[kredit] |
Imran memutar kunci rumahnya. Pintu terbuka dan dia
melangkah masuk setelah memberi salam. Rumahnya tidak mewah tidak juga daif.
Cukup untuk dia tinggal berseorangan di bandar besar ini. Langkahnya diatur ke
sofa lantas dia melabuhkan punggungnya. Dia baru sahaja mengimamkan solat
berjemaah di surau komuniti kejiranannya.
Imam muda. Panggilan jiran-jiran kepadanya. Kadangkala dia
sampai malu sendiri memikirkan dirinya hanyalah manusia biasa dan tak terlepas
dari dosa. Jolokan itu kadangkala bagaikan satu beban untuk dirinya. Ilmu agama
yang ada didalam dada tak sebanyak mana. Namun dia bersyukur dan menganggap
panggilan itu sebagai satu doa dan pemangkin untuk dirinya supaya lebih
berusaha menjadi seorang Muslim yang baik.
“Allah, mengelamun pula. Dahaga…”
Dia bingkas bangun. Hayunan kaki dihala ke peti sejuk.
“Alhamdulillah ada lagi air soya multigrain ni hehehe…” Imran tersenyum
sendiri memikirkan tabiatnya yang suka bercakap seorang diri. Kurang-kurang
hilang sedikit rasa sunyi.
“Kalau sunyi, kahwinlah Imran oii!”
Nasihat dari kakaknya yang ada masa membuatkan dia nak pelangkung juga kakak
kesayangannya. Tahulah dia baru kahwin bulan lepas, itu yang seronok nak suruh
orang lain sama-sama melangkah ke alam perkahwinan yang tak tahu lagi indah
atau…argh! Apa kejadah ingat pasal benda ini masa nak minum air? Ada ke isteri
dalam dunia ini yang boleh buat air soya sebiji macam V-Soy Multigrain ini?
Hahaha..sah mengarut!
Komputer ribanya dibuka dan dia mula melayari internet.
Membuka laman sesawang berita dunia dan menyemak emel. Cukup 30 minit, dia dah
mula mengantuk. Dia bukan jenis tidur lewat dan malam nanti dia perlu bangun
untuk solat tahajud.
‘Bweeekkkkk’ Segala isi dalam perutnya dimuntahkan keluar. Gwen
menunduk menahan sakit. Mukanya mula bertukar pucat dan badannya tak usah
ceritalah.
“Yang kau minum banyak-banyak tu
kenapa? Dah tahu tak pernah minum arak apasal minum macam orang gila?!” Bebelan
rakannya itu masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Tadi buat kali pertama
dalam hidupnya dia menjejakkan kaki ke pusat hiburan. Akibat terlalu tertekan
dengan tekanan hidup, dia mengambil keputusan untuk meminum arak dan fikirnya
dia mahu mabuk sehinggakan apabila dia terjun bangunan pun tak terasa sakitnya.
Tapi..jangankan terjun bangunan, muntah macam ini pun dah cukup menyeksakan.
“Angel, hantar aku balik.” Angel
nama rakan baiknya tapi kadangkala lebih kepada ‘Demon’ perangai perempuan itu.
“Balik mana? Rumah parents kau ke?” Nampak tak ke’demon’an si Angel?
“Rumah akulah.” Angel yang diarahkan untuk
tidak meminum air kencing syaitan menjadi pemandunya malam ini.
“Fine!” Angel memapah tubuh Gwen masuk ke dalam kereta. Walaupun
dalam hatinya dia menyumpah dek bau busuk muntah Gwen namun dia tidak sampai
hati untuk meninggalkan rakan baiknya ditepi lorong pusat hiburan ini.
Bunyi gugusan anak kunci yang terjatuh mengejutkan Imran
dari tidurnya. Jam menunjukkan pukul empat pagi. Imran bingkas bangun dari
tidur lantas bersegera untuk membersihkan diri. Dalam diam dia berterima kasih
kepada jirannya yang terjatuh kunci kerana berjaya mengejutkannya dari tidur.
