Kapitalis

Friday, June 13, 2014

Cerpen: Oh Cik Pelik.

taken from here  

“Along! Bangun! Tolong hantar aku pergi sekolah.” Aku membuka sedikit mata sebelum menarik selimut. Aku yang sedang bercuti solat berasa malas sungguh untuk bangun awal. Sudahlah malam tadi aku bersengkang mata menyiapkan projek aku.

“Along...tolonglah!” Adik lelaki aku sudah mula hendak menangis. Ah sudah! Buruk betul kalau lelaki menangis. Tak pernah-pernah budak ni minta tolong sampai nak menangis. Aku bangun dengan malas lalu mengambil tuala untuk ke bilik mandi.

“Along, cuci muka lepas tu tukar baju jela. Aku dah lambat ni.” Aku mengangguk dengan permintaan adikku. Selesai menggosok gigi dan mencuci muka, aku segera keluar dari bilik mandi.

“Jom.” Aku yang sudah lengkap bertudung dan memakai sweater mengambil beg tangan sebelum kelaur dari bilik tidurku.

“Along! Takkan kau pakai macam ni?” soal adikku dengan muka tak percaya.

“Kau nak cepat kan?”

“Hish! Yela.” Si adik terpaksa akur dengan kakak yang sememangnya lain dari yang lain.

Tiba dipintu pagar sekolah, adikku terus berlari masuk ke dalam kawasan sekolah setelah bersalaman. Hmm biasalah kalau dah lambat. Aku memandu untuk pulang semula ke rumah.

Grruuukk.

Ah sudah! Perut aku dah mula berbunyi. Malam tadi disebabkan terlalu fokus dengan kerja aku terlupa langsung untuk makan. Elok pula ada gerai nasi lemak di tepi jalan yang aku lalui. Terus aku memberi isyarat ke kiri sebelum berhenti dan meletakkan kereta di tempat memarkir kenderaan.

“Makcik nak nasi lemak kerang tambah telur goreng,” pesanku setelah mengimbas sepintas lalu lauk-pauk yang ada. Makcik itu segera membungkus pesananku. Ketika aku hendak mengeluarkan wang dari beg tanganku, sebuah motorsikal menghampiri tempat aku berdiri lantas pemboncengnya meragut beg tanganku.

“Cik! Cik tak apa-apa?” soal makcik nasi lemak cemas. Mungkin risau kerana aku langsung tidak memberikan sebarang reaksi ketika diragut. Aku cuma menggelengkan kepala.

“Sekejap ye makcik, saya ambil duit dalam kereta.” Nasib baik kunci kereta dan telefon pintar aku letak dalam poket sweater. Setelah membayar duit nasi lemak, aku terus ke balai polis untuk membuat laporan.




“Sarjan Ali, malam tadi kita ada buat serbuan di rumah urut ke?” soal seorang polis lelaki yang lengkap berpakaian seragam. Aku hanya memandangnya dengan hujung mata sebelum menumpukan semula perhatian pada lakaranku. Aku tak pandai hendak menggambarkan karakter peragut tadi melalui percakapan maka aku meminta supaya mereka membenarkan aku melukis.

“Bukan Inspektor Hamdan, dia datang buat report.” Mungkin kerana aku hanya memakai sweater dan berkain batik lantas menyebabkan polis itu salah faham. Kain batik pun didalamnya aku ada pakai legging. Fesyen tidur aku memang begini.

“Okey nah.” Aku menyerahkan lakaranku kepada sarjan yang mengambil laporanku tadi.

“Subhanallah. Lukisan cik sangat teliti.” Aku hanya menayang muka selamba. Bakat yang dianugerahkan Allah kepadaku sejak kecil dan kini ia juga sebahagian dari mata pencarianku.

“Berdasarkan GPS tracker saya,dia berada di Klang Lama.” Aku menunjukkan tracker milikku kepada sarjan itu.

“Wah siap pakai tracker bagai, ada apa dalam beg tu?” soal si inspektor setelah mengerahkan anggotanya ke lokasi yang aku beritahu.

“IC, lesen, kad-kad bank, purse dan handphone lagi satu yang saya dah on GPS,” balasku tanpa memandang wajah inspektor itu.

“Banyak ke duit dalam purse?”

