Kapitalis

Friday, February 12, 2016

Heartbreak Compilation 3: Hidup

[credit]   

“Arghhhhhh!!!” Terasa bagaikan semua urat-urat terputus dan nyawaku bakal bercerai dari jasad.

“Sabar puan. Bukaan dah besar. Sikit sahaja lagi puan.” Jururawat disebelahku tak putus asa memberikan dorongan dan sokongan moral.

“Sakit nurse..sakit.” Aku merintih dan dalam masa yang sama aku cuba menarik nafas dalam-dalam.

“Lagi sikit je ni puan. Sabar.” Tanganku digenggam erat. Wajahnya tak lekang dengan senyuman. Bagaikan gembira dengan bakal penambahan manusia di muka bumi ini.

......................................................................................................................................

“Oyin, kau tak nak ikut kitorang ke?” Bibah, rakan sekolahku mula mengambil tempat disebelahku.

“Tak mahulah. Esok aku dah kena hantar lukisan aku tu. Jadi malam ni memang tak tidurlah.” Bibah mengangguk faham. Faham dengan obsesi aku terhadap seni lukis. Aku menyertai pertandingan melukis diatas galakan guru Pendidikan Seni dan syukur lukisan aku menarik minat pemilik galeri. Sudah tiga kali lukisan aku dipaparkan di galeri di pusat Bandar.

“Seronok jadi kau Oyin, kau dah tak payah pening pasal masa depan. Aku yakin pemilik galeri tu apa nama? Oh ye, Puan Salmah mesti nak kau bekerja dengan dia tak pun hantar kau sambung belajar di luar negara.” Aku tertawa kecil dengan angan-angan Bibah. Aku semestinya tidak menaruh harapan tinggi namun jika ada peluang, aku memang mahu ke luar negara. Menimba ilmu disamping melihat negara orang. Aku yakin karya aku pasti akan berlainan selepas itu.

“Jika ada rezeki aku Bibah.” Aku melepaskan keluhan kecil. Aku dan masa depan. Entah kenapa aku sendiri masih kabur dengan masa depan aku sendiri.
..............................................................................................................................

“Mak tak izin kan kau pergi luar negara Hazrin! Kau perempuan! Faham sikit bahaya perempuan seorang diri di negara orang!” Air mata aku tak berhenti menuruni pipi.

“Saya bukan seorang diri mak. Sana ramai lagi pelajar universiti dari merata pelusuk dunia datang menuntut ilmu. Sa..”

‘Pang!’ Pijar pipiku ditampar mak. Acap kali bibir aku pecah akibat tamparan seorang ibu ini.

“Kau jangan nak melawan cakap mak! Penat mak kutip kau dari kecil! Bagi makan, tempat tinggal dan siap hantar kau pergi sekolah! Kau nak balas jasa mak dengan tinggalkan mak terkontang-kanting kat kampung ni?! Dasar anak pungut!”

“Kau ingat kau boleh bagi mak senang dengan lukisan cabuk kau ni?! Setakat letak kat galeri picisan tu kau dah mula naik kepala dan tak mahu dengar cakap mak! Mak tak izinkan! Kalau kau berdegil, mak tak teragak-agak nikahkan kau dengan anak penghulu tu malam ini juga!” Aku hanya mampu menangis. Tak tergamak untuk aku melawan kata mak yang sanggup membesarkan aku seorang diri.

………………………………………………………………………………………………

“Doktor! Ada komplikasi!” Jantungku bagaikan terhenti seketika mendengarkan kata-kata dari jururawat. Apakah tak cukup lagi penderitaan yang aku alami sekarang? Oh tuhan kenapa kau kejam dengan aku?!

“Puan, banyakkan berzikir. Ingat Allah.” Jururawat ini masih tak putus-putus memberikan semangat. Ingat Allah? Bukankah DIA yang berikan aku kesakitan ini?! Hati semakin gelap dan jiwaku semakin tak tenteram. Aku tak mahu anak ini!

Nasib anak ini akan berkemungkinan besar sama seperti aku. Aku dapat rasakan yang aku akan mati sebaik sahaja melahirkan dan anak ini akan menjadi anak yatim. Lelaki yang sepatutnya menjadi bapa anak ini tak mungkin menerima hakikat yang ini zuriatnya. Zuriat hasil hubungan dengan perempuan hina seperti aku. Hidup tak dipandang, mati tak dikenang orang.

…………………………………………………………………………………………………

Tanganku melakar permandangan senja dari jendela rumahku. Sejak aku menyuarakan keinginanku untuk ke luar negara, aku tak dibenarkan keluar dari rumah. Sekolah pun sudah tiga hari tidak aku kunjungi. Aku dipenjara dirumah sendiri dan aku sendiri pun tak berusaha untuk keluar dari penjara ini kerana aku tahu yang tiada tempat lain yang boleh aku tuju.

