[credit] |
Melangkah dan terus melangkah. Hidup aku makin tak bermakna
dari hari ke hari. Jiwaku kosong dan aku sudah lupa tujuan hidupku. Oh tuhan,
kenapa KAU ciptakan aku? Kenapa KAU berikan aku nyawa? Aku dah penat, cukup
penat dengan dunia! Dunia yang tak adil dan penuh muslihat! Cukup-cukuplah KAU
menyeksa aku wahai tuhan!
Bangunan pencakar
langit aku pandang dengan pandangan lesu seraya berfikir, aku patut habiskan
nyawa aku disini. Sudah banyak kali aku cuba membunuh diri tetapi liat sungguh
nyawaku nak bercerai dari jasad. Tali gantung aku putus sebelum sempat leher
aku terjerut. Apabila aku kelar urat nadiku, jiranku yang datang mahu menumpang
tandas segera menyelamatkan aku. Ketika mahu membeli pil tidur di farmasi,
boleh pula kehabisan stok dan kelemahan aku yang tak suka bau ubat racun
binatang menyebabkan aku tak boleh menelan racun tikus untuk membunuh diri.
Butang lif aku tekan tingkat yang paling tinggi didalam
bangunan ini. Otak aku cuma memikirkan tentang cara untuk terjun dan macam mana
keadaan jasad aku selepas itu. Arghh, tak perlu fikir tentang itu semua! Aku
hanya mahu tamatkan hidup aku!
Tiba ditingkat paling atas, aku melangkah ke penghujung
bangunan. Angin bertiup agak kencang malam ini membuatkan tubuhku menggigil
kesejukan. Aku menggagahkan kudratku untuk berjalan. Menuju ke sudut paling
hujung bangunan ini. Aku nekad! Kali ini aku mesti mati!
“Woi, tunggu turn boleh?!” Mahu terloncat aku apabila ditegur. Hah! Orang yang
nak bunuh diri pun takut hantu? Silap hari bulan aku yang jadi hantu.
“Apasal pula? Ni bangunan kau
ke?!”
“Argh, aku sampai sini dulu jadi
aku patut terjun dulu!” bentak lelaki itu. Dari gayanya, aku agak dia berumur
awal 20an. Muda-muda pun nak bunuh diri ke?!
“Weh kisah pula aku siapa sampai
dulu!” Kami mula bertekak dan aksi tolak-menolak mula berlaku. Masing-masing
tak mahu mengalah dan mahu terjun dahulu.
“Eh apa kata kita terjun
sama-sama je? Kan senang? Nak gaduh apa kan?” cadang lelaki itu. Haah. Aku
hampir tergelak memikirkan betapa bodohnya kami. Bangunan ini luas dan tak ada
masalah pun jika kami terjun bersama-sama.
“Err tak macam pasangan gay yang frust kan?” soalku bodoh-bodoh alang.
“Tak kecuali kau nak terjun
sambil berpegangan tangan. Dah jom panjat hujung sana tu.” Aku mengangguk dan
mula mengikut.
“Hoi, apa korang buat kat sini
malam-malam buta ni?!” Alamak! Tiga orang pengawal keselamatan mula berlari ke
arah kami. Tak sampai tiga minit kami ditahan.
“Apa ke gila budak-budak zaman
sekarang! Atas bumbung ni pun nak buat main! Hish!” Aku hanya mendiamkan diri.
Mahu naya jika mereka tahu niat asal aku.
Setelah cubaan untuk membunuh diri aku gagal, aku menjalani
kehidupan seperti biasa tapi dalam masa yang sama aku mencari cara-cara baru
untuk membunuh diri. Pelbagai sumber bacaan dan filem aku rujuk supaya mendapat
idea yang lebih baik.
Bukan aku tak pernah berjumpa kaunselor tapi setiap kali aku
pergi, aku tak dapat meluahkan perasaan aku sepenuhnya kerana aku sukar untuk
mempercayai orang lain. Dalam fikiranku, masalah aku maka aku sahaja yang perlu
menanggungnya bukan orang lain. Tak ada istilah berkongsi masalah!
Telefon pintar aku berbunyi namun aku hanya membiarkan
sahaja. Tak lama kemudian, satu mel baru masuk ke peti emelku. Aku segera
bertindak melakukan kerja yang biasa aku lakukan. Memanipulasi pasaran saham
sehingga menjatuhkan kedudukan sesuatu syarikat. Kerja yang memberikan aku
banyak wang tapi semakin hari jiwaku makin kosong dan parah.Apa guna aku hidup
jika sepanjang hidup aku hanya menyusahkan orang lain? Bakat aku digunakan
untuk mendatangkan kejatuhan! Argh!! Aku patut mati!