“Ada RM30. Beg tangan itu aje yang mahal rasanya.” Set beg tangan berjenama Hermès Birkin merupakan hadiah dari bekas teman lelakiku. Elok juga hilang, selama ini aku memakainya kerana berasa rugi jika dibiarkan buruk. Nak jual aku rasa seperti tak sopanlah pula sebab ia adalah pemberian orang. Hadiah perpisahan yang paling mahal didunia aku rasa. Aku mulanya menolak sebab aku tak kisah sangat pun dengan hubungan kami. Tapi dia berkeras kerana konon kasihankan aku yang ditinggalkan dek kerana mahu menumpukan perhatian pada pelajarannya. Dia kini sudah pun menyambung pelajaran di luar negara.

“Beg apa yang mahal sangat tu?” Aku hanya memandang inspektor itu yang sudah mahu masuk gear menyindir.

“Hermès Birkin.” Mahu tercengang mereka-mereka di balai mendengarkan jenama beg tangan yang aku pakai. Macam mana nak percaya? Pakai sweater dan kain batik tapi bawa Hermès Birkin? Memang macam mengarut tapi nak buat macam mana? Salahkan bekas teman lelaki aku yang terlalu kaya ajelah!

“Oh saya rasa mungkin ini dapat membantu,” lantas aku menghulurkan telefon pintarku kepada inspektor itu.

“Haish mungkin dia seronok sangat dapat rompak beg awak tu.” Tak sangka peragut pun suka ber’selfie’. Gambar peragut tadi dimuat naik ke dalam iCloud. Baguslah, senang sikit polis nak buat kerja.

“Baiklah cik, apa-apa nanti kami akan hubungi cik.” Aku hanya mengangguk sebelum keluar dari balai.

Malam itu, aku dipanggil semula ke balai kerana pihak polis telah berjaya memberkas peragut itu. Alhamdulillah barang aku semua ada. Hmm dapat balik beg tu..





“Nailah, untuk projek kali ni kamu kena beri lebih perhatian pada hiasan bilik tidur dan dapur sebab isteri pemilik ni surirumah yang gila cerewet pasal dua tempat yang saya sebutkan tadi.” Aku mengangguk faham akan arahan yang diberikan oleh bos syarikat tempat aku bekerja. Syarikat seni bina dan hiasan dalaman milik bumiputera yang terkenal di Malaysia dan bos aku ni sudahpun meluaskan pengaruhnya di luar negara apabila terlibat dengan projek mereka hiasan dalaman hotel sahabat baiknya di Korea Selatan.

“Baik Encik Firdaus. Bila dateline?” soalku dengan muka tak ada perasaan. Bekerja dengan Encik Firdaus memang senang dan sangat fleksibel. Kami dibenarkan bekerja dirumah asalkan kerja siap pada waktunya.

“Sebulan dari sekarang. Ni detail yang dia mahu dan awak boleh berurusan dengan dia kalau ada apa-apa yang dia mahu tambah atau kurangkan.” Satu fail bersaiz A4 dihulurkan kepadaku.Sedang aku meneliti fail pelanggan, seorang lelaki masuk ke dalam bilik perbincangan kami. Bilik kaca yang boleh dilihat dari luar dibina untuk mengelakkan sebarang fitnah dan salah sangka. Dengar kata ianya dibina berikutan terdapat peristiwa sedih yang berlaku di syarikat ini.

“Firdaus! Badminton jom!” Terkejut gila aku apabila melihat wajah lelaki yang membuka pintu.

“Weh dah pukul empat ke? Nailah ni sahabat saya, Hamdan. Hamdan, Nailah ni interior designer kat sini.” Encik Firdaus mengenalkanku kepada sahabatnya itu. Hmm tak sangka berjumpa lagi aku dengan inspektor kerek itu.

“Baiklah Encik Firdaus, saya balik dulu.” Aku mengambil fail dan terus keluar dari bilik. Tak ada sebab untuk aku berada lama di situ.






“Along, aku nak buat kerja sambilan boleh tak?” pinta adik lelakiku, Na’il. Aku memandang wajahnya yang nampak serba-salah.

“Tahun ni kau SPM kan? Tak payahlah Na’il. Along boleh sara kau lagi.” Muka hampa adikku kupandang sekilas. Aku dan Na’il anak yatim piatu. Ayahku meninggal dunia ketika Na’il berusia lima tahun dan apabila aku tamat pengajian di universiti, ibuku pula meninggal dunia. Aku bernasib baik kerana diterima bekerja sebaik sahaja tamat pengajian di tempat aku menjalani praktikal. Encik Firdaus memang baik dan tak lokek ilmu membuatkan aku gembira bekerja dengannya.

