Kapitalis

Sunday, May 19, 2013

Isteriku Ratu Ais - Bab 16

taken from here 

Usai solat, Firdaus membawa Adriana makan di warung Sup 88 yang terletak berdekatan dengan Masjid Nurul Iman. Adriana hanya menurut sahaja kehendak Firdaus padahal dia bukan biasa makan makanan dari warung.

"Ana tak kisahkan kita makan kat sini?" Firdaus bertanya sambil menatap wajah isterinya. Tanpa sebarang riak Adriana hanya menggelengkan kepala. Dia mengambil tempat duduk di bahagian depan warung itu.

"Ana nak makan apa?"

"Ana ikut abang je" Sungguh Adriana tidak tahu untuk memesan apa kerana tidak biasa dengan keadaan di warung itu.

"Kak, bihun sup dua!" pesan Firdaus sebaik sahaja pelayan itu mendekati mereka.

"Minumnya?" tanya pelayan itu lalu tersenyum kearah Firdaus dan Adriana.

"Milo suam dua ye kak"pelayan itu mengangguk dan terus pergi meninggalkan pasangan itu. Tak sampai 15 minit, pesanan mereka pun sampai.

"Sedap tak?" Firdaus memerhati Adriana yang leka menikmati bihun sup.

"Hmm" Adriana mengangguk. Dalam hatinya dia benar-benar sudah jatuh hati dengan bihun sup warung ini. Warung yang nampak daif tapi makanannya ternyata lebih sedap jika dibandingkan dengan restoran-restoren yang harganya melambung tapi makanan tak sesedap mana.

Firdaus tersenyum kecil melihat Adriana yang begitu berselera menikmati bihun supnya. Dia yang sudah selesai makan ralit memerhatikan wajah isterinya. Wajah yang sentiasa dingin namun comel dimatanya. Tak dapat dibayangkan jika Adriana seorang yang peramah, mesti ramai yang akan mendekati isterinya dan tentunya dia akan mendapat ramai saingan. Entah-entah tak sempat ibunya masuk meminang, Adriana dah disambar orang. Dalam diam dia bersyukur Adriana dikurniakan dengan sifat sedingin beku itu.

"Abang" tersentak Firdaus dari lamunannya apabila Adriana yang sudah menghabiskan makanannya memandangnya dengan wajah pelik.

"Oh dah sudah ke? Kejap ye abang pergi bayar" Firdaus bingkas bangun dari duduknya. Terasa membahang mukanya apabila kelakuannya tadi dilihat Adriana.

Adriana menghabiskan minumannya sementara menunggu Firdaus membayar makanan mereka. Pantang baginya jika makanan dan minuman tidak dihabiskan kerana membazir. Sejak dari kecil, dia diajar untuk menghargai rezeki yang diberi oleh Allah.

"Okey jom gerak" Firdaus yang sudah selesai membayar harga makanan mereka mendekati Adriana yang sudah bangun dari tempat duduknya.

Firdaus segera membukakan pintu untuk Adriana sebaik sahaja mereka tiba ditempat meletak kereta. Tidak cukup dengan itu, dia turut membantu Adriana memakai tali pinggang keledar sebaik sahaja melabuhkan punggung ditempat pemandu. Adriana hanya membiarkan sahaja perbuatan Firdaus itu. Walaupun dia sudah memaafkan Firdaus namun agak susah untuk dia mesra kembali dengan suaminya itu setelah apa yang telah berlaku. Kereta mereka kembali menyusur dijalan raya membelah malam. Jalan raya yang agak sesak dengan kenderaan itu membuatkan Adriana membelek telefon pintarnya untuk membuang rasa bosannya.

"Ana, Ana tahu tak Emir tu satu sekolah dengan abang dulu" sengaja Firdaus membuka cerita untuk menghilangkan kebisuan diantara mereka.

"Oh ya?" Kata-kata Firdaus itu sedikit sebanyak menarik minat Adriana. Tak sangka pembantunya rupa-rupanya rakan sekolah suaminya.