Entah kenapa jamnya tidak berbunyi pula hari ini.
“La aku salah set alarm rupanya. Thank you
la jiran…” Imran segera mendirikan solat-solat sunat malam. Sebelum Subuh nanti
dia perlu ke surau komuniti.
Jam menunjukkan pukul lima setengah pagi. Imran melangkah
keluar dari rumahnya dengan bacaan basmallah dan ayat Kursi. Sayup dia
terdengar bunyi suara orang menangis teresak-esak. Langkahnya dihentikan dan
dia cuba mencari sumber dari mana bunyi itu datang. Namun suara itu sudah tidak
kedengaran lagi maka dia meneruskan perjalanannya ke surau komuniti.
“Kot la syaitanirrojim nak
main-mainkan aku pagi-pagi ni. Astaghfirullahalazim.” Imran menggelengkan
kepalanya sambil tersenyum.
“Mana kunci kau ni Gwen?” Angel
menyelongkar beg tangan Gwen mencari kunci rumah rakan baiknya itu.
“Ada segugus dalam tu cari la,”
balas Gwen lemah. Tubuhnya betul-betul lemah dek asyik termuntah. Tadi pun
beberapa Angel terpaksa memberhentikan kenderaan dibahu jalan kerana dia tak
habis-habis mahu termuntah. Kuat betul penangan alcohol bomb yang diminum tadi.
“Mana?” Angel yang mula hilang
sabar menterbalikkan beg tangan Gwen. Segala benda terkeluar dan barulah
terjumpa gugusan kunci yang dimaksudkan. Serius betullah kata orang, beg tangan
perempuan memang macam black hole.
Gwen mengapai gugusan kunci dan mula membuka pintu rumahnya. Bikin meriah
sahaja si Angel ini. Mahu terkejut satu kejiranan dengan bunyi barang-barangnya
yang jatuh.
Masuk ke dalam rumah, Gwen berlari ke tandas. Tekaknya masih
meloya dan rasa ingin termuntah membuak-buak.
“Gwen, aku balik dululah. Apa-apa
kau call hospital sebab aku tak tahu
nak tolong macam mana. Bye!” Gwen
hanya mampu mengangguk. Bunyi pintu yang sudah ditutup menguatkan tanggapan
yang Angel betul-betul sudah balik meninggalkan dirinya keseorangan. Menderita
seorang diri akibat perbuatan bodohnya sendiri. Padan muka!
“Sumpah aku tak mahu sentuh arak
lagi!” Dia mengelap mulutnya setelah berkumur. Air oren dibawa keluar dari peti
sejuk ditunggang rakus. Dia dahaga dan sekurang-kurangnya air oren ini dapat
mengurangkan rasa mualnya. Kakinya membawa tubuh separuh matinya ke verandah.
Matanya membuang pandangnya ke bawah. Kalau dia terjun dari verandah ini pun
tak akan mati sebab dia tinggal di tingkat dua di kompleks apartment empat
tingkat ini. Bau busuk badannya setelah muntah dan bergelumang dengan asap
rokok di pusat hiburan membuatkan dia terasa dirinya kotor.
“Mandilah.” Dia melangkah perlahan
ke bilik mandi. Tab mandinya perlahan diisikan air panas bercampur sejuk.
Pagi-pagi begini dia tak sanggup nak mandi air sejuk. Entah kenapa dia diserang
perasaan sedih secara tiba-tiba dan mula menangis semahu-mahunya. Teringat akan
sebab dia meminum minuman keras dan cubaan untuk membunuh diri yang tak
berjaya. Dia tertekan dan dia benci dengan dirinya sendiri. Tubuhnya masuk ke
dalam tab mandi dan dia duduk meluruskan kakinya. Air matanya masih mengalir
laju bagaikan tak mahu berhenti.
“Bodoh!” Dia mengesat air mata lalu
membenamkan kepalanya.
