[credit] |
“Arghhhhhh!!!” Terasa bagaikan
semua urat-urat terputus dan nyawaku bakal bercerai dari jasad.
“Sabar puan. Bukaan dah besar.
Sikit sahaja lagi puan.” Jururawat disebelahku tak putus asa memberikan
dorongan dan sokongan moral.
“Sakit nurse..sakit.” Aku merintih dan dalam masa yang sama aku cuba
menarik nafas dalam-dalam.
“Lagi sikit je ni puan. Sabar.”
Tanganku digenggam erat. Wajahnya tak lekang dengan senyuman. Bagaikan gembira
dengan bakal penambahan manusia di muka bumi ini.
“Oyin, kau tak nak ikut kitorang
ke?” Bibah, rakan sekolahku mula mengambil tempat disebelahku.
“Tak mahulah. Esok aku dah kena
hantar lukisan aku tu. Jadi malam ni memang tak tidurlah.” Bibah mengangguk
faham. Faham dengan obsesi aku terhadap seni lukis. Aku menyertai pertandingan
melukis diatas galakan guru Pendidikan Seni dan syukur lukisan aku menarik
minat pemilik galeri. Sudah tiga kali lukisan aku dipaparkan di galeri di pusat
Bandar.
“Seronok jadi kau Oyin, kau dah tak
payah pening pasal masa depan. Aku yakin pemilik galeri tu apa nama? Oh ye, Puan
Salmah mesti nak kau bekerja dengan dia tak pun hantar kau sambung belajar di
luar negara.” Aku tertawa kecil dengan angan-angan Bibah. Aku semestinya tidak
menaruh harapan tinggi namun jika ada peluang, aku memang mahu ke luar negara.
Menimba ilmu disamping melihat negara orang. Aku yakin karya aku pasti akan
berlainan selepas itu.
“Jika
ada rezeki aku Bibah.” Aku melepaskan keluhan kecil. Aku dan masa depan. Entah
kenapa aku sendiri masih kabur dengan masa depan aku sendiri.
..............................................................................................................................
“Mak tak izin kan kau pergi luar
negara Hazrin! Kau perempuan! Faham sikit bahaya perempuan seorang diri di
negara orang!” Air mata aku tak berhenti menuruni pipi.
“Saya bukan seorang diri mak. Sana
ramai lagi pelajar universiti dari merata pelusuk dunia datang menuntut ilmu.
Sa..”
‘Pang!’ Pijar pipiku ditampar mak. Acap kali bibir aku pecah
akibat tamparan seorang ibu ini.
“Kau jangan nak melawan cakap mak!
Penat mak kutip kau dari kecil! Bagi makan, tempat tinggal dan siap hantar kau
pergi sekolah! Kau nak balas jasa mak dengan tinggalkan mak terkontang-kanting
kat kampung ni?! Dasar anak pungut!”
“Kau ingat kau boleh bagi mak
senang dengan lukisan cabuk kau ni?! Setakat letak kat galeri picisan tu kau
dah mula naik kepala dan tak mahu dengar cakap mak! Mak tak izinkan! Kalau kau
berdegil, mak tak teragak-agak nikahkan kau dengan anak penghulu tu malam ini
juga!” Aku hanya mampu menangis. Tak tergamak untuk aku melawan kata mak yang
sanggup membesarkan aku seorang diri.
………………………………………………………………………………………………
“Doktor! Ada komplikasi!” Jantungku
bagaikan terhenti seketika mendengarkan kata-kata dari jururawat. Apakah tak
cukup lagi penderitaan yang aku alami sekarang? Oh tuhan kenapa kau kejam
dengan aku?!
“Puan, banyakkan berzikir. Ingat
Allah.” Jururawat ini masih tak putus-putus memberikan semangat. Ingat Allah?
Bukankah DIA yang berikan aku kesakitan ini?! Hati semakin gelap dan jiwaku
semakin tak tenteram. Aku tak mahu anak ini!
Nasib anak ini akan berkemungkinan besar sama seperti aku.
Aku dapat rasakan yang aku akan mati sebaik sahaja melahirkan dan anak ini akan
menjadi anak yatim. Lelaki yang sepatutnya menjadi bapa anak ini tak mungkin
menerima hakikat yang ini zuriatnya. Zuriat hasil hubungan dengan perempuan
hina seperti aku. Hidup tak dipandang, mati tak dikenang orang.
…………………………………………………………………………………………………
Tanganku melakar permandangan senja dari jendela rumahku.
Sejak aku menyuarakan keinginanku untuk ke luar negara, aku tak dibenarkan
keluar dari rumah. Sekolah pun sudah tiga hari tidak aku kunjungi. Aku
dipenjara dirumah sendiri dan aku sendiri pun tak berusaha untuk keluar dari
penjara ini kerana aku tahu yang tiada tempat lain yang boleh aku tuju.