“Kenapa kau nak kerja?” soalku setelah lama dia berdiam diri.

“Aku nak ambil lesen dan lepas tu nak beli motor.”

“Apasal kau nak beli motor?” Risau juga jika dia terlibat dengan gejala tak bermoral kalau ada motorsikal sendiri. Lagipun selama ini dia ke sekolah dengan menaiki bas sekolah dek jarak rumah kami yang agak jauh dengan sekolah.

“Nak bawa pergi sekolah. Sekarang ni aku dah mula kelas tambahan dan ada latihan ragbi. Selalu juga aku terlepas bas sebab balik lambat. Bila sampai rumah dah nak Maghrib sebab kena naik bas biasa.” Terang Na’il lembut. Ada betulnya juga. Ikutkan aku boleh sahaja nak menghantar dan mengambil Na’il dari sekolah tapi apabila aku sudah mula bergelumang dengan kerja dan perlu berjumpa pelanggan mungkin payah.

“Tak payah kerja la Na’il, nanti penat. Pasal lesen dengan motor tu nanti biar Along uruskan.” Putusku sebelum berlalu ke dapur untuk memasak.

“Along, kalau boleh aku nak cari duit sendiri. Bukan apa, malu aku kalau semua pun nak bergantung pada kau. Aku ni anak lelaki long.” Na’il yang mengikutku ke dapur masih mahu memujukku. Sambil-sambil itu dia mencuci periuk sebelum mula menanak nasi. Kami memang sentiasa bekerjasama bila nak memasak.

“Kau penat nanti Na’il. Tak apa, nanti lepas kau habis belajar nanti kau kerjalah. Arwah ibu dulu pun tak bagi aku kerja sebab nak tumpukan perhatian pada pelajaran jadi aku pun nak kau buat macam tu. Pasal duit kau jangan risau sebab aku memang banyak duit.” Dalam nada serius aku cuba untuk bergurau. Dulu arwah ibuku bekerja untuk menyara kami dua beradik. Nasib baik juga sebab arwah ibu ada menerima pencen arwah ayah. Rumah yang kami duduki sekarang inipun milik arwah ayah yang sudah ditukar ke nama kami.

“Okeylah kalau kau fikir macam tu. Aku kesian kat kau je. Kerja tak tentu masa sebab nak sara hidup kita. Kurang-kurang aku nak juga tolong sikit-sikit.” Barulah aku faham apa yang membelenggu adikku.

“Tak apa Na’il. Ini tanggungjawab yang arwah ibu bagi kat aku. Kau jangan risau pasal aku sebab aku memang suka dengan kerja aku sekarang. Aku nak kau belajar betul-betul dan cari bidang yang kau betul-betul minat sebab bila kau buat benda yang kau suka, kau tak akan rasa macam kau tengah kerja.” Na’il mengangguk lemah setelah mendengar keputusanku. Na’il memang adik yang baik dan tak pernah pun merungut bila kami hidup susah setelah pemergian ayahku. Dalam diam aku terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh adikku ini.

“Dah nak masak apa ni weh? Sup epal?” Entah kenapa mataku tertumpu pada buah epal Fuji didalam peti ais.

“Along kau jangan nak buat gila. Ketepi biar aku masak. Kau tu bukan reti pun.” Na’il menolakku keluar dari dapur. Aku ni bukan reti sangat memasak dan kalau memasak pun ikut suka hati aku. Pernah aje aku buat nasi goreng letak keropok Bika. Na’il yang makan ketika itu hanya mampu ketawa dan menggelengkan kepala. Tapi serius, memang sedap!

“Oh Na’il, hari tu kenapa kau macam nak nangis masa suruh aku hantar kau pergi sekolah?”