“Meran, pakcik nak tanya Meran ni
ada calon belum?” Tersedak Imran dengan pertanyaan Bilal Aziz yang agak tak
boleh blah selepas solat Subuh berjemaah.
“Calon apa pak bilal?” Sengaja dia
buat-buat tak tahu sebab serius dia cukup malu apabila ditanyakan soalan
sebegitu.
“Ni ha..ramai juga anak-anak gadis
kat sini yang asyik terjeling-jeling kat Meran. Tak mahu ambil satu buat isteri
ke?” Imran menggaru kepalanya yang tak gatal. Gadis-gadis zaman sekarang ini
ramai yang dah hilang malunya. Kadangkala, Imran sendiri naik seram dengan
sikap agresif gadis di komuniti perumahannya yang ‘menyerang’ kalah singa
lapar.
“Macam ni la pak bilal, saya ni
kalau dah berkenan memang saya sunting terus. Masalahnya sekarang, tak ada satu
pun yang berkenan di jiwa saya ni.” Ehey jawapan terus-terang dari Imran bukan
Ajmain. Bilal Aziz terus ketawa lalu menepuk-nepuk bahu Imran.
“Memilih juga kamu ni Meran. Betul
juga, kahwin bukan untuk sehari dua maka sila pilih peneman hidup yang boleh
sama-sama membimbing ke syurga.” Imran hanya mampu tersenyum dan mengangguk
faham. Memilih? Entah, yang pasti tak ada lagi gadis yang berjaya sangkut
dihati Imran.
Hujan turun renyai-renyai pagi itu, suasana sejuk menikam
sehingga ke belulang mengejutkan Gwen yang masih berkelubung dengan selimut
tebal. Elok pula masa-masa ini penyaman udara rumahnya rosak dan hanya boleh
dibuka pada suhu rendah. Memang menggigil satu badan.
“Sabtu yang gloomy.” Gwen bangkit lalu menyelak langsir tebal bilik tidurnya.
Hujan-hujan begini dia akan teringat akan ayahnya. Dulu ayahnya suka
menyanyikan lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sambil memetik gitar cabuknya
ketika hujan turun. Lagu yang dinyanyikan pelbagai namun yang selalu dimainkan
oleh ayahnya ialah lagu ‘Tunggu Sekejap’ dari filem Sarjan Hassan. Kakinya
diatur ke piano lantas dimainkan lagu yang sedang bermain difikirannya.
Gwen duduk bersandar setelah puas bermain piano. Air matanya
mula mengalir. Ayahnya terpaksa berpisah dengan dia dan ibunya ketika dia masih
bersekolah menengah. Semuanya kerana ayahnya memeluk agama Islam dan ibunya tak
mahu mengikut. Ibunya meminta cerai dan membawanya lari ke Semenanjung
Malaysia. Kini ibunya sudahpun berkahwin lain dan tak pernah sekali pun dia
menghubungi ayahnya kerana dihalang ibu. Sebaliknya, ayahnya sering menghantar
emel bertanya khabar memandangkan hanya alamat emelnya sahaja yang ayahnya ada.
Pada mulanya dia ada membalas namun setelah beberapa ketika dia berhenti
membalas kerana berasa canggung.
Telefon rumahnya dicapai dan dia mula menekan nombor telefon
ayahnya. Nasib baik ayahnya ada memberikan nombor telefon melalui emel. Tiga
kali deringan sahaja, panggilan terus disambung.
“Assalamualaikum, hello?” Bagaikan
hilang suara, Gwen terpaku setelah mendengar suara ayahnya.
“Gwen? Ini Gwen kah?” Gwen terus
menangis semahu-mahunya. Kuat sungguh gerak hati ayahnya.
“Ayah, I miss you.” Kedengaran suara tua itu turut menangis gembira.
