Kapitalis

Saturday, July 11, 2015

Cerpen: The Cool and the Delinquent (Part 1)

[kredit]   


Merah langit senja mendamaikan sesiapa sahaja yang memandang. Buku-buku latihan dan ulangkaji sudah siap aku masukkan ke dalam beg galas dan sekarang aku mahu menatap permandangan indah ini sepuas-puasnya sebelum aku pulang ke rumah. Di rumah, aku tak boleh menumpukan perhatianku memandangkan aku ada adik beradik yang masih kecil. Sudah menjadi kebiasaan aku akan memanjat bukit ini dan mengulangkaji sehingga waktu senja.

Okay cukup.”Aku bangun lalu berjalan turun ke tangga pondok. Disebabkan aku selalu datang ke sini, aku telah membina sebuah pondok kecil khas untuk aku mengulangkaji. Ayah dan abang-abang aku turut sama membantu dalam pembinaan pondok ini dan jangan risau, kami dah minta izin tuan tanah sebelum membina. Tuan tanah pun tak kisah sebab dia boleh gunakan pondok untuk berehat selepas berkebun.


“Sudah mau balik ka amoi?” jerit Auntie Fei aka isteri tuan tanah.

“Ya! Auntie pun baliklah dah nak gelap ni!” Laung aku cukup kuat untuk didengari pasangan suami isteri yang sedang berkebun.

“Sikit jam lagi. Mali angkat ini kacang.” Auntie Fei memanggil aku untuk mengambil hasil tanamannya. Auntie Fei dengan Uncle Ho memang sangat baik dengan keluarga aku. Sebungkus kacang tanah diberikan kepadaku dengan senyuman.

“Terima kasih Auntie. Saya balik dulu ye?” Auntie Fei mengangguk faham. Aku berlalu sambil melambaikan tangan kepada pasangan yang baik hati ini.








Tiba sahaja dirumah, aku terus meletakkan beg dan pantas berlalu ke bilik mandi. Sekejap lagi sudah mahu masuk waktu Maghrib dan ayah aku paling pantang jika ada anak-anaknya yang masih tak mandi dan bersiap untuk solat.

“Rei..” Abang aku yang sudah siap berkain pelikat memanggil aku untuk sama-sama menunaikan solat berjemaah diruang tamu. Aku yang ketika itu baru menyarung telekung segera bergegas. Mahu kena sebat kalau lambat!

“Rei, Wan dengan Nani mari mengaji depan along meh!” Lemah lembut sahaja abang sulung aku memanggil kami untuk mengaji. Ayah sedang mengajar si kembar Rafiq dan Rafi yang baru nak masuk Iqra dua. Adik beradik aku ada enam orang dan aku anak yang ketiga. Abang sulung aku, Razif kini menuntut di USM dan kini sedang menikmati cuti semester. Ada lagi setahun sebelum dia tamat pengajian tapi aku tengok abang aku ini tak pernah stress dan asyik senyum huhuhu…

“Wan, hang mengaji ka baca jampi serapah?” tegur abang sulungku kepada abang Wan aku yang dok baca Quran stail meleret. Abang Wan aku hanya tersengih lantas membetulkan bacaannya. Aku dan Nani kembali menyambung bacaan sehinggalah mak memanggil kami semua untuk makan malam.







Aku tak faham kenapa cikgu bagi aku tugasan yang pada hemat aku tak payah nak buat pun tak apa. Aku sekarang berdiri didepan pagar rumah pelajar paling tak boleh blah perangai dalam sekolah. Aku ditugaskan untuk serahkan kerja sekolah dan nota-nota penting memandangkan mamat ini tak datang sekolah selama seminggu.

“Rei, kamu kan ketua kelas, jadi pada kamu sahajalah cikgu berharap.” Aku tak akan dapat lupakan wajah Cikgu Yusuf yang cukup dengan genangan air mata tahap drama kelas bawahan. Cikgu Yusuf ini cikgu baru lepas maktab yang ditugaskan untuk menjadi guru kelas aku. Hmm kena buli adalah perkara biasa terjadi pada dia tapi aku tahu, tak ada siapa pun dalam kelas aku yang tak senang dengan Cikgu Yusuf yang baik hati ni.

Aku melepaskan keluhan kasar dan mula menekan loceng dipintu pagar. Seorang kanak-kanak lelaki yang aku agak berumur empat tahun keluar berlari-lari tanpa selipar.