“Pagi tu aku ada exam. Malam sebelum tu aku study tu yang terlajak tidur tapi nasib baik sempat Subuh masa tu. Bila kejut kau boleh pula tak nak bangun dan tayang muka tak kisah,” jawab Na’il yang ketika itu sedang mengeluarkan brokoli dari peti ais. Dari kaunter dapur, aku melihat dia sudah melumurkan garam dan kunyit pada ikan kembung. Bawang merah dan bawang putih sudah dipotong dan diletak tepi. Didalam periuk kecil, dia sudahpun memasukkan cendawan. Fuh, adik aku memang hebat! Dengan wajah yang tampan mengikut arwah ayahku, badan atletik dan cekap di dapur...adik aku memang pakej! Oh tak lupa juga, dia perintis imam dan juara Qari di kawasan perumahan kami ni.






“Nailah! Sini,” lambai Santha ke arahku. Aku yang baru sahaja tiba terus mendekatinya. Manusia kedua selain keluargaku yang dapat bertahan dengan perangai aku selepas bekas teman lelakiku.

“Wah Nailah oren kau hari ni?” gurau Santha dengan tangannya bermain-main dengan hoodie aku.

“Hmm fesyen malas.” Aku hanya memakai hoodie Dragon Ball berwarna oren, berseluar track hitam, tudung berwarna putih krim dan sneaker berjenama Converse. Hari ini merupakan hari berkumpul diantara para pekerja. Lebih kurang macam hari keluarga tapi aktiviti ini dijalankan seminggu sekali. Selalunya kami berkumpul untuk bermain bowling di pusat sukan yang sudah ditempah oleh bos kami.

“Assalamualaikum.” Dia lagi! Inspektor kerek itu memandangku dengan senyuman.

“Waalaikumussalam. Santha, aku pergi beli air.” Aku beredar ke kaunter menjual makanan dan minuman malas aku nak beramah mesra dengan inspektor kerek itu.

“Kau suka main bowling?” pertanyaannya aku biarkan tanpa jawapan.Boleh pula dia mengikutku sampai ke sini. Aku membayar harga air mineral yang aku ambil. Selalunya aku membawa air dari rumah tapi tadi disebabkan lambat, aku terlupa terus.

“Aku minta maaf pasal hari tu. Mulut aku ni kadang-kadang terlepas cakap.” Dia masih tak beralah dan cuba untuk bercakap denganku membuatkan aku sedikit rimas. Sebagai seorang yang introvert, aku memerlukan masa untuk hatta bercakap seperti biasa dengan sesiapa pun.

Aku mengangguk untuk mengelakkan dia berterusan mengikutiku. Tolonglah, aku dah mula tak selesa! Nasibku baik apabila Santha muncul dan menarikku ke kumpulan kami. Aku melihat dia beredar ke kumpulan yang diketuai oleh Encik Firdaus. Kelihatan isteri Encik Firdaus, Puan Adriana yang sedang duduk meriba anak mereka ditepinya Encik Muiz yang seronok bergurau dengan Encik Firdaus. Kenal pun sebab mereka memang rajin datang ketika aktiviti sebegini.

“Okey kita ikut aturan macam biasa. Santha, Joe, aku dan last kau Nailah.” Masing-masing mengangguk mendengar arahan dari Nadir yang dilantik menjadi ketua. Aku mangambil tempat untuk berehat seketika sebelum permainan bermula. Ahli kumpulan yang lain sibuk berborak sesama mereka dan seperti biasa aku lebih senang sendiri.

“Untuk awak.” Coklat Toblerone Dark Chocolate diletakkan didepanku sebelum dia balik semula ke kumpulannya. Diatas coklat terdapat nota kecil. Aku tersenyum sendiri dengan telatah inspektor kerek itu. Mesti dia mengorek rahsia dari Encik Firdaus. Dia sahaja yang tahu aku gilakan coklat ini sebab pernah nampak sekotak besar coklat Toblerone dimejaku. Lantas setiap kali dia ke Langkawi, dia akan membelikan coklat ini sebagai cenderahati. Untuk pekerja lain juga dia selalu membelikan benda yang mereka sukai. Sememangnya dia adalah contoh majikan yang terbaik.

Okay get ready team!” Nadir yang sudah bersemangat membuatkan ahli kumpulan yang lain turut bersemangat. Aku bangun dari tempat dudukku dan bersedia untuk bermain. Coklat itu aku masukkan ke dalam poket hoodie.