Sejak dari kecil aku akan dikurung sekiranya melakukan sesuatu yang melanggari peraturan dicipta oleh mak. Aku tak dibenarkan bermain dengan kanak-kanak sekampung. Zaman kanak-kanak aku hanya bertemankan pensil dan kertas lukisan. Kertas lukisan pun dibeli mak setelah aku merayu berhari-harian dan berjanji tak akan keluar dari rumah. Zaman persekolahan barulah aku dapat bergaul dengan rakan sebaya namun terhad kerana aku tak pandai membawa diri dan hanya segelintir sahaja daripada mereka yang mahu berkawan dengan aku.

“Hazrin, mak nak cakap sikit.” Aku mendekati mak yang sedang duduk disofa ruang tamu. Aku yang baru sahaja selesai solat Maghrib dapat merasakan ada sesuatu yang buruk akan berlaku.

“Selama 17 tahun ni mak besarkan kau seorang diri. Zaman muda mak habis begitu sahaja disebabkan kecelakaan orang lain.” Aku menelan liur kesat. Apa yang mak cuba sampaikan?

“Kau bukan anak pungut.” Eh? Aku memandang tepat wajah mak yang tak berperasaan. Mak tak pernah senyum dihadapan aku. Hanya wajah bengis dan tanpa perasaan sahaja yang acap dihadiahkan kepadaku.

“Mak kandung kau mati semasa melahirkan kau dan ayah kau..” Mak menarik nafas dalam sebelum menyeka air matanya.

“Ayah kau, abang aku mati dalam perjalanan pulang selepas selesai misi keamanan di Bosnia. Mati sebab tergesa-gesa nak sambut kelahiran kau. Bukan medan perang yang jadi pusara tetapi di lebuhraya. Kelahiran kau memang bawa sial dalam keluarga aku!” Terduduk aku mendengarkan kata-kata mak. Dari anak pungut bertukar menjadi anak pembawa sial.

“Kau dah besar dan mula ada keinginan. Mak rasa dah tiba masanya mak lepaskan kau.” Aku sudah tak mampu untuk memandang wajah mak. Anak pembawa sial seperti aku sepatutnya mati sekali dengan ibu kandungku.

“Tamat SPM kau akan mak nikahkan dengan anak penghulu. Mereka dah mula bertanya-tanyakan pasal kau. Dari kau kecil sampailah sekarang tak putus bantuan kita dapat dari keluarga penghulu.” Terlalu banyak perkara yang perlu aku hadam. Aku hanya mampu diam dan menerima takdirku. Apa lagi yang aku mampu lakukan? Air mata yang laju merembes keluar aku biarkan sahaja.

…………………………………………………………………………………………………

“Oyin, betul ke majlis kau lepas SPM ni? Semalam mak aku beritahu tapi aku tak percaya.” Bibah datang untuk mencungkil berita.

“Ye.” Cukup seminggu aku ‘dipenjara’ aku dibenarkan untuk ke sekolah semula. Bibah memandangku dengan pandangan tak percaya.

“Aku ingatkan kau nak further study. Bukan ke hari tu Puan Salmah cakap dia boleh hantar kau belajar kat luar negara?” Aku menghela nafas panjang. Sudah puas aku menangisi takdir aku dan kini aku harus pasrah kerana ini merupakan kehendak mak.

“Aku tak boleh tinggalkan mak aku seorang diri kat kampung ni Bibah.”

“Seorang diri? Mak kau tak akan keseorangan kat sini. Keluarga aku dan ramai penduduk kampung boleh jagakan mak kau sepanjang kau tak ada. Kita ni dah diibarat satu keluarga. Tak mungkin kami biarkan mak kau mereput seorang diri!” tegas Bibah. Aku menggelengkan kepala.

“Mak aku tak benarkan Bibah. Dia kata bahaya aku seorang diri kat luar negara. Sekarang kan ada macam-macam kes.” Sengaja aku beralasan. Tak mungkin aku akan membuka cerita tentang kesialan yang aku bawa kepada mak. Aku tak layak tentukan hidup aku sendiri.

“Habis tu kau ingat kau kahwin tu boleh selesaikan segala-galanya ke? Kau akan berjauhan juga dengan mak kau selepas kau kahwin nanti. Hafidz tu bukan kerja kat sini kan? Kau ni betul ke dah fikir masak-masak? Sekarang ni kalau kau belajar setakat SPM je kau ingat kau boleh survive ke kalau ada apa-apa yang terjadi kat kau?” leter Bibah dengan muka memerah. Aku menadah telinga mendengar leteran Bibah yang aku tahu betul. Bibah cuma ambil berat tentang aku. Tetapi Bibah tak tahu situasi yang aku alami sekarang. Air mata aku sudah tak segan untuk mengalir keluar.