Sejak dari kecil aku akan dikurung sekiranya melakukan
sesuatu yang melanggari peraturan dicipta oleh mak. Aku tak dibenarkan bermain
dengan kanak-kanak sekampung. Zaman kanak-kanak aku hanya bertemankan pensil
dan kertas lukisan. Kertas lukisan pun dibeli mak setelah aku merayu
berhari-harian dan berjanji tak akan keluar dari rumah. Zaman persekolahan
barulah aku dapat bergaul dengan rakan sebaya namun terhad kerana aku tak
pandai membawa diri dan hanya segelintir sahaja daripada mereka yang mahu
berkawan dengan aku.
“Hazrin, mak nak cakap sikit.” Aku
mendekati mak yang sedang duduk disofa ruang tamu. Aku yang baru sahaja selesai
solat Maghrib dapat merasakan ada sesuatu yang buruk akan berlaku.
“Selama 17 tahun ni mak besarkan
kau seorang diri. Zaman muda mak habis begitu sahaja disebabkan kecelakaan
orang lain.” Aku menelan liur kesat. Apa yang mak cuba sampaikan?
“Kau bukan anak pungut.” Eh? Aku
memandang tepat wajah mak yang tak berperasaan. Mak tak pernah senyum dihadapan
aku. Hanya wajah bengis dan tanpa perasaan sahaja yang acap dihadiahkan
kepadaku.
“Mak kandung kau mati semasa
melahirkan kau dan ayah kau..” Mak menarik nafas dalam sebelum menyeka air
matanya.
“Ayah kau, abang aku mati dalam
perjalanan pulang selepas selesai misi keamanan di Bosnia. Mati sebab
tergesa-gesa nak sambut kelahiran kau. Bukan medan perang yang jadi pusara
tetapi di lebuhraya. Kelahiran kau memang bawa sial dalam keluarga aku!”
Terduduk aku mendengarkan kata-kata mak. Dari anak pungut bertukar menjadi anak
pembawa sial.
“Kau dah besar dan mula ada
keinginan. Mak rasa dah tiba masanya mak lepaskan kau.” Aku sudah tak mampu
untuk memandang wajah mak. Anak pembawa sial seperti aku sepatutnya mati sekali
dengan ibu kandungku.
“Tamat SPM kau akan mak nikahkan
dengan anak penghulu. Mereka dah mula bertanya-tanyakan pasal kau. Dari kau
kecil sampailah sekarang tak putus bantuan kita dapat dari keluarga penghulu.”
Terlalu banyak perkara yang perlu aku hadam. Aku hanya mampu diam dan menerima
takdirku. Apa lagi yang aku mampu lakukan? Air mata yang laju merembes keluar
aku biarkan sahaja.
…………………………………………………………………………………………………
“Oyin, betul ke majlis kau lepas
SPM ni? Semalam mak aku beritahu tapi aku tak percaya.” Bibah datang untuk
mencungkil berita.
“Ye.” Cukup seminggu aku ‘dipenjara’
aku dibenarkan untuk ke sekolah semula. Bibah memandangku dengan pandangan tak
percaya.
“Aku ingatkan kau nak further study. Bukan ke hari tu Puan Salmah
cakap dia boleh hantar kau belajar kat luar negara?” Aku menghela nafas
panjang. Sudah puas aku menangisi takdir aku dan kini aku harus pasrah kerana
ini merupakan kehendak mak.
“Aku tak boleh tinggalkan mak aku
seorang diri kat kampung ni Bibah.”
“Seorang diri? Mak kau tak akan
keseorangan kat sini. Keluarga aku dan ramai penduduk kampung boleh jagakan mak
kau sepanjang kau tak ada. Kita ni dah diibarat satu keluarga. Tak mungkin kami
biarkan mak kau mereput seorang diri!” tegas Bibah. Aku menggelengkan kepala.
“Mak aku tak benarkan Bibah. Dia
kata bahaya aku seorang diri kat luar negara. Sekarang kan ada macam-macam kes.”
Sengaja aku beralasan. Tak mungkin aku akan membuka cerita tentang kesialan
yang aku bawa kepada mak. Aku tak layak tentukan hidup aku sendiri.
“Habis tu kau ingat kau kahwin tu
boleh selesaikan segala-galanya ke? Kau akan berjauhan juga dengan mak kau selepas
kau kahwin nanti. Hafidz tu bukan kerja kat sini kan? Kau ni betul ke dah fikir
masak-masak? Sekarang ni kalau kau belajar setakat SPM je kau ingat kau boleh survive ke kalau ada apa-apa yang
terjadi kat kau?” leter Bibah dengan muka memerah. Aku menadah telinga
mendengar leteran Bibah yang aku tahu betul. Bibah cuma ambil berat tentang
aku. Tetapi Bibah tak tahu situasi yang aku alami sekarang. Air mata aku sudah
tak segan untuk mengalir keluar.