*******************
Imran yang baru sahaja pulang dari membeli sarapan segera
masuk ke dalam rumahnya apabila mendengar bunyi piano yang dimainkan oleh
jirannya. Entah kenapa dia memang suka mendengar alunan muzik yang dimainkan
oleh jirannya itu. Agaknya, jirannya ialah pakcik tua berumur yang suka akan lagu-lagu Allahyarham Tan Sri
P.Ramlee. Telinganya dirapatkan kedinding dan dia mula menikmati alunan muzik
dari rumah sebelah. Tanpa sedar dia terikut menyanyi bersama alunan muzik.
“Subhanallah, pandai betul jiran
aku ni main piano. Tak apa, insyaAllah lain kali aku pergi tegur dia.” Imran
segera bersiap-siap. Dia perlu ke rumah kakaknya. Mak dan ayahnya datang dari
kampung dan kini berada dirumah kakaknya. Telefon pintarnya yang berbunyi terus
diangkat.
“Assalamualaikum, ha mak. Imran
baru nak keluar dari rumah ni. Oh okey nanti kalau Imran nampak ada orang jual
nanti Imran beli ye? Lima bungkus air kelapa je kan? Okey, assalamualaikum
mak.” Imran segera menyarung kasut. Seperti kebiasaan, dengan basmallah dan
ayat Kursi, Imran melangkah keluar dari rumah.
Tiba di tempat memarkir kenderaan, Imran ditegur oleh Makcik
Salwa, jiran yang sering memujuknya untuk membeli karpet daripadanya.
“Hai Meran, nampak macam nak cepat
je? Nak jumpa awek ke imam muda kita ni?” teguran Makcik Salwa disambut dengan
gelak ketawa dari geng makcik-makcik yang selalu membeli barang dagangannya.
“Assalamualaikum makcik-makcik.
Saya nak jumpa mak dan ayah saya. Kebetulan mereka singgah rumah kakak saya.
Hmm saya gerak dulu ye? Assalamualaikum.” Geng makcik-makcik itu hanya
menayangkan senyuman sumbing. Aik terasa ke? Imran menghadiahkan senyuman dan
melambaikan tangan kepada mereka.
“Apa khabar anak ayah?” Wajah tua
ayahnya direnung dengan mata berkaca. Hari ini dia memutuskan untuk bersua muka
dengan ayah yang sudah bertahun lama tidak berjumpa. Ternyata ayahnya nampak
lebih tua namun wajah ayahnya nampak lain. Namun kelainan itu membuatkan
jiwanya rasa damai.
“Baik. Ayah bila pindah
Semenanjung?” Gwen menyoal untuk mengurangkan kecanggungan.
“Sudah lama. Ayah cuba cari Gwen
dan ibu tapi tak jumpa-jumpa. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa ayah hari ni.
Ayah bersyukur dapat jumpa Gwen sebelum ayah meninggal dunia.” Terdapat air
mata bertakung di kolam mata tua itu. Gwen menahan sebak didada. Hidupnya
kucar-kacir setelah ibunya berkahwin lain. Lelaki yang kini bapa tirinya
seringkali cuba mengambil kesempatan ke atasnya dan bila diadukan kepada ibu,
dia dituduh cuba memusnahkan keluarga mereka. Dia bernasib baik kerana telah
membeli rumah atas desakan Angel yang juga agen hartanah. Kalau tidak pasti dia
akan merempat setelah diusir ibunya.
“Ayah, terima kasih sebab masih
mengambil berat akan Gwen walaupun Gwen sering mengelak dari berjumpa dengan
ayah. Gwen tak tahu dan malu.” Ayahnya hanya mengusap kepalanya sambil
tersenyum.
“Tak apa, macam mana pun Gwen lah
satu-satunya anak ayah. Ayah sayangkan Gwen sampai bila-bila.” Gwen sudah tak
dapat menahan tangisannya. Sangkanya dia sudah tidak ada sesiapa lagi didunia
ini. Ibunya sudah makin tak keruan setelah di’racun’ oleh bapa tirinya yang
kononnya dirinya sering menggoda lelaki itu apabila ketiadaan ibu dirumah.
Padahal sebaliknya yang berlaku. Sesungguhnya dia tak bernafsu pun dengan bapa
tirinya.