“Oyin, kalau kau ada masalah kau kena beritahu aku. Aku tahu ini bukan kehendak kau.” Aku mengangguk lemah. Bibah menepuk-nepuk bahuku sebelum meninggalkan aku seorang diri. Mungkin dia mahu memberi ruang untuk aku berfikir.

……………………………………………………………………………………………………

Beg pakaian aku baling keluar dari jendela bilik. Bibah dan adiknya, Rashid yang menunggu dibawah rumah menyambut beg pakaian yang aku campak tadi. Aku membuat keputusan nekad untuk lari dari rumah setelah berfikir panjang. Solat istikharah pun sudah aku lakukan. Biarpun aku terhutang nyawa dengan mak tapi aku tak boleh mengorbankan masa depan aku. Aku yakin aku punya masa depan yang cerah dan setelah aku berjaya aku akan pulang berjumpa dengan mak.

“Oyin, cepat sikit!” Bibah memberi arahan dengan suara yang dikawal. Kini aku hanya perlu terjun dari jendela.

“Hazrin! Buat apa tak tidur lagi?!” Mak yang mengetuk pintu dari luar mengejutkan aku.

“Buka pintu ni!” Ketukan bertalu-talu dari mak membuatkan aku kaget. Bibah dan Rashid mengesa aku supaya cepat-cepat terjun namun aku bagaikan terkaku. Bunyi gugusan kunci dari luar mengejutkan aku. Lantas aku kuatkan semangat dan terus melompat keluar. Nasib aku baik kerana mendarat diatas tanah lembut.

“Kau okay?” soal Bibah risau. Aku menganggukkan kepala. Bibah segera membantu aku untuk bangun dan kami terus berlari meninggalkan rumah yang telah memberikan aku seribu kenangan. Suara jeritan mak melaungkan nama aku sayup kedengaran namun aku tak akan berpatah balik.

“Oyin, ni duit untuk kau buat tambang. Puan Salmah akan tunggu kau bila kau sampai sana. Ni telefon aku ni pun kau ambillah. Aku dah topup untuk kau. Nombor telefon aku yang lagi satu tu pun aku dah simpan dalam telefon ni.” Aku cukup terharu dengan kebaikan Bibah. Tubuh Bibah aku peluk erat. Tak mungkin aku dapat jumpa dengan manusia sebaik ini lagi dalam hidup aku. Rashid yang dari tadi memerhati keadaan sekeliling memandang aku dengan penuh simpati.

“Kak Oyin kalau ada apa-apa masalah jangan lupa beritahu kami. InsyaAllah kami akan tolong.” Aku menganggukkan kepala. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kedua-dua beradik ini.

“Oyin tu bas dah sampai. Jaga diri ye.” Bas menuju ke bandar berhenti dihadapan pondok bas. Aku menaiki bas dengan segera setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Bibah dan Rashid. Aku tahu esok kampung aku akan gempar dengan berita kehilangan aku. Anak dara yang memalitkan arang ke muka mak yang menjaganya seminggu sebelum majlis pernikahan.

……………………………………………………………………………………………………

‘Pang!’ Entah kali ke berapa pipi aku ditampar mak dihadapan keluarga penghulu. Nasib aku malang kerana aku tertangkap sebelum sempat aku sampai ke destinasi. Tindakan pantas mak memaklumkan kehilangan aku kepada keluarga penghulu menggagalkan rancangan aku.

“Cakap kau ikut siapa malam tadi!” jeritan lantang mak cukup memalukan aku. Makcik Yati, isteri penghulu cuba menenangkan mak yang bagai dirasuk hantu. Tok Penghulu hanya memandang aku dengan pandangan simpati.

“Rohaya sudahlah tu. Budak tu dah selamat balik dah pun.” Mak menjengil matanya kepada aku. Aku tahu hatinya tak puas selagi aku merahsiakan siapa yang membantu aku malam semalam.

“Anak pungut tak sedar diri! Tergamak kau nak kotorkan nama aku sudah aku bela kau dari kecil?!” Aku hanya mampu menangis. Hati aku hancur dan aku tahu masa depan aku juga sama.

Bunyi orang memberi salam dari luar mengejutkan kami. Susuk tubuh Bibah dan Rashid yang datang dengan ibubapa mereka mengejutkan aku. Aku lihat merah mata kedua beradik itu. Hati aku dipagut rasa bersalah yang teramat. Berapa ramai lagi manusia yang mahu aku susahkan?!