"Dulu Emir sekelas dengan kawan abang, Iqram dan adik Muiz, Mia. Ingat tak mereka ada datang majlis kita hari tu?" Adriana menggeleng. Sungguh dia tak ingat langsung dengan rakan-rakan Firdaus kerana ketika itu dia hanya ingin cepat-cepat balik dan berehat. Dia lemas dengan tetamu yang ramai dan pakaiannya ketika itu.

"Abang rapat dengan Emir?" Firdaus hanya tersenyum apabila mendengar pertanyaan isterinya itu. Sekurang-kurangnya dia berjaya memancing perhatian Adriana.

"Tak adalah rapat sangat. Abang ni kira senior dia dan dulu bila Mia buat study group kat library, abang dengan kawan-kawan abang selalu join sebab boleh tolong-tolong mereka kalau mereka perlukan bantuan dalam pelajaran"

"Group Mia ni, dia seorang je perempuan. Lagi tiga orang tu budak-budak lelaki kelas dia, Iqram, Jun Hong dan pembantu Ana tu, Emir" Firdaus meneruskan ceritanya dengan matanya yang masih menumpukan perhatian pada jalan raya.

'Mia..' Perasaan cemburu mula menyelinap masuk ke dalam hati Adriana apabila nama Mia disebut Firdaus. Entah apa istimewanya gadis itu sehinggakan suaminya menyebut-yebut namanya.

"Muiz tu mana boleh biar adik dia buat study group dengan budak-budak lelaki tu tanpa pengawasan dia. Dia tu protective sikit" cerita Firdaus lagi tanpa menyedari Adriana yang sudah hilang minat untuk mendengar ceritanya.

"Mia tu dah kahwin dengan kawan abang juga, Iqram. Diorang kahwin tahun lepas. Itupun selepas terpisah tujuh tahun" terang Firdaus lagi. Lega hati Adriana setelah mengetahui yang Mia bukanlah seseorang yang perlu dicemburuinya.

Kelopak mata Adriana sudah mula memberat. Dengan perut yang kenyang dan penat seharian bekerja akhirnya Adriana tertidur ketika Firdaus masih lagi seronok bercerita tentang zaman persekolahannya.

"Dulu abang pengerusi kelab renang, catur.." Firdaus yang baharu perasan yang isterinya telah selamat masuk ke alam mimpi menepuk dahinya.

"Ceit boleh pula dia tidur time aku tengah syok bercerita. Nampak sangat aku ni syok sendiri" gumam Firdaus lalu melepaskan tawa kecil.


Setelah hampir dua jam perjalanan, akhirnya mereka sampai ke destinasi yang dituju, Fraser Hill. Firdaus memarkir keretanya didalam perkarangan villa keluarganya. Villa Rose merupakan villa milik keluarganya yang dijaga oleh beberapa pembantu. Awal-awal lagi dia sudah menelefon mereka yang dia akan pulang ke villa itu dan mereka telah pun meninggalkan kunci didalam peti surat.

"Ana, bangun sayang. Kita dah sampai" kejut Firdaus sambil menggerak perlahan tubuh isterinya.

'Amboi penat sungguh dia sampai tak terjaga' Firdaus membuka pintu villa dan kembali semula ke kereta untuk mengangkat Adriana masuk ke dalam villa. Dia terus mencempung tubuh Adriana yang masih enak tidur dan membawanya ke dalam kamar peraduan mereka. Setelah itu dia kembali semula ke kereta untuk mengambil bagasi-bagasi mereka masuk ke dalam villa setingkat itu.

'Fuh nasib naik satu tingkat je kalau tak mau naya' getus Firdaus dalam hati. Dia masuk ke dalam bilik setelah mengunci pintu utama dan pagar. Dek penat memandu, Firdaus membaringkan tubuhnya disebelah Adriana yang masih lena dibuai mimpi.

'Eh tak boleh jadi macam ni' Firdaus bingkas bangun dari katil dan terus menuju ke bilik mandi. Dia ingin membersihkan dirinya sebelum masuk tidur. Rasa serba tak kena jika dia terus tidur tanpa mandi terlebih dahulu.

Selesai mandi, Firdaus berkira-kira untuk mengejutkan isterinya atau tidak.