“Bagus kerja kau Orion! Aku bayar
kau tiga kali ganda dari biasa sebab kau berjaya buat mereka huru-hara kurang
dari dua jam. Hahahaha!” Aku hanya mendiamkan diri. Perbualan melalui panggilan
video atas permintaan pelanggan aku. Seperti biasa aku tak mendedahkan
identitiku. Cukup dengan topeng muka dan hoodie.
Aku hanya berkomukasi melalui papan kekunci.
“Kau boleh periksa akaun kau
sekarang. Aku harap kau kekalkan prestasi kau.” Aku hanya mendiamkan diri.
Dalam hati aku berharap yang ini adalah kali terakhir aku melakukan perbuatan
terkutuk ini. Aku nak mati!
Keretaku pandu agak laju menaiki cenuram menuju ke Bukit
Fraser. Waktu senja dan hari bekerja membuatkan jalan itu lenggang dan tiada
satu pun kereta yang melalui jalan itu. Suasana jalan yang dikelilingi hutan
dan bunyi air terjun mendamaikan aku. Hmm nampaknya aku dah pilih tempat yang
bagus untuk mati!
Dalam kegelapan malam itu aku terlihat satu lapangan yang
sesuai untuk aku laksanakan rancanganku. Aku memarkirkan kereta dan mematikan
enjin. Paip hos yang aku beli aku keluarkan dan mula menyambungkannya ke ekzos
kereta. Pita selofan aku lilit dikeliling ekzos dan paip. Penghujung paip aku
masukkan ke celah tingkap pintu belakang kereta aku dan ruangannya aku tutup
dengan pita selofan. Selesai kerja, aku masuk ke dalam kereta dan mula
menghidupkan enjin. Pada mulanya aku terbatuk-batuk dan tekakku rasa perit.
Mata mula kabur dan dalam hati aku sudah bersorak ‘ah sudah tiba masa aku!’.
Belum sempat aku menutupkan mata, tingkap kereta aku
dipecahkan dari luar dan seorang lelaki membuka pintu kereta lantas menarik aku
keluar.
“Encik, kau okay tak encik?!” Lelaki itu menampar-nampar pipiku. Aku yang masih
lemah sedaya upaya mengangkat tanganku untuk menyuruhnya berhenti menampar.
Sakitlah bangang!
“Oh encik sudah sedar. Dah jom
ikut aku? Malam ni ada pasar malam kat Kuala Kubu Bharu.” Eh kejap, mamat ni
bengong ke apa? Dia tak nampak ke aku nak bunuh diri tadi? Ada ke orang yang
nak bunuh diri bernafsu lagi nak pergi pasar malam?
“Diam maksudnya setuju. Jom?
Kereta aku kat sana tu.” Aku dipapahnya ke kereta yang diparkirkan di seberang
jalan. Aisy, pelik juga sebab aku tak menolak.
“Kuala Kubu Bharu atau KKB ni
orang selalu panggil pekan cowboy.
Kat situ pukul lapan malam pun dah senyap sunyi. Kadar jenayah? Hahaha boleh
kata tak adalah.” Dia berterus-terusan berborak dengan aku.
“Oh kau nampak tak simpang depan
tu? Masuk je ada perkampungan orang Asli dan ada air terjun. Best woo. Kalau dapat berkelah sambil
buat barbeque memang cun lah!”
“Okay sambung balik pasal KKB, pasar malam diorang ni unik sikit
sebab cuma dua kali dalam sebulan je weh! Dah tu bila dah dua kali je, maka
ramailah warga KKB yang keluar masa pasar malam. Masa-masa ni jugalah diorang
berjumpa yang mana jarang nampak muka sebab kebanyakkan diorang ni kerja luar.”
“Kalau nak bergambar pun banyak
lokasi menarik dalam pekan tu sendiri. Ada mural dan permandangan semulajadi
keliling KKB ni. Aku ni dah macam pemandu pelancong pula hahaha..” Aku hanya
senyum sedikit. Kegigihan mamat ini bercakap dengan aku sedikit sebanyak
membuatkan aku geli hati.
“Apa nama kau weh? Aku Dinesh.”
Tangan kanannya dihulurkan kepadaku dan lagi sebelah dok kawal stereng kereta.
“Orion.”
“Pergh! Coolnya nama kau, dude!
Orion tu bukan pemburu dalam mitos Greek ke? Ada juga bintang dinamakan Orion. Cool! ” Eh, eh seronok pula dia.
“Okay kita dah sampai. Jap aku cari valet parking ahahaha..” Asyik ketawa je mamat ni dari tadi. Aku ke
dia yang terhidu gas tadi?
“Dulu zaman aku masih
budak-budak, sini ada je funfair dalam
tiga bulan sekali tapi sekarang ni tapak
funfair ni pun dah ditukar kepada bangunan TnB. Bangunan ni pun dah macam
bangunan kosong pun ada aku tengok. Buat rugi tapak funfair aku je!” Okay yang
ni lawak. Aku ketawa sedikit. Sengal punya Dinesh! Kau nak buat macam mana
kalau dah tu perancangan kerajaan negeri?
