanjang kami pergi haji ni je. Macam mana? Insyirah ke Imran nak tolong? Tak pun kamu berdua bergilir-gilirlah pergi tengok.” Imran memandang ke arah kakaknya yang tampak serba salah.

“Hmm saya rasa tak ada masalah kalau mereka berdua bergilir-gilir tengok. InsyaAllah saya boleh temankan Insyirah balik kampung.” Fuh! Sesungguhnya Imran berasa bersyukur dengan abang iparnya yang bertimbang rasa.

“Baguslah kalau macam tu. Hari biasa ayah dah suruh Pak Teh kamu tengokkan cuma seminggu sekali tu biarlah dia berehat dan kamu pula ambil alih.” Imran dan Insyirah menganggukkan kepala. Macam mana pun ini merupakan amanah dari kedua ibubapa mereka. Tak susah pun bagi mereka berdua untuk pulang ke kampung seminggu sekali. Hmm tak jauh pun Tanjung Malim dengan Kuala Lumpur.


************************

Sudah seminggu dia menetap dirumah ayahnya dan sedikit sebanyak dia berasa tertarik dengan gaya hidup Islamik ayahnya. Ayahnya semakin mudah didekati berbanding dulu dan dia dapat merasakan kasih sayang sepanjang berada dirumah ayahnya itu.

“Gwen suka tinggal dengan ayah?” Gwen mengangguk mengiyakan pertanyaan dari ayahnya.

“Masih tak mahu pindah terus ke sini?”

“Gwen suka dengan rumah yang Gwen tinggal sekarang. Jangan risau, Gwen akan selalu lawat ayah. Lagipun rumah Gwen tak jauh pun dari sini.” Gwen memegang erat tangan ayahnya. Setelah berfikir panjang, dia mahu hidup berdikari dan mengenal dirinya sendiri.

“Baiklah jika itu kemahuan Gwen. Tapi kalau bila-bila Gwen rasa nak tinggal dengan ayah, pintu rumah ayah sentiasa terbuka untuk Gwen.”

“Terima kasih ayah.” Gwen memeluk tubuh tua ayahnya. Agak canggung namun dia berasa gembira apabila ayahnya membalas pelukannya.

“Tak. Terima kasih sebab sudi terima ayah semula.” Air mata mengalir lagi namun kali ini ia adalah air mata kegembiraan.


*************************


Seminggu dia tak mendengar alunan muzik dari piano jiran sebelahnya. Terdetik juga dihati yang mungkin pakcik tua sebelah rumahnya itu sakit. Semalam dia ada mengetuk pintu rumah jirannya namun tiada jawapan. Hajatnya, dia mahu mengajak ‘pakcik tua’ itu untuk makan bersama-sama memandangkan dia ada memasak lauk lebih semalam.

“Pergi bercuti kot pakcik ni sebab satu bunyi pun tak ada.” Imran membawa keluar violin miliknya dari simpanan. Dahulu dia mempelajari cara bermain alat muzik ini di sekolah menengah semata-mata mahu mencuba sesuatu yang baru. Penat dia bekerja sambilan demi mengumpul wang membeli violin dan meneruskan pembelajaran di pusat muzik tanpa pengetahuan ibubapanya.

“Dah berkarat kot skill aku tapi tak apa aku tetap nak main.” Lalu dimainkan irama lagu klasik namun tak lama sebab bertukar kepada lagu ‘Getaran Jiwa’ dek tiba-tiba teringat kat ‘pakcik tua’ jiran sebelah yang suka akan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Imran menyanyi dengan penuh bersemangat beriringan dengan gesekan violin. Tak diketahui yang ‘pakcik tua’ jiran sebelahnya yang sebenarnya sudah pulang dan sedang melekapkan telinga didinding.


*******************


Tidurnya terganggu dek bunyi irama klasik bertukar kepada lagu ‘Getaran Jiwa’ yang dimainkan dari violin dari rumah sebelah. Tak pernah-pernah Gwen bangun dari tidur dengan senyuman meleret. Kelakar dengan suara sumbang jiran sebelah yang begitu semangat menyanyikan lagu seniman yang diminatinya. Telinganya dilekapkan ke dinding dan dia turut menyanyi bersama-sama.