Seperti yang sudah dijangka, kumpulan kami menang lagi minggu ini. Untuk minggu depan, mereka mencadangkan supaya bermain futsal atau bola tampar. Aku rasa memang aku tak nak datang kalau main dua permainan tu. Untuk minggu ini, Encik Firdaus menghadiahkan baucer membeli-belah bernilai RM400 setiap seorang dalam kumpulan yang menang. Memang aku bagi kat Na’il jela, dia yang selalunya membeli-belah untuk rumah kami. Aku hanya pemandu dan peneman adikku sahaja.

So, I meet you next week?” Inspektor kerek itu bertanya sambil kakinya menguis-guis lantai. Apahal dengan dia ni?

Not sure.” Aku membalas sebelum berjalan keluar dari pusat sukan. Telefon yang berbunyi membuatkan aku terhenti.

“Waalaikumussalam. Ye..tunggu kejap.” Pintu Kia Rio aku buka dan menghidupkan enjin. Serius berbahang sebab aku parkir kat tempat terbuka. Tadi dok kalut sebab lambat maka aku parkir aje ditempat meletak kenderaan yang dekat dengan pintu masuk.

“Kau ada date ke lepas ni? Kelam kabut je.” La inspektor kerek tu parking sebelah aku rupanya. Mazda 6 berwarna hitam kepunyaan inspektor kerek itu nampak berkilat dan bersih.

“Nak keluar dengan adik.” Aduh apasal la aku tak cakap je boyfriend? Mesti dia dah tak kacau aku lagi tapi entah kenapa aku tak boleh nak menipu.

“Okeylah hati-hati. Assalamualaikum.” Dia tersenyum sebelum masuk ke dalam kereta. Sudut lain dalam diri aku merasakan dia tidaklah seteruk mana dan masih boleh dijadikan kawan. Aku menggelengkan kepala sebelum memasukkan gear pemanduan, mahu kena leter dengan Na’il kalau lambat.






“La jumpa lagi?” Biar betul?! Inspektor kerek itu sedang membeli barangan basah di pasaraya yang sama dengan aku. Na’il memandangku dengan pandangan ‘minta penjelasan’.

“Adik Nailah ke? Assalamualaikum nama abang Hamdan.” Inspektor kerek itu menghulurkan tangan kepada Na’il. Na’il menyambut huluran tangan dan menjawab salam.

“Abang shopping untuk isteri ke?” soal Na’il ramah. Na’il bukan sepertiku. Dia senang sahaja bergaul mesra dengan sesiapa pun. Jiran-jiran di kawasan perumahan lebih mengenali Na’il berbanding aku.

“Taklah, abang mana kahwin lagi.” Aku perasan yang inspektor kerek itu tersenyum-senyum ke arahku. Aku buat tak tahu sambil membelek-belek kentang konon buat macam sedang memilih padahal elok ke tak elok kentang tu aku bukan tau pun.

“Oh mak abang suruh beli baranglah ni? Banyak membeli?” Serius Na’il, kau memang terlalu ramah!

“Haah, biasalah. Selalu dia bagi list barang dan abanglah kena keluar beli. Ni apa nama? Dari tadi dok berborak tapi nama apa abang tak tau.”

“Saya Na’il. Ni kami beli barang untuk stok seminggu. Kalau biar Along saya ni mahu dia beli megi satu karton je.” Aku menyiku Na’il tanda protes. Kurang asam punya adik! Sempat lagi dia kenakan aku depan inspektor kerek ni! Jatuhlah saham aku..eh sejak bila aku kisah pasal saham ni?

Rancak mereka berborak sehinggakan aku sempat pergi ambil aiskrim La Cremeria dengan aiskrim Walls Selection dan balik semula pun mereka tak habis-habis berborak.

“Along! Kenapa ambil aiskrim banyak-banyak? Satu cukup!” La aku ingatkan dia tak perasan. Si Na’il ni memang tegas dan cerewet dalam bab membeli barang. Macam mana dia tak marah, aku ambil empat aiskrim La Cremeria dan empat aiskrim Walls Selection pelbagai perisa. Bila aku bosan dan tekak aku rasa nak makan aiskrim aku memang begini. Nak-nak lagi aku tengah datang bulan.

“Eh tak apa, biar abang belanja aiskrim-aiskrim tu. Korang pun dah nak pergi bayar kan? Jom!” Tiba-tiba aku rasa macam Hamdan ni malaikat yang diturunkan untuk aku. Hish! Jangan mengarut!