“Ha..baru nampak kau tayang gigi.
Aku rasa kau patut try yong tau fu
kat sini. Jom!” Aku mengangguk. Lupa terus pada hakikat yang baru sekejap tadi
aku cuba untuk bunuh diri.
Satu demi satu gerai si Dinesh bawa aku. Bayangkanlah berapa
banyak beg plastik kat tangan aku. Tujuan asal nak beli yong tau fu bertukar
kepada pesta beli-belah untuk seminggu rumah Dinesh.
“Eh kejap ni Patti aku suruh beli
sayur.” Aku terus ketawa dengan gelagat Dinesh yang terkocoh-kocoh berlari ke
gerai menjual sayur.
Selesai membeli, aku dan Dinesh duduk berehat di stesen bas
Kuala Kubu Bharu. Kami mula makan yong tau fu yang dibeli tadi dan berborak
seperti sudah kenal lama.
“Tunang aku mati bulan lepas.” Eh
apasal dia tiba-tiba cerita pasal ni? Aku menunjukkan muka terkejut namun
Dinesh hanya senyum memandang aku.
“Aku bertunang dengan dia lama
juga. Hmm adalah setahun dan persiapan untuk perkahwinan pun aku dah buat
sikit-sikit demi dia.” Dinesh bersandar pada tiang dan matanya memandang jauh
pekat malam.
“Dia mati akibat kemalangan. Pada
mulanya aku sedih macam nak gila tapi tak lama. Aku jumpa sepucuk surat dalam beg
tangan dia.” Dinesh berhenti seketika untuk menghirup air teh O yang dibeli
tadi.
“Dalam surat tu dia tulis yang
dia nak minta putus. Dia cintakan lelaki lain dan terpaksa terima aku sebab aku
pilihan keluarga dia. Dah siap letak setem bagai tapi aku rasa dia mati masa
dalam perjalanan nak ke pejabat pos tu.”
“Bila aku fikir balik memang kelakar apa yang
terjadi pada aku. Keluarga aku ingatkan aku sedih sangat sebab dia mati tapi
sebenarnya aku sedih sebab setahun masa aku dihabiskan pada orang yang tak
cintakan aku langsung.” Dinesh menghabiskan teh O dan membuang plastik bekas
minuman ke dalam tong sampah.
“Kau ada fikir nak mati ke?”
soalku tiba-tiba.
“Ada juga tapi aku rasa lebih
baik aku habiskan hidup aku dengan orang yang menghargai kehadiran aku. Aku
rasa aku perlu hidup untuk diri aku sendiri bukan sebab orang lain,” jawabnya
yakin.
“Macam mana kalau kau rasa hidup
kau cuma mendatangkan kejatuhan orang lain? Kau rasa nak mati tak?” Aku menelan
liur. Pahit memikirkan apa yang pernah aku lakukan selama ini. Banyak
syarikat-syarikat kecil yang aku hancurkan hanya kerana mahu memberi untung
lebih kepada syarikat-syarikat gergasi yang mengupahku.
“Benda yang buat kau bahagia
selalunya tak akan memusnahkan orang lain. Okay,
kau pernah dengar orang yang membunuh rasa bahagia tak? Atau pencuri rasa
bahagia dan aman damai tak? Tak kan? Jadi kau perlu hidup dan bahagiakan diri
kau. Buat sesuatu yang mendatangkan faedah pada kau dan orang lain. Aku pasti
kau akan rasa hidup kau lebih bermakna dan kau tak akan fikir nak mati.”
Aku mula menunduk. Rasa diriku tak berguna kerana tak mampu
membezakan yang baik dan yang buruk.
“Aku boleh bantu kau kalau kau
nak mulakan hidup baru Orion. Tinggalkan segala benda yang negatif dan aku
yakin kau tak terlambat untuk berubah.” Dinesh menepuk bahuku. Memberikan
kekuatan kepada aku yang rapuh jiwa.
“Dinesh, aku tak mahu mati.” Aku memandang Dinesh di sebelah aku. Satu keazaman membuak
dari dalam hatiku. Keazaman untuk menghargai hari-hari yang dikurniakanNya.
Keazaman untuk meninggalkan kehidupan sebagai Orion di belakang. Berusaha untuk
mencari hidup yang lebih bermakna. Mengembara untuk mencari makna kehidupan.
“Aku
bukan Orion. Aku Hafiz.”
4 comments:
Best sngt..
@lebah comel: Alhamdulillah. Thanks sudi baca & komen.
(^-^)v
Asalamualaikum. best sangat. bila sambungan isteriku ratu ais? tasabar.. hehe
@razdibastory:Waalaikumussalam. maaf lambat membalas komen anda. Isteriku Ratu Ais dihentikan penceritaannya di blog dan insyaAllah saya akan keluarkan satu buku khas untuk novel itu.
(^-^)v
Post a Comment