“Kakak nak cari siapa?” soalnya dari belakang pagar. Mukanya yang ceria membuatkan aku hampir lupa tujuan aku datang ke sini.

“Ehem! Kakak cari orang nama Nadhif. Dia tinggal sini ke?” Pantas kanak-kanak lelaki itu mengangguk.

“Abang Baby! Abang Baby! Kawan Abang Baby datang! Bibik! Bukakan pagar untuk kakak!” Laung kanak-kanak lelaki itu sambil berlari masuk ke dalam rumah. Sekejap sahaja pintu pagar dibuka secara automatik. Kanak-kanak lelaki itu kembali lalu menarik tanganku untuk masuk ke dalam rumah. Terkial-kial juga aku mengikut tapi serius perangai dia sebiji macam Rafiq dan Rafi membuatkan aku senang.

“Abang Baby! Ni kawan abang datang!” Aku melihat ‘Abang Baby’ yang sedang mamai berbaring diatas sofa menggosok-gosokkan matanya. Tak lama pun dia gosok, nampak sahaja muka aku terus berubah riak mukanya.

“Abang Baby! Baik tak Nashrul bukakan pintu untuk kakak?” Oh Nashrul nama budak comel ni. Muka si ‘Abang Baby’ berubah dan aku nampak berusaha menutup mulut si Nashrul.

“Nadhif, saya datang sebab nak bagi awak ni.” Aku keluarkan nota-nota dan kerja sekolah yang dikirim oleh Cikgu Yusuf lantas kuhulurkan kepadanya. Lambat-lambat dia menyambut dan aku yang memang berdiri dari tadi dah mula nak mengatur langkah untuk pulang ke rumah. Aku ini dahlah sibuk dengan kerja rumah dan petang ini, ada dah berjanji dengan Auntie Fei untuk menolong dia menebas semak di kebun.

“Kakak dah nak balik?”Aku mengangguk dan mencubit pipi comel Nashrul. Aku berjalan keluar ke muka pintu dan mula menyarung kasut.

“Weh!” Aku yang baru nak keluar dari pintu pagar tersentak apabila ditarik dari belakang. Segera aku berpaling dan menayangkan muka ‘Kau nak apa?’.

“Tolong lupakan pasal tadi.” Permintaan dari Nadhif membuatkan aku blur seketika. Apa benda?

“Abang Baby. Kalau aku dengar ada makhluk yang panggil aku gelaran tu kat sekolah kau jaga!” Aku mengangguk faham. Tak ada sebab untuk aku beritahu pasal gelaran manja dia disekolah. Lagipun, aku bukannya ada kawan.









“Assalamualaikum.” Rafiq dan Rafi yang sedang bermain berlari mendapatkanku dipintu rumah. Aktiviti biasa adik-adik aku dan mereka tahu aku ada belikan gula-gula untuk mereka. Gula-gula lollipop aku hulurkan kepada mereka berdua dan aku mendapatkan mak didapur.

“Lambat balik hari ni?” soal mak setelah aku bersalaman dengannya. Mak aku merupakan surirumah sepenuh masa dan ada mengambil upah menjahit serta membuat kuih. Tradisional sangat mak aku tapi aku tak kisah janji mak seronok sudah.

“Rei singgah rumah kawan sekejap sebab cikgu suruh bagikan nota dan kerja sekolah.” Teringat aku peristiwa ‘Abang Baby’ yang tak ada pun ucap terima kasih tapi siap ugut-ugut aku. Siot punya perangai. Nani yang sedang memotong sayur hanya memasang telinga. Tak lama lagi Nani akan dihantar ke sekolah berasrama. Aku? Bukan keputusan tak cemerlang cuma aku memang tak mahu sekolah berasrama sebab aku tahu yang aku tak akan dapat menyesuaikan diri. Aku seorang yang tak reti bergaul dengan orang dan aku cukup terkejut apabila dipilih menjadi ketua darjah oleh Cikgu Yusuf. Cikgu Yusuf….haish kalau bukan cikgu rasanya aku nak campak dia masuk gaung!

“Rei pergilah mandi dan solat dulu. Sekejap lagi mak panggil makan. Ni pun dah nak siap.” Aku mengangguk dan segera masuk ke dalam bilik tidur. Bilik tidur ini aku kongsi dengan Nani dan ayah aku siap buatkan bilik air didalam bilik untuk kami. Selesai solat dan mandi, aku melayan Rafiq dan Rafi sementara mak dan Nani menghidang makanan.

