taken from here |
Macam dah tak ada
kerja! Itu yang difikirkan oleh Hisyam setelah dua hari berturut-turut menjadi ‘stalker’ buat Adriana Hanan. Setiap hari
dia mengintip segala aktiviti yang dilakukan oleh sepupunya dan kebanyakan
darinya berkisarkan tiga orang anak buah Adriana. Adriana yang tidak perasan
akan kehadirannya seronok melayan keletah anak-anak buahnya di taman permainan.
Dengan perlahan, Hisyam mendekati Adriana.
“Eh prin..Hanan, buat apa kat sini?” sengaja dia menggunakan nada terkejut
tapi hanya dibalas dengan pandangan tak bereaksi dari Adriana.
“Hanan selalu ke bawa anak-anak buah bermain kat sini? Kebetulan pula dekat
dengan penthouse Syam. Nak singgah?”
Pandangan tajam dengan aura membunuh diberikan oleh Adriana khas untuk
sepupunya yang tak faham-faham bahasa.
“Okey..okey Syam gurau je. Ni papa ajak Hanan datang rumah hujung minggu
ni. Hanan datang ye? Papa rindu dengan Hanan. ..Syam pun rindu dengan prin..Hanan,”
sedaya upaya dia mengelak dari menyebut perkataan ‘Princess’ yang dibenci Adriana. Hai lah jantung, kenapalah dengan ratu
ais ini juga yang kau berdetak hebat?
“Syam..” Segera
Hisyam menoleh ke arah Adriana Hanan yang masih dengan muka tanpa perasaan.
“Ye sayang?”
“Saya dah kahwin
dan saya tak perlukan perasaan rindu dari awak.” Laju Adriana melangkah
meninggalkan Hisyam yang masih terpinga-pinga. Dia ingin segera meninggalkan
taman permainan itu. Silap dia juga membawa mereka ke taman permainan dekat
dengan tempat mereka bertiga belajar Bahasa Jerman. Kononnya nak bagi Daris,
Fateh dan Fatehah bermain selepas penat memerah otak tapi kini dia pula yang
sakit jiwa dengan sepupunya yang asyik mengejar cintanya.
“Mama Ana! Abang Daris jatuh!” jeritan nyaring dari Fatehah merisaukan
Hanan. Kelihatan Daris yang sudah jatuh menggiring dibawah monkey bar.
“Macam mana abang boleh jatuh?” tanya Adriana lalu berusaha mengangkat
Daris. Baharu sahaja tersentuh sedikit tangan, Daris sudah menjerit sakit.
“Jangan sentuh begitu tangan dia! Mungkin terseliuh atau patah. Mari kita
ke klinik,” Hisyam segera mencempung Daris yang masih menangis lalu dibawa ke
kereta.
“Hanan follow belakang Syam
dengan budak-budak ni,” Hisyam hanya mengangguk lalu menghidupkan enjin kereta.
Adriana segera membawa Fateh dan Fatehah masuk ke dalam kereta. Didalam hatinya
dia berdoa supaya tiada yang buruk berlaku kepada Daris.
“Macam mana jaga sampai boleh patah bahu si Daris tu? Awak jaga ke sibuk
melayan Hisyam?!” Terkedu Adriana dengan amarah Firdaus. Buat pertama kali
sejak mereka berkahwin, dia dimarahi oleh suaminya. Benci! Benci! Benci!
Tetapi
mengenangkan silap dia yang sibuk hendak mengelak dari Hisyam sehingga
menganggu konsentrasinya pada Daris, Fateh dan Fatehah, Adriana hanya
mendiamkan diri.
Firdaus meraup
mukanya yang tampak berserabai. Projek mereka bentuk dalaman Hotel M di Korea
Selatan mengehadkan masa untuk dia bersama dengan Adriana dan anak-anak
buahnya. Dia terlalu sibuk sehinggakan terpaksa bermalam di pejabatnya. Tadi
dia terpaksa meninggalkan kerja yang menimbun setelah mendapat panggilan
daripada Adriana. Kelam-kabut dia memecut mengenangkan Daris merupakan satu
amanah dari abangnya.
“Ana minta maaf, tadi Ana nak lari dari Hisyam sampai terlepas pandang.”
Adriana meraih tangan Firdaus lalu mengucupnya dengan penuh kasih. Dalam hati,
tak henti-henti dia berdoa supaya dilembutkan hati suaminya.
“Hisyam kacau Ana ke? Aih sekor tu memang nak kena lesing dengan abang!”