“Kak Rohaya, anak-anak sayalah yang bawa lari Hazrin semalam. Mereka cakap Hazrin nak belajar ke luar negara tapi kak tak benarkan jadi mereka ambil tindakan sendiri. Saya minta maaf bagi pihak mereka.” Suara Encik Rahmat yang tenang membuatkan wajah mak kendur.

“Aku ingatkan dia lari ikut jantan mana rupa-rupanya angkara anak-anak kau Rahmat! Aku tetap tak akan berganjak dari keputusan aku! Hazrin tetap akan berkahwin dengan anak penghulu. Aku harap keluarga kau tak masuk campur dalam urusan keluarga aku!” Encik Rahmat mengangguk akur. Bibah dan Rashid masing-masing terdiam mendengarkan kata-kata dari mak. Aku lihat air mata Bibah jatuh apabila kami bertentang mata.

………………………………………………………………………………………………….

Majlis perkahwinan aku dan Hafidz disambut dengan meriah. Penduduk kampung ramai datang bergotong-royong demi menjayakan majlis kami. Aku bagaikan patung yang menurut sahaja sepanjang majlis. Senyuman dan segala tindak-tanduk aku dibuat-buat dan mengikut arahan mak yang sentiasa disisi.

Selepas sebulan dari majlis pernikahan aku, aku disahkan hamil. Gembira bukan kepalang keluarga mertua aku mendengarkan berita kehamilan aku. Mak hanya mengatakan yang aku dah jalankan tanggungjawab aku sebagai perempuan. Aku yang hidup bagaikan mayat hidup hanya mampu menghadiahkan senyuman yang dibuat-buat.

37 minggu aku mengandungkan anak didalam kandungan. Tak dinafikan yang aku dijaga dengan baik oleh keluarga mertua dan suami aku agak mengambil berat tentang kesihatan aku. Siang dan malam aku ditemani anak didalam kandungan. Segala perkara aku ceritakan kepada anak aku bila aku ditinggalkan keseorangan dirumah.

………………………………………………………………………………………………………
Anak! Peneman aku! Aku tiba-tiba sedar yang sejujurnya aku mahukan anak ini. Dia sahajalah yang akan mendoakan aku apabila aku sudah tiada lagi. Anak ini sahajalah harapan aku!

“Lagi sikit puan!” Aku menarik dan menghembus nafas mengikut teknik yang diajar di kelas Lamaze. Jururawat disebelah masih setia memberikan semangat.

“Alhamdulillah bayi dah keluar puan.” Aku menarik nafas lega. Tetapi kenapa tiada tangisan? Aku memandang wajah jururawat yang gusar disebelahku.

“Anak saya?” Jururawat itu hanya menggelengkan kepala.

“Maaf puan, anak puan meninggal didalam kandungan. Anak puan terjerut dengan tali pusat. Saya harap puan redha dengan ketentuan Illahi.” Suara doktor yang menyambut kelahiran anakku sayup-sayup kedengaran sebelum aku tidak sedarkan diri. Fizikal dan mental aku letih.

Ketentuan yang amat kejam bagi diriku. Dikala aku mula mengharap, DIA musnahkan harapan aku. Apa lagi yang tinggal untuk aku?


Surah al-Baqarah ayat 286 spontan terngiang-ngiang ditelingaku. Aku tersentak dan mula menerima takdir.

8 comments:

farahshahar said...

sedih………………………………………………………………………

Norlyana Nasrin said...

@aecha sha: bertabahlah. Hidup tak sentiasa indah tapi ingatlah Allah ialah sebaik-baik Perancang 😊

Anonymous said...

kesian oyin..... (T^T)

Norlyana Nasrin said...

@SNIz: takdirnya sudah tertulis begitu.
Tapi jangan difikir derita akan berpanjangan kelak akan membawa putus asa pada tuhan. Ehey~

P/s: teka lagu apa (^-^)v

Anonymous said...

Kehidupan!! Kan?? Kan?? Google tadi.. hehehe

Norlyana Nasrin said...

@SNIz: Ehey main tipu!! Hahaha betul 😁

Anonymous said...

Apa yang jadi dengan husband Oyin. Bukan keluarga mentua dengan husband dia gembira ke dapat baby tapi naper oyin kta anaktu akan jadi yatim sbb bapa dia tak terima kehadiran dia??

Norlyana Nasrin said...

Cerita ni saya lebihkan pada pandangan dan sudut psikologi Oyin. Dia rasa dia adalah anak yang tak diterima. Perasaan rendah diri dan tiada keyakinan diri menebal dalam diri dia. Dia tak yakin yang suami dia akan terima anak tu sebab bagi dia, dia adalah perempuan hina.

(^-^)v