“Hmm walaupun suara dia ke laut tapi dia pandai main violin. Hahaha..lawak sungguh jiran aku ni.” Gwen bingkas bangun dan menuju ke bilik mandi. Hari ini dia akan ke Hidayah Centre bersama ayahnya. Ayahnya mahu menunjukkan tempat kerja keduanya selain membuka kedai alat tulis. Disamping itu, dia boleh belajar dengan lebih mendalam tentang agama yang kini dianuti oleh ayahnya.


****************


Ketukan dan suara orang memberi salam dari luar rumah mengejutkan Imran yang sedang memasak. Pantas dia menutup api dan bersegera membuka pintu.

“Waalaikumussalam. Masuklah pak bilal,” pelawa Imran sebaik sahaja membuka pintu.

“Eh tak apa..tak apa. Ni pakcik nak beritahu yang hujung minggu ni, blok kita ada buat gotong-royong. Jadi nak jemput kamu datang turut serta dalam aktiviti. Makan pagi dan tengah hari juga ada kami ahli jawatankuasa sediakan. Datanglah ye Meran?”

“InsyaAllah kalau tak ada apa-apa saya datang.”

“Baiklah, pakcik nak ketuk rumah orang sebelah pula.” Imran mengangguk tapi dia masih tercegat dihadapan pintu rumahnya.  Untung-untung dapat bersua dengan ‘pakcik tua’ sebelah rumahnya.

Berkali-kali juga Bilal Aziz mengetuk pintu dan memberi salam namun tiada jawapan. Lantas Bilal Aziz meninggalkan nota yang ditolak masuk melalui bawah pintu.

“Kalau kamu ada jumpa dia, tolong beritahu kat dia ye? Takut dia tak perasan nota pakcik.”

“InsyaAllah.”


 *******************




“Disini ramai yang masih belum Islam datang untuk mengetahui dan fahamkan apa itu Islam. Yelah, banyak sangat berita-berita negatif pasal Islam di media sekarang. Asalkan keganasan semuanya Islam padahal tak perasan yang Zionis itu lebih kejam dan melebihi batas kemanusiaan.” Gwen yang mendengar hanya mengangguk. Dia pun dahulu menyangka yang Islam adalah agama yang ekstrem dan hanya orang gila yang mahu mati dan ditemani ramai bidadari sahaja yang memeluk Islam. Dia yang tak faham apa itu jihad dan situasi sebenar dinegara Islam seringkali berprasangka buruk tentang umat Islam. Namun segalanya berubah apabila ayahnya menerangkan segala-galanya kepadanya.

“Rakyat Palestin atau Syria yang berjihad menegakkan agama mereka bukanlah semata-mata mahu ditemani bidadari selepas mati. Mereka meletakkan maruah agama dan berjuang demi mempertahankan diri serta keluarga dari kekejaman. Gwen, ayah nak tanya. Kalaulah ayah tiba-tiba ditahan polis hanya kerana mahu pergi ke masjid, adakah Gwen akan berdiam diri?”

“Tidak mungkin saya diam ayah! Paling-paling saya cuba tuntut keadilan bagi pihak ayah.”

“Situasi yang sama berlaku di Palestin. Mereka ditahan, ditembak dan rumah mereka diambil tanpa belas kasihan dan sebab. Jangan katakan rumah, hospital dan tempat mereka berlindung juga dibom. Zionis ini kejam. Demi membina sebuah negara bergelar Israel, mereka sanggup membunuh. Mereka anggap rakyat Palestin ini bagaikan semut yang mereka boleh bunuh dan tindas sesuka hati mereka.”

“Bukan sahaja yang dewasa, kanak-kanak kecil juga ditahan dan dibunuh sesuka hati mereka. Apakah kejam dan ekstrem lagi umat Islam yang bangkit melawan kekejaman?” Gwen menggelengkan kepalanya.

“Islam pada dasarnya adalah agama yang sangat mementing keamanan. Nabi Muhammad S.A.W. merupakan seorang manusia yang mulia dan dari kecil dia mempunyai akhlak peribadi yang sangat baik. Bayangkan jiran yang sering menyakitinya tak langsung dia membalas dendam malahan dia berbakti kepada jirannya itu. Untuk kita pula, umatnya yang tak pernah bersua muka pun masih diingatinya sehinggalah dia menghembus nafas terakhir.” Kelihatan ayahnya menyeka mata yang berair.

“Kenapa ayah menangis?” soal Gwen pelik.

“Ayah rindu nak berjumpa dengan junjungan mulia itu. Oh mari ayah tunjukkan kelas agama yang ayah kendalikan disini.” Gwen mengangguk faham. Sedikit sebanyak dia mula memahami Islam dan dia sememangnya mahu mengetahui dengan lebih banyak lagi.