“Along dengan angah mana mak?” Pelik juga bila tak nampak abang-abang aku dirumah. Dua-dua sedang bercuti semester dan selalunya mereka ada menonton televisyen tak pun mengacau Rafiq dan Rafi.

“Diorang pergi tolong Tok Empat bersihkan surau lama. Katanya nak jadikan surau lama tu perpustakaan itu yang semangat along dengan angah pi tolong. Oh ye, tadi along pesan kalau Rei ada buku lama yang elok lagi dia suruh balut dan bungkus elok-elok. Nak sedekah kat perpustakaan tu dia kata.”

“Oh ada. Nanti lepas makan Rei cari. Jom Rafiq, Rafi makan?”

“Dukung!” Mak aih masing-masing 20kg nak suruh aku patah pinggang ke dukung budak berdua ni?! Bila nak kata tak boleh masing-masing tayang muka minta simpati. Nak tak nak, aku dukung dua-dua. Sorang kat belakang, sorang lagi dok bergayut kat depan.

“Ya Allah, sakitlah alang tu.” Bebel mak aku apabila melihat si kembar bergayut kat tubuh aku. Aku hanya mampu senyum. Nasib baik tak jauh jarak ruang tamu dengan ruang makan.

“Alang ni dok bagi muka kat budak berdua ni. Kalau Nani memang piat je telinga diorang!” Rafiq dan Rafi menjelir lidah tanda protes kepada Nani. Berbanding aku, Nani memang tegas dengan si kembar dan mereka jarang nak bermanja dengan Nani.

“Hmm Rafiq, Rafi. Tak mahu buat macam tu lagi kat alang. Nak alang sakit ke?” Pantas mereka berdua menggeleng kepala mendengar kata-kata mak. Sayang juga korang kat aku ye?

“Petang ni jadi ke Rei tolong Auntie Fei?” Aku mengangguk mengiyakan kata-kata mak.

“Ingatlah nanti bawa puding roti yang mak buat tu bagi kat dia.”

Okay.” Aku meneruskan suapan nasi ke dalam mulut. Petang nanti lepas Asar baru aku akan ke kebun Auntie Fei.









“Amoi, mali sini! Cukuplah moi!” Laung Auntie Fei yang sudah terduduk ditepi batas kacang tanah. Uncle Ho tak ada hari ini jadi hanya aku dan Auntie Fei sahajalah di kebun. Aku yang kebetulan sudah siap menebas mengumpul daun-daun untuk dibakar dan dijadikan baja.

“Amoi, terima kasih sebab tolong aunty. Mali minum teh.” Aku mengangguk dan mencuci tangan sebelum duduk disebelah Auntie Fei.

“Ini puding roti you amak buat manyak selap. Cakap dia thank you ah.”

Okay. Auntie makanlah. Kalau nak lagi beritahu je.” Aku meminum teh yang dituang oleh Auntie Fei setelah membaca bismillah. Pahit teh Cina tapi ianya cukup menyegarkan tekak yang kekeringan.

“Auntie punya anak ka cucu tak mau woo kalau ajak datang sini. Cakap panaslah, manyak nyamuk tapi lu amoi okay saja kan? Biasalah panas sikijam saja. Takut kulit gelap tapi boleh pula itu sun tan bila pigi pantai. Manyak suwey punya worang!” Aku hanya diam mendengarkan luahan hati Auntie Fei. Jujurnya aku tak berapa kenal dengan anak-anak dan cucunya. Mereka jarang pulang ke kampung ini memandang mereka lebih suka tinggal di bandar besar cerita Uncle Ho tak lama dulu. Alah sini pun bukanlah hulu sangat. Kawasan ini boleh dikatakan sub-bandar tapi cukup damai dan aku rasa aku tak akan mahu tinggalkan tempat ini.

“Nah amoi you punya upah.” Terkejut aku apabila Auntie Fei menghulurkan beberapa keping duit kertas berwarna kuning kepada aku.

“Eh saya tak minta upahlah aunty. Saya kan tumpang belajar kat tanah aunty so..”

“Aiya amoi! Aunty bagi you duit pun tak mau ka? Itu pondok aunty dengan uncle pun selalu berehat sana. Nah ambil!” Duit itu terus dimasukkannya ke dalam poket seluar sukan aku.

“Terima kasih aunty.”

“Sama-sama. Itu duit sikit saja. You buat belanja sekolah aa.” Aku mengangguk faham. Balik nantilah baru aku tengok berapa banyak yang Auntie Fei bagi sebab serius aku tolong bukan sebab nak duit.