“Ayah tahu Gwen sedang runsing.
Bersabarlah nak, ingat ayah akan melindungi kamu dan insyaAllah ayah sentiasa
doakan kamu sehingga ayah tak ada lagi didunia ini.” Gwen terus memeluk tubuh
tua ayahnya. Tubuh itu sudah tak setegap dahulu.Kalau dulu, ayahnya ialah
pahlawan didesa dan terkenal dengan kegagahannya.
“Gwen mahu tinggal dengan ayah?”
soal ayahnya dengan muka mengharap. Mungkin risau dia tak akan dapat berjumpa
dengan anak perempuannya setelah pertemuan ini berakhir.
“Biar Gwen fikir dulu.” Gwen
sememangnya memerlukan masa untuk berfikir. Dengan keadaan emosinya yang kurang
stabil, ada baiknya dia tinggal bersama ayahnya namun bila difikirkan tentang
agama ayahnya dan gaya hidup bebas yang disukainya membuatkan dia serba salah.
Imran memarkirkan
keretanya di garaj. Kelihatan mak dan ayahnya sedang seronok berbual dengan
kakak dan abang iparnya di taman. Air kelapa yang dibeli diserahkan kepada
pembantu rumah kakaknya. Segera dia mendapatkan kedua orang tuanya untuk
bersalaman.
“Mak dengan ayah tak nak pergi
rumah Imran ke?” soalnya setelah selesai bersalaman dengan kakak dan abang
iparnya.
“Kau ni dik, mak dengan ayah baru
sampai kat rumah kakak kau dah nak ajak pergi rumah kau. Tunggulah kakak
melepaskan rindu seminggu dua pastu barulah boleh pass kat kau. Hehehe..” Imran hanya tersengeh dengan gurauan
kakaknya. Mustahillah mak dan ayah nak tinggal lama-lama di bandar sedangkan
mereka ada perniagaan sendiri di kampung.
“Haahlah korang berdua ingat mak
dengan ayah nak menetap terus kat sini ke apa? Oh tidak…ayam, kambing, lembu
mak kat kampung tu siapa nak jaga kalau mak melekat kat sini?” Jawapan selamba
dari mak mengundang tawa mereka semua.
“Ni mak dengan ayah ni datang nak
beritahu yang insyaAllah bulan depan kami berdua nak pergi haji. Jadi nak minta
salah seorang dari korang ni balik kampung selalu untuk jenguk kedai tu. Nak
duduk sana terus pun tak apa.”
“Isy tak adalah sampai duduk terus.
Hiperbola sangat mak kamu ni. Tolong tengok-tengokkan sepanjang kami pergi haji
ni je. Macam mana? Insyirah ke Imran nak tolong? Tak pun kamu berdua
bergilir-gilirlah pergi tengok.” Imran memandang ke arah kakaknya yang tampak
serba salah.
“Hmm saya rasa tak ada masalah
kalau mereka berdua bergilir-gilir tengok. InsyaAllah saya boleh temankan
Insyirah balik kampung.” Fuh! Sesungguhnya Imran berasa bersyukur dengan abang
iparnya yang bertimbang rasa.
“Baguslah kalau macam tu. Hari
biasa ayah dah suruh Pak Teh kamu tengokkan cuma seminggu sekali tu biarlah dia
berehat dan kamu pula ambil alih.” Imran dan Insyirah menganggukkan kepala.
Macam mana pun ini merupakan amanah dari kedua ibubapa mereka. Tak susah pun
bagi mereka berdua untuk pulang ke kampung seminggu sekali. Hmm tak jauh pun
Tanjung Malim dengan Kuala Lumpur.
Sudah seminggu dia menetap dirumah ayahnya dan sedikit
sebanyak dia berasa tertarik dengan gaya hidup Islamik ayahnya. Ayahnya semakin
mudah didekati berbanding dulu dan dia dapat merasakan kasih sayang sepanjang
berada dirumah ayahnya itu.