Selesai membayar, mereka sambung berborak sehingga ke tempat meletakkan kenderaan. Lagi sekali, keretanya disebelah kereta aku. Dia membantu memasukkan barang kami ke dalam bonet kereta setelah siap memasukkan barangannya.

“Okey Na’il, apa-apa nanti contact abang ye? Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam. InsyaAllah bang.”

Memang senang betul orang lelaki ini jadi kawan. Sekejap sahaja berjumpa dah macam kenal 10 tahun!






“Along, aku rasa abang Hamdan tu suka kat kau.” Aku yang sedang seronok memakan aiskrim terhenti seketika sebelum menyambung suapan. Selepas makan malam, kami makan aiskrim sambil menonton televisyen.

“Along kalau abang Hamdan tu, aku benarkan.” Ek eleh budak ni! Tahulah bekas teman lelaki aku sebelum ini tak menepati piawaian si Na’il dan selalu di ‘bo’ layan oleh Na’il setiap kali keluar bersama. Memang aku ke mana-mana pun akan membawa Na’il jika keluar dengan bekas teman lelakiku dulu. Tak selesa aku nak berdua dengan dia dan nasib baiklah dia pun jenis tak kisah.

“Na’il, I don’t want to talk about this.”

“Along, kau tak nak kahwin sebab kau risau pasal aku kan?” Isk macam manalah budak ni tahu? Kalau boleh aku nak tengok Na’il boleh berdiri diatas kaki sendiri baru aku fikir pasal diri sendiri.

“Na’il..”

“Along kalau kau kahwin pun, kau still boleh jaga aku kan? Kau bayangkan, lepas ni kalau ada rezeki aku masuk U siapa nak jaga kau long? Takkan hari-hari kau nak makan megi je? Tiba sengal kau mahunya kau masak nasi goreng Bika tak pun sup epal. Isk aku pula risau pasal kau ni long!” Adui comel betullah adik lelaki aku ni! Dalam diam aku mengakui yang aku pun rasa helpless tanpa adik aku ni.

“Aku cakap betul-betul ni Along. Kalau abang Hamdan cakap suka kat kau aku nak kau terima dia okey?” Wajah serius Na’il membuatkan aku terkedu. Tapi kalau inspektor kerek tu tak suka kat aku macam mana pula dik oiii?





“Eh Nailah buat apa kat sini?” Adakah ini bukti aku ada jodoh dengan inspektor kerek ini?

“Nailah?”

“Melukis.” Terang-terang aku tengah menconteng atas papan lakaran takkan aku menari kot?

“Sorang je ke? Mana Na’il?”

“Sekolah.” Aku menyambung semula melakar permandangan pagi Tasik Titiwangsa. Waktu yang ramai orang keluar berjoging dari pasangan kekasih membuat maksiat. Selesai melakar, aku berpusing untuk mengambar cat warnaku. Betapa terkejutnya aku apabila melihat Hamdan masih berada disitu. Fikirku dia akan beredar jika aku tidak melayannya.

“Aku ingatkan kau dah balik.” Aku memulakan operasi mewarnakan lukisanku. Ini merupakan hobi yang kadangkala mendatangkan wang kepada aku apabila aku membuat jualan.

“Mana mungkin aku nak tinggalkan kau sorang kat sini lagipun seronok tengok kau melukis.” Jawapan si inspektor kerek itu membuatkan jantungku berdetak hebat. Buat pertama kali dalam hidup aku, aku berperasaan begini.

“Suka tengok aku melukis?”

“Suka dengan orangnya jadi apa yang kau buat aku suka tengok.” Woah! Aku rasa nak terjun tasik sebab malu tapi mukaku masih tanpa reaksi.

“Nailah, senang cakap aku suka kau dan aku nak jadikan kau milik aku. Kau nak tak?” Masa-masa ini juga aku teringat pesan si Na’il. “Kalau abang Hamdan cakap suka kat kau aku nak kau terima dia okey?”

“Kau pasti ke yang kau suka aku?” soalku dengan muka kering.

“Allah tahu Nailah. Aku dah buat isthikarah. Kalau kau nak, kita kahwin terus.” Woah Jose, that escalated quickly!

“Baik, sila minta izin dengan Na’il.” Aku meneruskan kerjaku dengan muka yang memerah. Senyum sendiri memikirkan lamaran paling selamba oleh si inspektor kerek.


