Kapitalis

Wednesday, January 1, 2014

Isteriku Ratu Ais - Bab 27

taken from here  

Jam sudah menunjukkan pukul sembilan malam dan Adriana masih tidak pulang-pulang lagi. Perasaan resah dan gentar semakin menguasai dirinya. Bimbang akan keselamatan isterinya dan yang paling membuatkan dia hampir sasau jika benar Adriana terus hilang dari hidupnya. Petang tadi sebaik sahaja pulang dari tempat kerja, dia terus balik ke rumah mereka. Hampir gugur jantung Firdaus melihatkan tiada pun Peugeot RCZ coupe milik Adriana diperkarangan rumah. Daris, Fateh dan Fatehah masih lagi dirumah Datin Hafsyah. Datin Hafsyah sendiri yang meminta Firdaus membiarkan mereka bertiga tidur dirumahnya lagipun Datin Hafsyah bimbang jika tiba-tiba mereka bertanyakan tentang Adriana mahu lagi bertambah kusut si Firdaus.

“Ya Allah mana isteri aku ni?” Firdaus mundar-mandir  diruang tamu rumah mereka. Rasanya sudah 150 juta kali dia menelefon Adriana namun tidak sekali pun berangkat. Rasa kecewa kerana Adriana berlari meninggalkannya sebelum sempat dia memberikan penjelasan.

“Haish tak boleh jadi ni!” Firdaus menyambar kunci keretanya. Dia perlu keluar mencari isterinya. Dia tak betah hanya duduk menunggu dirumah. Belum sempat dia keluar dari rumah, lampu kenderaan yang menyorot masuk ke dalam perkarangan rumah mereka membuahkan harapan buat Firdaus. Pantas dia berlari ke muka pintu untuk menyambut kepulangan isterinya.

“Assalamualaikum Firdaus! Weh apasal kau excited sangat jemput aku depan rumah ni?” gurau Muiz . Firdaus memandang Muiz dengan wajah yang hampa. Ingatkan Adriana yang pulang tadi. Dibelakang Muiz, Iqram dan Hamdan hanya tersengih memandang Firdaus yang berlari keluar tanpa memakai kasut.

“Waalaikumussalam. Masuklah,” pelawa Firdaus. Wajahnya yang muram mematikan senyuman dibibir sahabat-sahabatnya. Perlahan mereka mengikut langkah Firdaus masuk ke dalam rumah. Firdaus mempelawa mereka duduk sementara membawa keluar beberapa botol air teh hijau dari peti ais. Sebaik sahaja dia melabuhkan punggung, mata ketiga-tiga sahabatnya itu tertumpu ke arahnya.

“Kenapa ni bro? Kau ada masalah ke?” Hamdan bertanya. Bahu Firdaus dipegang perlahan. Firdaus seorang yang pendiam tapi bukan seorang yang bijak menyembunyikan perasaannya. Air mukanya yang keruh mudah sahaja dibaca oleh mereka.

“Ana tinggalkan aku.” Lirih suara Firdaus. Kepalanya sudah ditundukkan ke lantai. Bila-bila masa sahaja air matanya akan menitis. Biarlah orang kata tak macho kerana sememangnya dia sedang menanggung beban jiwa yang tak tertahan.

“Kau merepek apa ni bro? Baru beberapa hari lepas aku tengok korang happy. Takkanlah Adriana tiba-tiba tinggalkan kau?” Tak masuk akal bagi Muiz untuk Adriana tinggalkan Firdaus yang sangat baik. Diantara mereka berempat, Firdaus sentiasa bersikap lembut dan penyabar. Jika ada salah faham, Firdauslah orang pertama yang akan berusaha meleraikan pergaduhan dan menasihati mereka.

“Firdaus cuba cerita kat kami. InsyaAllah kami akan tolong.” Iqram memandang tepat ke wajah Firdaus yang murung. Inilah kali pertama sepanjang tempoh persahabatan mereka dia melihat Firdaus yang begitu rapuh.

“Ana..dia salah faham. Tadi Jannah, junior satu universiti aku datang office dan minta aku decorate ruang tamu rumah dia. Masa aku nak hantar dia keluar entah macam mana kaki aku boleh tersadung lepas tu boleh pula landing kat atas budak tu. Ana pula masuk time tu dan ingatkan aku tengah buat benda tak senonoh. Tak sempat aku nak jelaskan dia dah lari tinggalkan aku. Separuh nyawa aku cuba kejar dia tapi...” Firdaus sudah tak mampu lagi untuk meneruskan kata-katanya. Air mata lelakinya akhirnya tumpah dihadapan ketiga-tiga sahabatnya.

“Aku risau dia terus salah faham dan tak mahu jumpa aku lagi. Aku takut kehilangan dia..” sambung Firdaus selepas mendiamkan diri selama hampir seminit. Hamdan menepuk perlahan bahu Firdaus. Kasihan sahabatnya.