“Oyin, kalau kau ada masalah kau
kena beritahu aku. Aku tahu ini bukan kehendak kau.” Aku mengangguk lemah.
Bibah menepuk-nepuk bahuku sebelum meninggalkan aku seorang diri. Mungkin dia
mahu memberi ruang untuk aku berfikir.
……………………………………………………………………………………………………
Beg pakaian aku baling keluar dari jendela bilik. Bibah dan
adiknya, Rashid yang menunggu dibawah rumah menyambut beg pakaian yang aku
campak tadi. Aku membuat keputusan nekad untuk lari dari rumah setelah berfikir
panjang. Solat istikharah pun sudah aku lakukan. Biarpun aku terhutang nyawa
dengan mak tapi aku tak boleh mengorbankan masa depan aku. Aku yakin aku punya
masa depan yang cerah dan setelah aku berjaya aku akan pulang berjumpa dengan mak.
“Oyin, cepat sikit!” Bibah memberi
arahan dengan suara yang dikawal. Kini aku hanya perlu terjun dari jendela.
“Hazrin! Buat apa tak tidur lagi?!”
Mak yang mengetuk pintu dari luar mengejutkan aku.
“Buka pintu ni!” Ketukan
bertalu-talu dari mak membuatkan aku kaget. Bibah dan Rashid mengesa aku supaya
cepat-cepat terjun namun aku bagaikan terkaku. Bunyi gugusan kunci dari luar
mengejutkan aku. Lantas aku kuatkan semangat dan terus melompat keluar. Nasib aku
baik kerana mendarat diatas tanah lembut.
“Kau okay?” soal Bibah risau. Aku menganggukkan kepala. Bibah segera
membantu aku untuk bangun dan kami terus berlari meninggalkan rumah yang telah
memberikan aku seribu kenangan. Suara jeritan mak melaungkan nama aku sayup
kedengaran namun aku tak akan berpatah balik.
“Oyin, ni duit untuk kau buat
tambang. Puan Salmah akan tunggu kau bila kau sampai sana. Ni telefon aku ni
pun kau ambillah. Aku dah topup untuk
kau. Nombor telefon aku yang lagi satu tu pun aku dah simpan dalam telefon ni.”
Aku cukup terharu dengan kebaikan Bibah. Tubuh Bibah aku peluk erat. Tak mungkin
aku dapat jumpa dengan manusia sebaik ini lagi dalam hidup aku. Rashid yang
dari tadi memerhati keadaan sekeliling memandang aku dengan penuh simpati.
“Kak Oyin kalau ada apa-apa masalah
jangan lupa beritahu kami. InsyaAllah kami akan tolong.” Aku menganggukkan
kepala. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa kedua-dua beradik ini.
“Oyin tu bas dah sampai. Jaga diri
ye.” Bas menuju ke bandar berhenti dihadapan pondok bas. Aku menaiki bas dengan
segera setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Bibah dan Rashid. Aku tahu
esok kampung aku akan gempar dengan berita kehilangan aku. Anak dara yang
memalitkan arang ke muka mak yang menjaganya seminggu sebelum majlis
pernikahan.
……………………………………………………………………………………………………
‘Pang!’ Entah kali ke berapa pipi aku ditampar mak dihadapan
keluarga penghulu. Nasib aku malang kerana aku tertangkap sebelum sempat aku
sampai ke destinasi. Tindakan pantas mak memaklumkan kehilangan aku kepada
keluarga penghulu menggagalkan rancangan aku.
“Cakap kau ikut siapa malam tadi!”
jeritan lantang mak cukup memalukan aku. Makcik Yati, isteri penghulu cuba
menenangkan mak yang bagai dirasuk hantu. Tok Penghulu hanya memandang aku
dengan pandangan simpati.
“Rohaya sudahlah tu. Budak tu dah
selamat balik dah pun.” Mak menjengil matanya kepada aku. Aku tahu hatinya tak
puas selagi aku merahsiakan siapa yang membantu aku malam semalam.
“Anak pungut tak sedar diri!
Tergamak kau nak kotorkan nama aku sudah aku bela kau dari kecil?!” Aku hanya
mampu menangis. Hati aku hancur dan aku tahu masa depan aku juga sama.
Bunyi orang memberi salam dari luar mengejutkan kami. Susuk
tubuh Bibah dan Rashid yang datang dengan ibubapa mereka mengejutkan aku. Aku
lihat merah mata kedua beradik itu. Hati aku dipagut rasa bersalah yang
teramat. Berapa ramai lagi manusia yang mahu aku susahkan?!
“Kak Rohaya, anak-anak sayalah yang
bawa lari Hazrin semalam. Mereka cakap Hazrin nak belajar ke luar negara tapi
kak tak benarkan jadi mereka ambil tindakan sendiri. Saya minta maaf bagi pihak
mereka.” Suara Encik Rahmat yang tenang membuatkan wajah mak kendur.
“Aku ingatkan dia lari ikut jantan
mana rupa-rupanya angkara anak-anak kau Rahmat! Aku tetap tak akan berganjak
dari keputusan aku! Hazrin tetap akan berkahwin dengan anak penghulu. Aku harap
keluarga kau tak masuk campur dalam urusan keluarga aku!” Encik Rahmat
mengangguk akur. Bibah dan Rashid masing-masing terdiam mendengarkan kata-kata
dari mak. Aku lihat air mata Bibah jatuh apabila kami bertentang mata.
………………………………………………………………………………………………….
Majlis perkahwinan aku dan Hafidz disambut dengan meriah.
Penduduk kampung ramai datang bergotong-royong demi menjayakan majlis kami. Aku
bagaikan patung yang menurut sahaja sepanjang majlis. Senyuman dan segala
tindak-tanduk aku dibuat-buat dan mengikut arahan mak yang sentiasa disisi.
Selepas sebulan dari majlis pernikahan aku, aku disahkan
hamil. Gembira bukan kepalang keluarga mertua aku mendengarkan berita kehamilan
aku. Mak hanya mengatakan yang aku dah jalankan tanggungjawab aku sebagai
perempuan. Aku yang hidup bagaikan mayat hidup hanya mampu menghadiahkan
senyuman yang dibuat-buat.
37 minggu aku mengandungkan anak didalam kandungan. Tak
dinafikan yang aku dijaga dengan baik oleh keluarga mertua dan suami aku agak
mengambil berat tentang kesihatan aku. Siang dan malam aku ditemani anak
didalam kandungan. Segala perkara aku ceritakan kepada anak aku bila aku
ditinggalkan keseorangan dirumah.
………………………………………………………………………………………………………
Anak! Peneman aku! Aku tiba-tiba sedar yang sejujurnya aku
mahukan anak ini. Dia sahajalah yang akan mendoakan aku apabila aku sudah tiada
lagi. Anak ini sahajalah harapan aku!
“Lagi sikit puan!” Aku menarik dan
menghembus nafas mengikut teknik yang diajar di kelas Lamaze. Jururawat
disebelah masih setia memberikan semangat.
“Alhamdulillah bayi dah keluar
puan.” Aku menarik nafas lega. Tetapi kenapa tiada tangisan? Aku memandang
wajah jururawat yang gusar disebelahku.
“Anak saya?” Jururawat itu hanya
menggelengkan kepala.
“Maaf puan, anak puan meninggal
didalam kandungan. Anak puan terjerut dengan tali pusat. Saya harap puan redha
dengan ketentuan Illahi.” Suara doktor yang menyambut kelahiran anakku
sayup-sayup kedengaran sebelum aku tidak sedarkan diri. Fizikal dan mental aku
letih.
Ketentuan yang amat kejam bagi diriku. Dikala aku mula
mengharap, DIA musnahkan harapan aku. Apa lagi yang tinggal untuk aku?
Surah al-Baqarah ayat 286 spontan terngiang-ngiang
ditelingaku. Aku tersentak dan mula menerima takdir.
8 comments:
sedih………………………………………………………………………
@aecha sha: bertabahlah. Hidup tak sentiasa indah tapi ingatlah Allah ialah sebaik-baik Perancang 😊
kesian oyin..... (T^T)
@SNIz: takdirnya sudah tertulis begitu.
Tapi jangan difikir derita akan berpanjangan kelak akan membawa putus asa pada tuhan. Ehey~
P/s: teka lagu apa (^-^)v
Kehidupan!! Kan?? Kan?? Google tadi.. hehehe
@SNIz: Ehey main tipu!! Hahaha betul 😁
Apa yang jadi dengan husband Oyin. Bukan keluarga mentua dengan husband dia gembira ke dapat baby tapi naper oyin kta anaktu akan jadi yatim sbb bapa dia tak terima kehadiran dia??
Cerita ni saya lebihkan pada pandangan dan sudut psikologi Oyin. Dia rasa dia adalah anak yang tak diterima. Perasaan rendah diri dan tiada keyakinan diri menebal dalam diri dia. Dia tak yakin yang suami dia akan terima anak tu sebab bagi dia, dia adalah perempuan hina.
(^-^)v
Post a Comment