“Gwen suka tinggal dengan ayah?”
Gwen mengangguk mengiyakan pertanyaan dari ayahnya.
“Masih tak mahu pindah terus ke
sini?”
“Gwen suka dengan rumah yang Gwen
tinggal sekarang. Jangan risau, Gwen akan selalu lawat ayah. Lagipun rumah Gwen
tak jauh pun dari sini.” Gwen memegang erat tangan ayahnya. Setelah berfikir
panjang, dia mahu hidup berdikari dan mengenal dirinya sendiri.
“Baiklah jika itu kemahuan Gwen.
Tapi kalau bila-bila Gwen rasa nak tinggal dengan ayah, pintu rumah ayah
sentiasa terbuka untuk Gwen.”
“Terima kasih ayah.” Gwen memeluk
tubuh tua ayahnya. Agak canggung namun dia berasa gembira apabila ayahnya
membalas pelukannya.
“Tak. Terima kasih sebab sudi
terima ayah semula.” Air mata mengalir lagi namun kali ini ia adalah air mata
kegembiraan.
*************************
Seminggu dia tak mendengar alunan muzik dari piano jiran sebelahnya.
Terdetik juga dihati yang mungkin pakcik tua sebelah rumahnya itu sakit.
Semalam dia ada mengetuk pintu rumah jirannya namun tiada jawapan. Hajatnya,
dia mahu mengajak ‘pakcik tua’ itu untuk makan bersama-sama memandangkan dia
ada memasak lauk lebih semalam.
“Pergi bercuti kot pakcik ni sebab
satu bunyi pun tak ada.” Imran membawa keluar violin miliknya dari simpanan.
Dahulu dia mempelajari cara bermain alat muzik ini di sekolah menengah
semata-mata mahu mencuba sesuatu yang baru. Penat dia bekerja sambilan demi
mengumpul wang membeli violin dan meneruskan pembelajaran di pusat muzik tanpa
pengetahuan ibubapanya.
“Dah berkarat kot skill aku tapi tak apa aku tetap nak
main.” Lalu dimainkan irama lagu klasik namun tak lama sebab bertukar kepada
lagu ‘Getaran Jiwa’ dek tiba-tiba teringat kat ‘pakcik tua’ jiran sebelah yang
suka akan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
Imran menyanyi dengan penuh bersemangat beriringan dengan
gesekan violin. Tak diketahui yang ‘pakcik tua’ jiran sebelahnya yang
sebenarnya sudah pulang dan sedang melekapkan telinga didinding.
Tidurnya terganggu dek bunyi irama klasik bertukar kepada
lagu ‘Getaran Jiwa’ yang dimainkan dari violin dari rumah sebelah. Tak
pernah-pernah Gwen bangun dari tidur dengan senyuman meleret. Kelakar dengan
suara sumbang jiran sebelah yang begitu semangat menyanyikan lagu seniman yang
diminatinya. Telinganya dilekapkan ke dinding dan dia turut menyanyi
bersama-sama.
“Hmm walaupun suara dia ke laut
tapi dia pandai main violin. Hahaha..lawak sungguh jiran aku ni.” Gwen bingkas
bangun dan menuju ke bilik mandi. Hari ini dia akan ke Hidayah Centre bersama
ayahnya. Ayahnya mahu menunjukkan tempat kerja keduanya selain membuka kedai
alat tulis. Disamping itu, dia boleh belajar dengan lebih mendalam tentang
agama yang kini dianuti oleh ayahnya.
Ketukan dan suara orang memberi salam dari luar rumah
mengejutkan Imran yang sedang memasak. Pantas dia menutup api dan bersegera
membuka pintu.
“Waalaikumussalam. Masuklah pak
bilal,” pelawa Imran sebaik sahaja membuka pintu.
“Eh tak apa..tak apa. Ni pakcik nak
beritahu yang hujung minggu ni, blok kita ada buat gotong-royong. Jadi nak
jemput kamu datang turut serta dalam aktiviti. Makan pagi dan tengah hari juga
ada kami ahli jawatankuasa sediakan. Datanglah ye Meran?”