“Firdaus, jangan macam ni. Kita cari Adriana sampai dapat okey?” pujuk Iqram. Dia sendiri kurang faham kenapa Adriana mengambil tindakan melulu dengan meninggalkan Firdaus tanpa mendengar sebarang penjelasan. Setahunya isteri Firdaus seorang yang cool dan sentiasa berfikir sebelum bertindak.

“Hmm tak apa nanti aku upah orang untuk cari Adriana okey? Ke kau nak aku buat iklan ‘Dimana Adriana Hanan’ dan letak kat semua skrin dalam Malaysia ni?” gurau Muiz cuba untuk menceriakan sedikit suasana. Tak betah dia melihat sahabatnya yang begitu rapuh sekarang.

Thanks. Tapi kau jangan buat gila kang nampak sangat aku ni tak guna sebab seorang isteri pun tak boleh nak jaga,” balas Firdaus tersenyum kecil. Terhibur sedikit hatinya dengan idea gila Muiz. Tapi dia tahu Muiz boleh berbuat begitu jika dia mahu.

“Kau dah makan belum?” Firdaus menggelengkan kepala. Seleranya mati dan perutnya seperti tidak boleh menerima makanan sekarang. Hamdan melepaskan dengusan kasar.

“Jom kita pergi makan. Kau tak boleh seksa diri macam ni. Jom!” Arah Hamdan dengan muka bengis. Nak tak nak Firdaus hanya mengikut. Hamdan, siap tak kenal? Kalau dah keluarkan arahan dengan muka ala Genghis Khan maka wajiblah mendengar. Lagipun dia tahu yang Hamdan risaukan keadaannya.

“Kot ye pun tunggu la Firdaus tukar baju. Takkanlah nak keluar pakai kain pelekat je?” tegur Iqram.

“Yang kau tadi berlari keluar tak fikir pula kau pakai apa, Firdaus? Dahlah cepat siap!” Firdaus hanya mengangguk.

Firdaus masuk ke bilik tidur dia dan Adriana untuk menukar pakaian. Dia sendiri tak perasan yang dia hanya memakai kain pelekat sejak dari usai solat Isyak tadi. Selesai sahaja menukar pakaian, Firdaus turun ke tingkat bawah dengan langkah yang longlai. Tadi sempat juga dia mencalitkan sedikit losen tangan Adriana dipergelangan tangannya. Rindu pada isteri mula menapak didalam hatinya.

‘Ya Allah semoga Ana selamat di luar sana,’ doa Firdaus didalam hati.


Adriana memarkirkan Peugeot RCZ coupe miliknya dengan berhati-hati. Sudah lama dia tidak menjejakkan kakinya di sini. Dahulu dia akan ke sini setiap kali dia inginkan privasi dan mencari ketenangan. Penthouse milik papanya yang sudah diubah ke namanya apabila dia berjaya mendapatkan tender pertamanya dahulu. Kata Datuk Ilyas, ini merupakan hadiah untuk menjadi pemangkin Adriana Hanan yang sentiasa tayang muka tak kisah walhal dia sendiri tahu dari mana Adriana mewarisi wajah tak ada perasaan itu.

Adriana melangkah keluar dari tempat parkir dengan perasaan berbaur. Tiba-tiba sebiji epal bergolek ke kakinya. Dia menunduk untuk mengutip epal itu. Kelihatan seorang gadis kecil sedang berlari mendapatkan Adriana. Tahu sangatlah milik siapa epal ini.

Thank you. Itu epal say....Mama?!!!!” Adriana terkejut apabila gadis itu menggelarkan dia mama lantas memeluk Adriana erat.

“Mama pergi mana? Papa cakap mama kerja jauh. Suha rindu mama sangat-sangat. Papa pun hari-hari tengok gambar mama sampai nangis-nangis.” Tak berhenti gadis kecil itu berceloteh. Adriana membiarkan sahaja tubuhnya dipeluk. Kasihan dengan gadis kecil ini. Naluri keibuannya mula tersentuh.

“Suha janji jadi budak baik. Mama jangan tinggalkan Suha lagi ye? Hmm?” Mata bulat si gadis kecil bernama Suha itu dipandang simpati. Tanpa sedar Adriana menganggukkan kepala. Dari pemerhatian Adriana, Suha mungkin berusia dalam lingkungan empat atau lima tahun. Gadis kecil itu berkulit putih gebu, bibirnya merah merekah dan mempunyai hidung yang mancung. Telah Adriana, mungkin Suha merupakan anak kacukan.

“Syarifah Nur Suha! Berapa kali papa pesan jangan berjalan seorang diri!” seorang seorang lelaki bertubuh tegap mendekati Adriana dan Suha. Muka lelaki itu nampak terkejut sebaik sahaja dia mendekati mereka.

“Eryna?” Adriana pantas menggelengkan kepala. Tak mahu lelaki itu turut salah sangka seperti anaknya. Mahu naya kena peluk dengan si bapa pula.