***************************


Imran turun ke perkarangan kompleks apartmen untuk turut serta dalam aktiviti bergotong-royong. Kelihatan Bilal Aziz dan beberapa AJK apartmen sedang membahagikan kumpulan dan tugas.

“Ha..Meran kamu masuk kumpulan si Gwen tu. Kumpulan kamu kena bersihkan kawasan tepi kolam renang dan taman.” Imran mengangguk faham. Dia memandang ke arah gadis yang ditunjuk oleh Bilal Aziz. Serius sudah lima bulan dia menetap disini baru ini kali pertama dia melihat gadis itu.

“La..tak kenal jiran sendiri ke Meran? Gwen tu bukan jiran sebelah kamu ke?” Huk?! Hampir tersedak Imran apabila mengetahui kebenaran siapakah gadis itu. Itu ke ‘pakcik tua’?!! Aiyoyo…laju dia mengatur langkah mendekati kumpulan. Kedengaran Gwen sedang beramah mesra dengan ahli kumpulan yang lain. Hadui dia sekumpulan dengan Makcik Salwa and the makcikz juga! Pening sikit tapi…

“Ye? Kamu sekumpulan dengan kami ke? Nama saya Gwen. Apa nama kamu?” Gwen memandang ke arah lelaki yang sedang berdiri tercegat dihadapannya. Mulut lelaki itu bagaikan mahu mengatakan sesuatu tapi tak ada apa pun yang keluar. Jangan kata dia kena stroke pepagi ni….

“La Meran tak pernah nampak amoi comel ke apa? Tutuplah mulut tu sikit kang masuk lalat.” Teguran dari Makcik Salwa membuatkan Imran tersipu-sipu.

“Meran?” Gwen pelik dengan nama lelaki di hadapannya. Apa kes nama macam meneran? Hahahaha..

“Nama saya Imran. Maaf saya tak pernah jumpa cik tu yang kaku seketika. Kita ni kata je  jiran sebelah rumah tapi tak pernah jumpa.” Gwen menghadiahkan senyuman buat Imran.

“Panggil saja saya Gwen. Oh ye saya suka dengar gesekan violin kamu.”

“Saya pula suka dengan alunan piano kamu.”

 “Maybe satu hari nanti kita boleh mainkan lagu sama-sama?”

Yup boleh saja,” balas Imran yang masih tersengih.


Mereka saling membalas senyum. Langsung tak dihiraukan usikan nakal dari Makcik Salwa and the makcikz. Irama lagu ‘Malam Bulan Dipagar Bintang’ bagaikan menghiasi pertemuan mereka. Tanpa mereka sedar, perasaan cinta mula bercambah didalam hati mereka berdua.

************************TAMAT******************************************
Alhamdulillah siap satu cerpen panjang yang aku pun tak tahu nak masukkan dalam kategori apa. Apa-apa pun macam biasa kalau tak suka ka apa sila komen. 

(^-^)v

10 comments:

Unknown said...

Best..teruskn berkarya:)

Norlyana Nasrin said...

@lebah comel: Alhamdulillah terima kasih. InsyaAllah saya cuba.

(^-^)v

kaoru_kasuga77 said...

ala tu je ke.....tapi best lah!! tapi nk gak dengar sambungan pasal gwen dengan imran nih~~~

Norlyana Nasrin said...

@kaoru_kasuga77: hehehe..alhamdulillah. InsyaAllah kalau ada idea saya sambung lagi.

(^-^)v

Fatimah said...

Best tpi mcm rushing sikit

Norlyana Nasrin said...

@Fatimah: Alhamdulillah terima kasih Fatimah diatas komen. Rushing sebab idea dah mula nak mengering dan saya macam nak buat gila hehehe...

Apa-apa pun terima kasih sebab sudi baca kesengalan saya.

(^-^)v

saya said...

Nnti sambung lagi please. Huhu. Selamat berbuka puasa!

Norlyana Nasrin said...

@saya: InsyaAllah. Maaf, lambat perasan komen. Selamat berpuasa~

(^-^)v

zaine said...

Buat la sambungan lgi..mesti lgi brtambah best tau .. Thumbs up writer.

Norlyana Nasrin said...

@zaine: Alhamdulillah. InsyaAllah ada idea saya smbg lg ye.
(^-^)v