“InsyaAllah kalau tak ada apa-apa
saya datang.”
“Baiklah, pakcik nak ketuk rumah
orang sebelah pula.” Imran mengangguk tapi dia masih tercegat dihadapan pintu
rumahnya. Untung-untung dapat bersua
dengan ‘pakcik tua’ sebelah rumahnya.
Berkali-kali juga Bilal Aziz mengetuk pintu dan memberi
salam namun tiada jawapan. Lantas Bilal Aziz meninggalkan nota yang ditolak
masuk melalui bawah pintu.
“Kalau kamu ada jumpa dia, tolong beritahu
kat dia ye? Takut dia tak perasan nota pakcik.”
“InsyaAllah.”
“Disini ramai yang masih belum
Islam datang untuk mengetahui dan fahamkan apa itu Islam. Yelah, banyak sangat
berita-berita negatif pasal Islam di media sekarang. Asalkan keganasan semuanya
Islam padahal tak perasan yang Zionis itu lebih kejam dan melebihi batas
kemanusiaan.” Gwen yang mendengar hanya mengangguk. Dia pun dahulu menyangka
yang Islam adalah agama yang ekstrem dan hanya orang gila yang mahu mati dan
ditemani ramai bidadari sahaja yang memeluk Islam. Dia yang tak faham apa itu
jihad dan situasi sebenar dinegara Islam seringkali berprasangka buruk tentang
umat Islam. Namun segalanya berubah apabila ayahnya menerangkan segala-galanya
kepadanya.
“Rakyat Palestin atau Syria yang
berjihad menegakkan agama mereka bukanlah semata-mata mahu ditemani bidadari
selepas mati. Mereka meletakkan maruah agama dan berjuang demi mempertahankan
diri serta keluarga dari kekejaman. Gwen, ayah nak tanya. Kalaulah ayah
tiba-tiba ditahan polis hanya kerana mahu pergi ke masjid, adakah Gwen akan
berdiam diri?”
“Tidak mungkin saya diam ayah!
Paling-paling saya cuba tuntut keadilan bagi pihak ayah.”
“Situasi yang sama berlaku di
Palestin. Mereka ditahan, ditembak dan rumah mereka diambil tanpa belas kasihan
dan sebab. Jangan katakan rumah, hospital dan tempat mereka berlindung juga
dibom. Zionis ini kejam. Demi membina sebuah negara bergelar Israel, mereka
sanggup membunuh. Mereka anggap rakyat Palestin ini bagaikan semut yang mereka
boleh bunuh dan tindas sesuka hati mereka.”
“Bukan sahaja yang dewasa,
kanak-kanak kecil juga ditahan dan dibunuh sesuka hati mereka. Apakah kejam dan
ekstrem lagi umat Islam yang bangkit melawan kekejaman?” Gwen menggelengkan
kepalanya.
“Islam pada dasarnya adalah agama
yang sangat mementing keamanan. Nabi Muhammad S.A.W. merupakan seorang manusia
yang mulia dan dari kecil dia mempunyai akhlak peribadi yang sangat baik.
Bayangkan jiran yang sering menyakitinya tak langsung dia membalas dendam
malahan dia berbakti kepada jirannya itu. Untuk kita pula, umatnya yang tak
pernah bersua muka pun masih diingatinya sehinggalah dia menghembus nafas
terakhir.” Kelihatan ayahnya menyeka mata yang berair.
“Kenapa ayah menangis?” soal Gwen
pelik.
“Ayah rindu nak berjumpa dengan
junjungan mulia itu. Oh mari ayah tunjukkan kelas agama yang ayah kendalikan
disini.” Gwen mengangguk faham. Sedikit sebanyak dia mula memahami Islam dan
dia sememangnya mahu mengetahui dengan lebih banyak lagi.