“Kau nak la ni Nailah? Alhamdulillah!” Si inspektor kerek sudah melompat gembira dibelakang tempatku melukis. Lukisanku kini aku tambah dengan lakaran kecil kami berdua. Sengaja aku mahu abadikan saat ini didalam lukisanku.

27 comments:

Unknown said...

haha, perompak pun selfie? ada ke yang buat nasi goreng BIKA dengan sup epal? hahaha, terbaiklah kak !!

Norlyana Nasrin said...

Hehe ada2 dulu kecoh kt fb..senang polis tu tgkp..nasi goreng Bika tu cerita kwn akak n sup epal tu akak yg buat hehehe
(^-^)v

Anonymous said...

Sedap ke sup epal?? Hehe bak meh resipi nak try buat..
-new fan HR-

Norlyana Nasrin said...

@new fan HR: Hehehe~ianya terjadi secara tak sengaja..nenek saya buatkan bekal sup dan diletak sama bekas dengan epal..entah macam mana saya buat sup tu tertumpah n kena sekali dengan epal tu..maka terjadilah sup epal~ okey je rasanya hahaa~

SuhaFasihah said...

Sis, as usual, simple yet so good~!!! :)
Apsal rasa mcm pendek je cerpen ni? *padahal sebab tak puas baca. Rasa mcm nak minta sambungan pulak* hehehe

Keep up the good work sis...
Salute you for being able to write a few numbers of short stories in a short period of time... It makes me think that you can write any stories effortlessly... *jealous dengan orang yang Allah kurniakan bakat mcm sis * jealous in a positive way of course ;)

Will always look forward for your next masterpieces...

Norlyana Nasrin said...

@Suha: Hehehe takde2~ (>O<)

InsyaAllah..
Alhamdulillah, it is a gift from Allah. Dulu saya tak suka pun buat kerja sekolah yang melibatkan karangan dan masa UPSR pun untuk subjek BM Penulisan saya dapat B huhu...

InsyaAllah saya akan terus menaip selagimana Allah memberikan inspirasi (^-^)v

Anonymous said...

Hehehe itu kah haha okeyh2 thanks x kan di buat tapikann nasi goreng bika tu dah try sedap gak mcm makan ngan keropok ikan.. hahahaha

Norlyana Nasrin said...

hehehe kan? try Super Ring plak keskeskes

Mawar Ungu said...

Simple but I love it..

Norlyana Nasrin said...

Thank Mawar Ungu (^-^)

Anonymous said...

Best baca. Lawak + gila2. Tp rasa mcm saya jatuh suka kat Na'il lg dr Hamdan. Ada tak Na'il versi dewasa. Haha..

Norlyana Nasrin said...

@Anonymous 3/9/2014 10.46: Hehehe yang benornya saya pun suka kat Na'il hahaha~insyaAllah nanti saya buat satu cerpen untuk Na'il huhu~

Anonymous said...

Kak buat la Na'il versi dewasa..mesti handsome gila kan..waa..sukanya..

Norlyana Nasrin said...

InsyaAllah nanti akak usahakan. Sekarang akak nak habiskan cerita Bercinta Dengan Mamat Bangla dan Isteriku Ratu Ais.

(^-^)v

Anonymous said...

Best crita ni... saya suka sngt2x.. kelakarlah... good job writer

Norlyana Nasrin said...

Alhamdulillah terima kasih ye.

(^-^)v

Unknown said...

Nice..

Norlyana Nasrin said...

@jude judy: Alhamdulillah. Thanks. (^-^)v

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Norlyana Nasrin said...

@Joe Wan: Hehehe kenapa pula?

(^-^)v

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...
This comment has been removed by the author.
lisanna said...

Macam pendek je cerita... tp ape ape pun best

lisanna said...

Macam pendek je cerita... tp ape ape pun best

Norlyana Nasrin said...

@lisanna: thanks (^-^)v

yang ni ada sambungannya untuk dari sudut pandang Hamdan dalam buku koleksi cerpen

Unknown said...

hp iphone dan xiomi dilengkapikeselamadimanana kalau hilang kalau orang yg curi membuka hp tu aksn disnap hambar orang yg membukadan gambar tu akan dihantar ke email tuanpunya hp
jadmakssud selfie tu adalah snap gambar

Unknown said...

dilengkapi keselamatan