Menggelegak kembali darah Firdaus mendengarkan isterinya diganggu Hisyam.
Walaupun bertaraf sepupu, tapi Hisyam dah betul-betul melampau!
“Hmm dahlah. Tadi pun Ana terhutang budi dengan dia sebab tolong Daris
tadi. Ana betul-betul panik tadi bila Daris menjerit. Kita lupakan sahajalah.”
Adriana memeluk lengan Firdaus manja. Sebetulnya dia malas hendak memanjangkan
lagi hal yang tak begitu penting dan dia berterima kasih kepada Hisyam kerana
membantunya tadi.
“Senangnya Ana cakap. Sakit hati abang tahu bila tengok cara dia pandang
Ana kat klinik tadi! Tak berkelip-kelip sampai abang kat sebelah Ana pun dia
tak reti nak hormat! Tak habis-habis nak mengorat bini orang!” dengus Firdaus
kasar lalu menolak tangan Adriana. Adriana segera memeluk pinggang Firdaus dari
belakang apabila suaminya berura-ura mahu keluar dari kamar tidur mereka.
“Abang, dengar sini.” Adriana memusingkan badan Firdaus supaya dia dapat
bertentang mata dengan suaminya. Firdaus yang masih marah memalingkan mukanya
ke kiri. Perlahan Adriana menyentuh pipi Firdaus lalu mengucup pipi suaminya.
“Abang, Ana tak boleh halang orang lain untuk jatuh cinta atau gilakan Ana
kerana itu hak mereka. Tapi Ana nak abang tahu yang dalam dunia ini, hanya
abang sahaja yang berjaya meleburkan hati yang diselaputi ais ini. Ana jatuh
cinta dengan abang dan hanya Muhamad Firdaus di hati Adriana Hanan.” Tenang
Adriana menuturkan kata-kata itu. Malu ke tidak dia sudah tak kira, yang
penting hati suaminya wajiblah dipujuk!
Terharu! Siapa
yang tak terharu kalau bini dah pujuk begitu rupa? Firdaus mula tersengih lalu
merapatkan jarak antara dia dan Adriana. Terasa hilang semua penat dia bekerja.
Perlahan dia menggeselkan hidungnya pada hidung Adriana. Rasa bahagia
menyelubungi hati kedua mereka.
‘Tok!Tok! Tok!’ bunyi ketukan dari luar mematikan lamunan pasangan suami
isteri itu. Perlahan Firdaus membuka pintu.
“Papa Daus, I’m sorry,” Daris
berdiri tegak dihadapan pintu dengan air mata yang masih bersisa.
“Kenapa ni sayang?” Firdaus segera mendakap Daris dengan berhati-hati.
Adriana dibelakang, hanya memerhati. Sungguh dia kalut dengan Daris yang
menangis secara tiba-tiba.
“Tadi dekat taman, Daris nak tunjuk lagak dekat Aiman. Fateh dah cakap
jangan tapi Daris degil. Jadi Daris panjat monkey
bar tinggi tu tapi tiba-tiba tangan licin. Tahu-tahu je Daris dah jatuh.”
Laju Daris menuturkan kata. Fateh dan Fatehah hanya memerhati abang mereka dari
sudut tangga dengan muka takut-takut. Mungkin bimbang Firdaus akan memarahi
Daris memandangkan mood Firdaus yang teruk sejak balik dari klinik tadi.
“Jadi Daris nak buat macam tu lagi tak?” tanya Firdaus dengan muka yang
serius. Pantas Daris menggelengkan kepala.
“Daris sebagai anak sulung seharusnya menunjukkan contoh yang baik untuk
Fateh dan Fatehah. Macam mana kalau tadi Fateh atau Fatehah yang jatuh sebab
degil main benda bahaya? Mesti Daris marahkan?” Daris mengangguk laju dengan
sebelah tangannya mengesat air mata.
“Papa harap benda macam ni tak berlaku lagi okey? Lantaklah siapa pun yang
cabar. Sepatutnya Daris nasihat Aiman supaya jangan main benda-benda bahaya
bukan ikut sekali okey?” nasihat Firdaus lalu mengucup dahi Daris. Perlahan dia
mengesat air mata anak kecil itu dengan hujung jarinya.
“Mama Ana, Daris minta maaf ye?” Adriana terus memeluk Daris erat. Lupa
terus pada bahu Daris yang patah.