***************************
Imran turun ke perkarangan kompleks apartmen untuk turut
serta dalam aktiviti bergotong-royong. Kelihatan Bilal Aziz dan beberapa AJK
apartmen sedang membahagikan kumpulan dan tugas.
“Ha..Meran kamu masuk kumpulan si Gwen
tu. Kumpulan kamu kena bersihkan kawasan tepi kolam renang dan taman.” Imran
mengangguk faham. Dia memandang ke arah gadis yang ditunjuk oleh Bilal Aziz.
Serius sudah lima bulan dia menetap disini baru ini kali pertama dia melihat
gadis itu.
“La..tak kenal jiran sendiri ke
Meran? Gwen tu bukan jiran sebelah kamu ke?” Huk?! Hampir tersedak Imran
apabila mengetahui kebenaran siapakah gadis itu. Itu ke ‘pakcik tua’?!! Aiyoyo…laju
dia mengatur langkah mendekati kumpulan. Kedengaran Gwen sedang beramah mesra
dengan ahli kumpulan yang lain. Hadui dia sekumpulan dengan Makcik Salwa and
the makcikz juga! Pening sikit tapi…
“Ye? Kamu sekumpulan dengan kami
ke? Nama saya Gwen. Apa nama kamu?” Gwen memandang ke arah lelaki yang sedang
berdiri tercegat dihadapannya. Mulut lelaki itu bagaikan mahu mengatakan
sesuatu tapi tak ada apa pun yang keluar. Jangan kata dia kena stroke pepagi ni….
“La Meran tak pernah nampak amoi
comel ke apa? Tutuplah mulut tu sikit kang masuk lalat.” Teguran dari Makcik
Salwa membuatkan Imran tersipu-sipu.
“Meran?” Gwen pelik dengan nama
lelaki di hadapannya. Apa kes nama macam meneran? Hahahaha..
“Nama saya Imran. Maaf saya tak
pernah jumpa cik tu yang kaku seketika. Kita ni kata je jiran sebelah rumah tapi tak pernah jumpa.”
Gwen menghadiahkan senyuman buat Imran.
“Panggil saja saya Gwen. Oh ye saya
suka dengar gesekan violin kamu.”
“Saya pula suka dengan alunan piano
kamu.”
“Maybe
satu hari nanti kita boleh mainkan lagu sama-sama?”
“Yup boleh saja,” balas Imran yang masih tersengih.
Mereka saling membalas senyum. Langsung tak dihiraukan usikan
nakal dari Makcik Salwa and the makcikz. Irama lagu ‘Malam Bulan Dipagar
Bintang’ bagaikan menghiasi pertemuan mereka. Tanpa mereka sedar, perasaan
cinta mula bercambah didalam hati mereka berdua.
************************TAMAT******************************************
Alhamdulillah siap satu cerpen panjang yang aku pun tak tahu nak masukkan dalam kategori apa. Apa-apa pun macam biasa kalau tak suka ka apa sila komen.
(^-^)v
10 comments:
Best..teruskn berkarya:)
@lebah comel: Alhamdulillah terima kasih. InsyaAllah saya cuba.
(^-^)v
ala tu je ke.....tapi best lah!! tapi nk gak dengar sambungan pasal gwen dengan imran nih~~~
@kaoru_kasuga77: hehehe..alhamdulillah. InsyaAllah kalau ada idea saya sambung lagi.
(^-^)v
Best tpi mcm rushing sikit
@Fatimah: Alhamdulillah terima kasih Fatimah diatas komen. Rushing sebab idea dah mula nak mengering dan saya macam nak buat gila hehehe...
Apa-apa pun terima kasih sebab sudi baca kesengalan saya.
(^-^)v
Nnti sambung lagi please. Huhu. Selamat berbuka puasa!
@saya: InsyaAllah. Maaf, lambat perasan komen. Selamat berpuasa~
(^-^)v
Buat la sambungan lgi..mesti lgi brtambah best tau .. Thumbs up writer.
@zaine: Alhamdulillah. InsyaAllah ada idea saya smbg lg ye.
(^-^)v
Post a Comment