“Yo petani moden! Lambat balik?” tegur Abang Wan yang sedang membasuh kereta ayah.

“Ayah, ni macha mana ayah upah ni?” Ayah hanya ketawa dengan kata-kata yang aku tujukan kepada Abang Wan.

“Dey, ini bukan macha tapi macho man okay? By the way, best tolong Auntie Fei?” Aku mengangguk.

“Alang masuk mandi dulu. Angah boleh mandi terus lepas kawtim kereta ni.” Ayah memberi arahan dan kami mengangguk. Jam sudah menunjukkan pukul 6.45 petang maka wajiblah kami bersiap sedia untuk solat Maghrib berjemaah.

“Weh kau mandi kat depan ni jela angah.” Abang Wan menyumpit air dari paip ke arahku sambil galak ketawa. Ceit! Habis basah baju!








Sepanjang hari ini aku dapat rasakan yang aku diperhatikan oleh seseorang. Disebabkan aku memang jenis tak pedulikan orang lain dan pendiam maka aku buat tak tahu sehinggalah penolong ketua kelas, Ashwin memberitahuku yang si Nadhif asyik memandang ke arah aku. Aku? Lantak dialah nak pandang sampai juling pun janji tak kacau hidup aku sudah!

“Nadhif suka you kot.” Aku pantas menggelengkan kepala. Oh Ashwin tak perlulah kau membuat andaian.

Okay I balik dulu. Bye Rei.” Aku mengangguk sambil melambaikan sedikit kepadanya. Dia cuma berborak dengan aku sebab nak hantar buku latihan ke bilik guru sahaja. Kalau tak memang selalu tak ada sesiapa yang akan datang berborak dengan aku.

“Kau cakap apa dengan Ashwin?” Ehey entah dari mana dia datang tetiba muncul tepi aku! Dia ini ada ilmu ninja ke apa?!

“Dia cakap kau suka aku.”

“Hah?! Perasanlah kau perempuan!” Aku hanya menjungkitkan kedua-dua bahu tanda ‘lantaklah’.

“Kau boleh berhenti ikut dan pandang aku sepanjang hari sebab aku tak akan beritahu sesiapa pun pasal nama manja kau sebab ianya tak penting langsung untuk aku sampaikan pada orang lain.” Aku memandang tajam ke wajah si Nadhif. Sesungguhnya aku tak kisah langsung pasal nama panggilan dia dirumah.

“Ah engkau! Aku tak percayakan kau!” bentak si Nadhif dengan muka berang.

“Suka hati kaulah. Kalau ada orang cakap kau suka aku ke kau stalk aku, kau tak payah nak bising.” Aku berjalan laju meninggalkan Nadhif. Malas nak berlama-lama dengan mamat paranoid itu.

“Rei!” Tubuhku ditarik ke belakang. Dek nak mengelak si Nadhif, hampir-hampir sahaja aku dilanggar geng basikal pelesit sekolah.

“Celaka! Korang ingat korang bawak Harley?!” pekik Nadhif kepada geng basikal pelesit yang hanya menjerit ‘sorry’ dari jauh.


“Terima kasih.” Pantas aku berlari meninggalkan Nadhif. Aku rasa dah macam berlakon drama Jepun pun ada. Oh ye jantung aku berdetak laju tadi. Sebab kaget nak dilanggar atau bila Abang Baby jadi macho?

************************************************************************
Alhamdulillah siap satu part. Lama kan tak update? Minta maaflah sebab jarang nak update. Ada saje benda nak dibuat last-last....krik..krik..krik..oh ye pasal buku insyaAllah akhir bulan ni siap cetak. Macam biasa kalau tak suka ka apa sila komen~

(^-^)v

6 comments:

Anonymous said...

Awat comei sangat panggil Abang Baby? Kahkahkahkah waiting for kaka Nasrin punya second part ;)

Norlyana Nasrin said...

Hehe ada ceghita disebalik ceghita~ insyaAllah nnt saya update lg na~

(^-^)v

Unknown said...

Abg baby?? Mcm comel je..kihkihh
Xsaba nk dpt kn buku akak:)

Unknown said...

Abg baby?? Mcm comel je..kihkihh
Xsaba nk dpt kn buku akak:)

Unknown said...

Abg baby?? Mcm comel je..kihkihh
Xsaba nk dpt kn buku akak:)

Norlyana Nasrin said...

@lebah comel: hehehe...insyaAllah tak lama lagi dah nak keluar bukunya.

(^-^)v