“Auch!” gaduh Daris dengan muka berkerut-kerut menahan sakit. Segera
Adriana melonggarkan pelukannya dari tubuh Daris.
“Sorry..sorry. Malam ni Daris nak
makan apa? Biar mama masak okey?” Adriana mengusap pipi Daris yang masih
tertinggal sedikit sisa air mata.
“Nak sup ekor..” pinta Daris perlahan. Kaku terus Adriana mendengarkan
permintaan Daris. Firdaus yang perasan akan riak wajah isterinya berusaha
menahan ketawa.
“O..Okey tunggu lambat sikit pun tak apa kan? InsyaAllah lepas Maghrib,
kita makan okey?” Daris mengangguk setuju. Fateh dan Fatehah perlahan-lahan
mendekati Adriana dan Firdaus.
“Mama Ana, kami nak makan sate lagi boleh?” tanya Fatehah dengan tangannya
memintal-mintal hujung gaunnya.
“Aik bukan semalam baru beli ke?” tanya Firdaus dengan senyuman. Sebelum
Rayyan pergi hari tu, dia sudah memberitahu Firdaus tentang makanan kegemaran
anak-anaknya.
“Itu semalam, hari ni kami nak makan lagi boleh? We’ll be good!” semangat Fatehah memujuk Firdaus dan Adriana.
Fateh? Hanya diam dan mengangguk bila perlu.
“Okey boleh je tapi macam biasa. Malam ni kita pergi solat di masjid okey?
Ana okey tak sayang?” Adriana yang sedang mengelamun memikirkan resepi sup ekor
tersentak dengan pertanyaan Firdaus.
“Apa dia abang?” soal Adriana dengan wajah kudus.
“Malam ni kita solat di masjid lagi okey?” Firdaus mengulang semula lalu
mencuit hidung isterinya.
“Hmm Ana rasa Ana nak solat dirumah sahaja boleh? Nak masak sup ekor untuk
Daris kena minta bantuan mama dan pakcik Google.” Jujur Adriana memberi
jawapan. Dia bukan tak mahu solat di masjid tapi dia risau tak sempat
menyediakan sup ekor untuk Daris memandangkan jam sudah menunjukkan pukul lima
setengah petang. Bahan masakan pun masih belum dibeli.
“Fatehah temankan mama Ana dirumah okey? Balik dari solat, papa belikan
sate ye sayang?” Fatehah mengangguk setuju dengan cadangan Firdaus.
“Okay boys! Jom mandi dan lepas
tu kita mengaji okey?”
“Okay papa!” jawab Daris dan
Fatehah serentak. Fateh segera menyinggung siku Fatehah yang tersalah masuk group.
“Oh ye Fatehah mandi dengan mama Ana okey?” Fatehah hanya tersengih lalu
memeluk Adriana.
“Mama Ana, kita mandi macam princess
boleh?” Adriana segera mengangguk. Tahu sangat mandi cara princess yang Fatehah maksudkan. Tab mandi yang dipenuhikan dengan
buih sabun dan dihias dengan kelopak bunga mawar. Pergh! Nasib baik stok bunga
mawar yang dibeli Firdaus untuknya dua hari lepas masih ada. Kalau tak mana mahu
cari weh?! Tak padan dengan kecil.
“Sayang nanti call mama tanya
bahan-bahan untuk sup tu. Nanti lepas mandi, abang pergi beli.” Adriana
mengangguk. Segera dia mendial nombor telefon ibunya. Lambat-lambat nanti makin
lambatlah nak memasak.
Gambar perempuan
yang dibencinya ditatap dengan penuh perasaan. Wajahnya masih tidak berubah
namun dia tahu perempuan itu bahagia dengan kehidupannya sekarang. Makin cantik
dan elegan. Perubahan yang dilakukan oleh perempuan itu membuatkan dia makin
tak senang duduk. Diantara cinta dan kegilaan. Dia terperangkap diantara dua
perasaan itu.
“Kau tak akan bahagia kerana aku tak akan membenarkannya!” lantas gambar
itu dikucup rakus sebelum dicampak masuk ke dalam api yang marak menyala.
Mengambarkan perasaannya yang menggila. Gila dengan cinta dan dendam kesumat.
“Adriana Hanan, kau tak boleh bahagia tanpa aku!” jerit lelaki itu lalu
ketawa berdekah-dekah. Hatinya sarat dengan dendam. Jiwanya kosong tanpa iman.
2 comments:
best2..smbung2..
insyaAllah (^-^)
Post a Comment