“Nama saya Adriana Hanan. Tadi saya kutipkan epal ini untuk Suha dan mungkin dia salah anggap yang saya ni mama dia. Baiklah encik saya pergi dahulu.” Tukas Adriana lalu melepaskan pelukan Suha perlahan-lahan. Suha mengetatkan lagi pelukan membuatkan Adriana sukar untuk melepaskan diri.

“Suha, lepaskan aunty Adriana.” Pujuk lelaki itu lembut.

“Tak mahu! Ini mama Suha!” bentak Suha. Tangannya merangkul leher Adriana erat.

“Suha! Papa kata lepaskan!” Tengkingan dari papanya membuatkan Suha melepaskan Adriana serta-merta. Mukanya tersebik-sebik menahan tangisan yang bakal meletus dalam masa 1..2..3

“Waaaa...nak mama Suha! Papa jahat! Papa tak sayang Suha. Mama..mama..” Adriana mula panik dengan tangisan Suha yang kuat dan mendayu-dayu. Papanya hanya menayang muka dingin. Tak ada perasaankah lelaki ini? Eh kata orang pula? Kamu pun lebih kurang begitu Adriana,kutuknya dalam hati.

“Encik..”

“Syed Azfar,” balas lelaki itu pendek. Matanya tertancap pada wajah anaknya yang masih belum berhenti menangis.

“Encik Syed, boleh biarkan Suha dengan saya sekejap?” pinta Adriana dengan muka tanpa perasaan. Wajah Adriana dipandang Syed Azfar tanpa berkelip.

“Untuk apa?”

“Saya nak tenangkan dia dahulu. Boleh?” Kelihatan Syed Azfar berfikir sejenak sebelum menganggukkan kepala. Syed Azfar, lelaki yang bertubuh tinggi dan sasa. Kulit lelaki itu putih dan mempunyai hidung yang mancung sama seperti anaknya. Dari namanya, mungkin Syed Azfar berketurunan Arab.

“Baik tapi saya nak ikut sekali.” Adriana bersetuju dengan permintaan Syed Azfar. Logiklah bapa mana yang akan membenarkan anak mereka mengikut orang yang tidak dikenali. Nak-nak lagi mereka baharu sahaja bertemu.

“Suha, jom makan aiskrim nak?” pujuk Adriana. Suha berhenti menangis dan terus menganggukkan kepala. Pantas tangannya menggapai tangan Adriana. Tak mungkin dia lepaskan ‘mama’nya lagi. Adriana melayan sahaja keletah Suha dengan sabar. Suha mengingatkannya pada Fatehah. Teringat pula dia pada budak bertiga itu, macam mana nasib mereka dengan Firdaus. Mungkin mereka akan ditinggalkan di rumah Datin Hafsyah kerana dia tahu Firdaus tak mampu menjaga ketiga-tiga anak buahnya seorang diri. Fikir pasal Firdaus dia mula sakit hati dan pening kepala.


Syed Azfar mengekor dari belakang. Hatinya berasa tidak tenteram melihatkan kemesraan anaknya dan Adriana Hanan yang baharu sahaja dikenali. Sumpah! Wajah Adriana seiras Eryna sehinggakan dia sendiri hampir salah orang. Wajah yang membuka semula luka dihatinya, wajah yang dirindui sejak lima tahun yang dahulu kini menjelma dihadapannya tapi yang pasti perempuan itu adalah Adriana Hanan bukan Eryna Jauza!



"Mama!!!" jeritan Suha mengejutkan Syed Azfar dari lamunan. 


"Ya Allah, Adriana!!" Syed Azfar berlari mendapatkan Adriana yang sudah terbaring di atas lantai. Adriana yang tidak sedarkan diri dicempung Syed Azfar.


"Hello Nik, datang rumah aku sekarang!" Syed Azfar segera menelefon sahabat baiknya yang juga seorang doktor. Suha memandang wajah papanya yang panik. Dia sendiri terkejut apabila 'mama'nya tiba-tiba sahaja tidak sedarkan diri.


 "Papa kenapa dengan mama?" kudus Suha bertanya. Syed Azfar menekan butang lif dan memandang wajah anaknya sekilas. Nasib baik Adriana bertubuh kecil, kalau tidak seksa juga nak mengangkat Adriana sambil menunggu lif.



"Papa tak tahu. Jangan risau, sekejap lagi Uncle Nik datang tengokkan mama okey?" jawab Syed Azfar. Mereka masuk ke perut lif sebaik sahaja pintu lif terbuka. Syed Azfar mencuri pandang wajah polos Adriana. Dalam hati dia beristighfar menyingkirkan keinginan untuk mengucup pipi gebu itu. Wajah Adriana yang menyerupai Eryna hampir menyukarkannya untuk membendung keinginan itu. Suha yang dai tadi memerhatikan gelagat papanya hanya mendiamkan diri. Dia sendiri tak mahu sesuatu yang buruk terjadi pada 'mama'nya.

No comments: