Kapitalis

Friday, December 25, 2015

Heartbreak Compilation 1: The Last Trip

[kredit]  


Penerbangan yang mengambil masa enam jam setengah aku rasakan seperti setahun. Percutian ke Guam yang dihadiahkan oleh anak sulungku untuk aku dan suamiku setelah kami berura-ura mahu berpisah. Usia perkahwinan yang mahu menginjak 30 tahun bagaikan tiada lagi makna buat kami berdua. Masing-masing sudah muak dan bosan dengan perkahwinan yang selama ini bertahan hanya kerana anak-anak dan rasa tanggungjawab.

“Beg awak tu.” Pantas aku letakkan beg untuk pemeriksaan kastam. Bagasi semua sudah selesai diperiksa ketika aku mengelamun tadi.

“Kalau macam ni baik duduk rumah sahaja. Mengelamun tak sudah-sudah!” Bisa perkataan yang keluar dari mulut suamiku tapi aku hanya buat tak peduli dan hanya menunjukkan muka selamba. Malas nak melawan sebab  dia tak akan pernah mengaku kesalahan.


Mr Ridhwan and Ms Shamila?” Aku menganggukkan kepala manakala suami aku hanya memandang lelaki tempatan dengan muka kering.

Welcome to Guam Island. I’m Kali, your tourist guide. Come, let me lead you to the car.” Bagasi yang aku terus dia tarikkan ke kereta. Kereta berwarna hitam yang menunggu diluar tampak ekslusif dan mengundang banyak mata.

“I’ll send both of you to the hotel since you guys really look tired. This evening I’ll come to pick you guys up and we can start exploring Guam.”

“Thanks Kali.” Sesungguhnya aku memang penat dan tambah penat apabila suami aku asyik merungut didalam kapal terbang tadi.

“Saya ni banyak kerja kat pejabat tu awak tahu! Mana ada masa nak berjalan bagai macam ni!” Nasib baik kami duduk di kelas pertama dan bukan kelas ekonomi. Kalau tak mesti viral di internet dengan video bertajuk, ‘Suami tak rela pergi bercuti’.

“Saya tak paksa pun.” Aku membalas sambil menyelak buku novel yang sempat aku beli sebelum berlepas tadi.

“Eh, sekarang baru cakap tak paksa! Awak ni kan….” Mulalah dia berleter dan aku memang tak mahu dengar. Telinga aku sumbat dengan getah penyumbat telinga yang dikhaskan untuk kurangkan gejala telinga berdengung. Tak berdengung pasal tekanan udara tapi berdengung sebab pakcik ni berleter tak ingat dunia.


Sir, mam, here is the card to your room. Take a good rest. I’ll wait here in the lobby at four okay?”

“Oh yeah, here is my number. You can directly call using a phone in your room or ask for receptionist help.” Kad namanya diserahkan kepada suamiku. Bagasi-bagasi kami diangkat oleh pekerja-pekerja hotel ke bilik setelah diarahkan oleh Kali. Kali meninggalkan kami setelah selesai urusannya.

“Lebih kurang Langkawi je.” Eh, eh buta ke apa orang tua ni? Asal pulau je ingat Langkawi.

“Pasal hal kita nak berpisah tu..” Tak sempat dia habiskan ayat aku mengangkat tanganku.

“Kita bincang selepas percutian ni. Saya tak mahu fikir pasal tu sepanjang kita disini.” Aku melangkah laju ke bilik penginapan kami. Sungguh aku tak mahu rosakkan mood bercuti aku. Dahlah ini kali kedua aku ke luar negara. Bayangkan selama 30 tahun usia perkahwinan, aku hanya berpeluang ke luar negara sebanyak dua kali sahaja. Pertama ketika berbulan madu dan kali ini…ah percutian terakhir kami sebagai suami isteri mungkin.


Honey, best kan kalau kita dapat duduk terus kat sini?” Bagaikan budak-budak dapat gula-gula. Perasaan girang pertama kali ke luar negara jelas terpancar diriak wajahku. Shinkansen yang bergerak laju memaparkan permandangan luar seperti flashcard.

“Sayang, kalau nak duduk sini kita kena cari kerja disini. Kerja pun mesti nak setengah mati sebab taraf hidup sini sangat tinggi.” Pinggangku diraih dan dagunya diletakkan diatas bahuku.

“Alah, tak payahlah duduk bandar besar. Kita duduk kat luar bandar mesti okay.” Pujukku dengan muka ala-ala kucing comel.

“Kalau luar bandar, susah pula nak cari kerja. Lagi satu, sanggup ke sayang tinggal makanan-makanan Malaysia yang sedap-sedap dan hanya makan onigiri serta sayur-sayuran sahaja?” Aku berfikir sejenak sebelum menggelengkan kepala. Kembang tekak aku memikirkannya.

“Tau dah karnivor macam sayang ni mana boleh duduk sini.” Dia mengetatkan pelukan dan menghadiahkan ciuman dipipi. Bahagia mula meresap dijiwa dan senyuman tak lekang menghiasi hari-hariku.


“Awak, bangunlah!” Cis! Entah apasal aku termimpi zaman berbulan madu aku dahulu. Kenangan ketika berbulan madu di Jepun yang kadangkala aku teringat membuatkan aku nak tergelak. Macam mana perkahwinan yang seolah-olah sempurna suatu ketika dahulu berubah menjadi perkahwinan yang bertahan dek mengingatkan anak-anak.

Tadi aku terlena selepas solat Zohor dek terlalu penat. Langkah aku atur ke bilik mandi. Suamiku, Ridhwan yang baru lepas mandi hanya bertuala sambil bercukur. Kalau dahulu, pasti aku akan mengusiknya dengan melarikan tualanya sekeliling bilik tidur tapi sekarang…err tak sanggup nak tengok!

“Awak mandi jangan lama-lama sangat. Kang mahu kena tinggal.” Leternya sambil bercukur. Ces, baru ingat nak berendam sambil main-main buih dalam tab mandi!


Pemandangan waktu senja Guam sememangnya lain auranya dengan di Malaysia. Hidangan makan malam yang disediakan aku suap dengan perlahan sambil menikmati permandangan waktu senja. Kali hanya menghantar kami ke jeti dan akan menjemput kami semula selepas empat jam. Hanya aku, suami dan pemandu bot sahaja ditengah-tengah lautan ini.

“Nyamannya,” ucapku tanpa sedar setelah menghabiskan makananku. Ridhwan memandangku dengan muka agak terkejut. Apa? Tak pernah tengok muka aku yang tenang ke?

“Seriously, I never thought that both of us can ever sit and peacefully eat our dinner without put on a fight.” Ridhwan mula tersenyum dan menggelengkan kepala.

“Saya campak awak ke laut kalau awak nak mula bergaduh dengan saya sekarang,” balasnya diikuti dengan ketawa bebasnya.

“Hah mister! Awak lupa ke saya ni swimming instructor. Siapa yang ajar awak berenang dulu?” Aku pula mula mengetawakannya. Teringat zaman dia terkial-kial belajar berenang denganku selepas kami berkahwin. Malu ke apa memang letak ke tepi sebab pekerjaannya kadang-kadang memerlukan dia untuk turun ke laut.

“Hmm dah Maghrib rasanya. Saya pergi ambil wuduk dulu.” Dia berlalu meninggalkan aku seorang diri. Baru sahaja nak melayan perasan, dia menjengulkan kepalanya.

“Awak pergilah ambil wuduk kat hujung sana. Boleh solat sekali.” Aku bingkas bangun dan pergi mengambil wuduk. Bukan selalu dia mengajak aku untuk solat bersama.


“Sayang, awak tunggu jela lagi dua minggu. Saya akan uruskan semuanya.” Jelas. Semuanya sudah jelas. Ridhwan ada perempuan lain dibelakangku. Aku dah dapat agak sebelum ini tapi tak sangka aku dapat mencuri dengar perbualannya dengan perempuan itu hari ini. Nak menangis? Oh tidak. Aku tak selemah itu.

“Nanti saya call balik. Bye.” Aku bangun lalu melangkah ke bilik mandi. Jam menunjukkan pukul lima pagi. Sudah menjadi rutin untuk aku mandi sebelum menunaikan solat Subuh. Disini Subuh seawal lima pagi. Sekarang ni baru pukul tiga pagi di Malaysia. Apakah tak tidur skandal suamiku itu? Pelik punya orang.

“Eh, awal bangun?” soalnya ketika aku mahu mengambil tuala.

“Hmm biasa je. Awak tak tidur ke?” soalku semula.

“Payah sikit sebab tak biasa dengan tilam sini.” Hmm lain kali bawalah katil awak bila bercuti Encik Ridhwan oii!

“Dah saya nak mandi. Sekejap lagi dah nak masuk Subuh.” Aku terus ke bilik mandi. Lama-lama pun makin rasa janggal buat apa.


Hari kedua Kali membawa kami menaiki kapal selam Atlantis. Aku yang senang teruja mendengar penerangan Kali dengan penuh minat. Kapal selam yang membawa kami ke kedalaman 20 hingga 40 meter aras laut. Keindahan terumbu karang dan kehidupan laut dalam memukau setiap mata yang memandang.

Isy, act your age!” tegur Ridhwan perlahan tapi ada aku kisah? Tak adalah aku sampai terkinja-kinja disini maka aku rasa aku masih bersopan.

Maybe we can go diving later. Do you have diving licence?” Aku dan Ridhwan mengangguk. Oh aktiviti menyelam!

Selesai aktiviti menyelam. Aku hanya duduk dipersisiran pantai sambil menikmati keindahan alam. Makin tua usiaku, aku makin suka bersendirian dan menikmati alam ciptaan Allah. Berapa lama lagi masa yang aku ada didunia ini? Jadi buat apa aku perlu bersedih memikirkan cinta manusia yang sudah kering untuk aku?

Mam, are you okay?” Kali menegurku mungkin risau akan diriku yang tiba-tiba senyap. Ridhwan? Entah hilang ke mana. Mungkin menelefon perempuan itu..mungkin.

Yeah just a bit tired. I heard there’s skydiving place in Guam. Maybe tomorrow we can give it a try.” Mahu terkejut Kali mendengarkan yang aku mahu mencuba skydiving.

“I afraid it is not appropriate for you and your husband, mam.”

“Don’t worry Kali. I’m fit and ready for skydiving.” Kali menggaru-garu kepalanya yang tak gatal.

I’ll talk to Mr Ridhwan before making any decision.” Hmm ni kalau laki aku masuk campur mesti payah sikit.


“Awak dah gila ke? Tua-tua macam ni nak skydiving bagai! Mati sia-sia aje!” Aku dah agak dah. Orang tua ni memang tak suka ambil cabaran dan hmm dia takut tinggi.

“Saya nak merasa je. Perasaan terbang bebas diudara tu sangat seronok. Awak betul tak nak cuba?” Aku cuba memujuk Ridhwan yang sudah memerah mukanya.

“Kalau nak mati sangat pergilah buat!” Hmm aku menjungkitkan bahu lalu keluar ke balkoni hotel. Mata aku merenung kegelapan malam. Bunyi ombak laut yang menghempas pantai membuatkan aku terbuai dengan perasaanku.

“Dah saya nak tidur dulu. Nanti sebelum tidur jangan lupa kunci pintu balkoni tu.” Pap! Lampu bilik ditutupnya. Bergelaplah aku dibalkoni sambil melayan perasaan.



Malam ketiga, kami keluar makan malam di restauran yang terletak di tepi laut. Romantis dan boleh membuatkan perasaan terbuai-buai dengan suasana persekitarannya.

“Duduklah awak tunggu apa lagi?” Ah lupa pula yang suamiku tak mungkin akan tarikkan kerusi untuk aku lagi.

“Cantikkan permandangan kat sini?” Aku memulakan bicara. Mood aku agak baik setelah sampai di restoran ini. Kulihat ramai pasangan romantis yang turut menjamu selera di sini.

“Hmm,” jawabnya pendek. Matanya tak lekang memandang skrin telefon pintarnya.

“Ingat tak makan malam ketika kita berbulan madu dulu?” Keningnya terjungkit sebelah sambil memandang wajahku sekilas. Tak lama. Matanya kembali melekap ke skrin telefon. Bagaikan ada gam!

Makanan sampai dan kami mula menjamu selera.

“Kita berbulan madu di Tokyo dan kita tak jumpa pun gerai makanan yang halal maka kita makan onigiri berintikan buah plum jeruk. Masam tapi lapar punya pasal telan je kan?” Dia senyum sedikit dan meletakkan telefon pintar ke atas meja. Ada perasan menang ketika itu.

“Lepas tu awak sakit perut teruk. Punya kelakar sampai nak tinggal wasiat bagai.” Tawa mula meletus. Tapi tak lama. Perasaan janggal mula menular dan memori-memori pahit mula memenuhi ruang otakku.

“Selepas 20 tahun usia perkahwinan kita awak dah mula berubah. Awak nampak seperti terpaksa bila bersama saya. Acuh tak acuh apabila saya minta dilayan. Akhirnya awak menjadi macam perhiasan sahaja dirumah kita.” Tiba-tiba hatiku mulai panas. Dikipas pula melihat Ridhwan bergembira dengan perempuan lain. “Apa yang awak nak dalam perkahwinan kita Encik Ridhwan? Saya dah cuba berikan awak semuanya tapi awak masih tak berubah.”

Aku terus-menerus membebel. “Hati saya makin sakit apabila saya dapat tahu yang awak ada perempuan lain dibelakang saya. Saya berusaha memelihara diri dan menjaga maruah awak sepanjang tempoh perkahwinan kita tapi apa balasan awak pada saya?!” Suara aku mula meninggi. Nasib baik tempat kami jauh dari pelanggan lain kalau tidak mesti masuk Youtube.

“Kadang-kadang saya rasa bagaikan tertipu tapi..argh kalau tak kerana anak-anak dah lama saya tinggalkan awak!” Aku menumbuk meja. Melepaskan amarah yang sudah tersimpan lama. Dia? Hanya memandang aku dengan muka tanpa perasaan. Dia menarik nafas dalam-dalam sebelum menghembus perlahan. Matanya tepat memandang mataku.

“Awak betul nak tahu sebab apa saya jadi macam ni?” Giliran aku pula menjungkitkan kening.

“Waktu anak-anak kita kecil, awak sibuk menjaga mereka dan ya saya mengaku saya sangat helpless dalam pengurusan anak-anak jadi saya tak dapat nak membantu awak sangat jadi saya cuba menjadi lebih independent dalam menguruskan diri saya. Masa itu saya rasakan yang kasih sayang awak pada saya berkurang sedikit.”

Dia bersandar sedikit ke kerusnya. “Bila anak-anak membesar dan mula bersekolah, awak sibuk dengan perkembangan mereka. Hantar mereka belajar macam-macam dan awak makin tak ambil kisah pasal makan pakai saya. Cari saya bila nak beli barang dan bila awak rasa awak perlukan seorang ‘suami’. “
                Aku kehilangan kata-kata. Kata-kata suamiku seolah satu tamparan besar ke muka tebalku ini. Ridhwan yang melihat aku diam meneruskan hujahnya.
“Anak-anak makin besar dan mula berkahwin seorang demi seorang. Saya makin terabai dan perasaan saya terhadap awak makin berkurangan. Kita makin kerap bertengkar sampai satu tahap saya malas nak bercakap dengan awak. Awak cuma nampak silap saya tapi awak lupa yang awak turut bersalah dalam hal ini!” Tegas dia mengaturkan kata-kata. Aku terduduk mengingat kembali kesilapan aku. Tak, silap kami berdua.

“Dahlah, lauk dah makin sejuk.” Ye, sedingin rumah tangga kita.

Hari selebihnya di Guam kami dibawa ke pusat membeli-belah, kampung-kampung tradisional dan melawat tempat-tempat tarikan pelancong yang lain. Kami tidak lagi berbincang mengenai rumah tangga kami, namun kami seolah sudah faham apa kesudahannya.

“Ridhwan, thanks for being my husband. I think it’s time to say goodbye. I’ll explain to our kids later.”
Ridhwan berkalih melihatku. Senyuman dilontarnya. Walaupun aku sedih yang kini aku tidak lagi bersama dengan lelaki yang sudah menemaniku selama bertahun-tahun, namun aku gembira kerana hubungan kami berakhir dengan baik. Tak perlu lagi dendam dan sakit hati. Aku rela melepaskan si dia dari terikat denganku.

Terima kasih, bekas suamiku.

6 comments:

Anonymous said...

huhuhu... sedihnya dorang dah nak berpisah.. akak sambung lagi... tak sabar!!! haha,, gelojohnya.. Cerpen akak uniklah... hehe

Norlyana Nasrin said...

@SNIz: yang ni tak akan disambung. Heartbreak compilation mengandungu beberapa cerpen yang lebih kepada sisi tak indah dalam kehidupan.

Hahaha mari 'ber'negatif bersama akak!!!

(^-^)v

ヌルハミだー said...

Smpai ni j k ?
Mula2 sy gelak sbb ayat ni,
"Suami yg x mau bercuti"
"Tua2 pun nk skydiving bagai"
Last2 sedih plk rasa

Akk, smbung buat citer lain

Norlyana Nasrin said...

@Nur Hamidah Lubis: Yup. Setiap satu dari siri ini ialah cerpen yang berbeza. InsyaAllah

(^-^)v

Anonymous said...

really touch my heart deeply bcoz similar to my past but different age la... hehehehe
If I can make a U-turn.....

Norlyana Nasrin said...

Hahaha glad to hear that.

It's okay..move on and keep looking forward! Good things will occur 😁

(^-^)v