'Kejut jela'

"Ana, bangun mandi sayang" Firdaus mengejut isterinya lalu mencium ubun-ubun Adriana. Adriana terpisat-pisat bangun memandang suaminya.

"Kita kat mana ni?" tanya Adriana setelah perasan yang dia bukan berada di bilik tidur biasanya.

"Fraser Hill sayang, pergi mandi dulu. Nanti boleh sambung tidur" Firdaus menarik tangan Adriana supaya bangun dari katil. Adriana hanya menurut apabila suaminya membawanya ke bilik mandi.

"Aih rugi pula abang dah mandi dulu, kalau tak boleh kita mandi sama-sama" usik Firdaus nakal sambil mengenyitkan matanya kepada Adriana. Segar terus mata Adriana apabila Firdaus menyebut perkataan 'mandi bersama'. Dengan pantas dia mencapai tuala ditangan Firdaus dan terus menutup pintu bilik mandi. Meledak tawa Firdaus dengan reaksi spontan isterinya yang dah macam kartun itu.


Suasana pagi di Fraser Hill sememangnya berbeza dengan suasana di bandar. Udara yang nyaman dan pemandangan yang indah menyaji setiap mata yang memandang. Pagi itu, setelah solat Subuh berjemaah, Firdaus memasakkan sarapan untuk Adriana. Nasib baik Firdaus sempat memesan kepada pembantu villa untuk membeli bahan-bahan untuk memasak dan stok makanan.

"Okey siap!" Firdaus menghidangkan nasi gorang kampung yang masih berasap kepada isterinya yang setia menunggu di meja makan. Dia yang sejak dari tadi melarang Adriana menjejakkan kaki ke dapur kerana kononnya ingin membuat kejutan untuk isterinya. Firdaus yang lengkap berapron itu sedikit sebanyak mencuit hati Adriana.

"Makanlah sayang" Adriana menyuapkan sesudu nasi goreng itu ke dalam mulutnya sebaik sahaja selesai membaca doa makan.

"Sedap tak?" tanya Firdaus sebaik sahaja Adriana mula mengunyah perlahan nasi goreng yang dimasaknya itu.

"Hmm" jawab Adriana pendek lalu menganggukkan kepala.

"Err Ana, jawablah sedap ke tak?" Firdaus mula menggesa Adriana yang hanya senyap menikmati nasi goreng.

"Sedap" puji Adriana lalu menyuapkan nasi goreng itu ke dalam mulut Firdaus. Firdaus mengunyah nasi goreng yang disuap oleh Adriana dengan penuh teruja dek terlalu seronok dimanjakan oleh isterinya.

"Terer gak abang masak kan sayang?"

"Eh masuk bakul angkat sendiri?"

"Ana nak tolong angkat ke? Tak apalah biar abang je yang angkat sayang" gurau Firdaus sambil mengenyitkan mata kepada Adriana. Adriana termalu sendiri apabila teringatkan yang Firdaus mengangkatnya masuk ke dalam bilik malam tadi.

"Lepas ni kita pergi jalan-jalan ye?" kata Firdaus sambil menyuap nasi goreng ke dalam mulutnya. Adriana hanya menganggukkan kepalanya tanda setuju.


Mereka mengunjungi Taman Awam yang terletak berdekatan dengan Villa Rose. Firdaus dan Adriana berjalan beriringan sambil melihat telatah kanak-kanak yang bermain disitu. Kelihatan beberapa keluarga yang sedang berkelah disitu.

"Main kasut roda nak? Dh lama tak roller-skating" ajak Firdaus sambil mengeluarkan dua set kasut roda dari beg galasnya. Adriana yang kelihatan teruja terus mengambil kasut roda itu dari tangan Firdaus.

"Cuaca kat sini nyaman je kan? Dulu abang pernah fikir nak tinggal je kat sini tapi bila fikir pasal kerja dan masalah-masalah lain, terpaksalah batalkan je" ujar Firdaus. Dia sudah sedia berdiri mengimbangi badannya yang agak tinggi itu. Adriana bangun dan mendapatkan Firdaus. Dia yang sudah biasa dengan kasut roda dan luncur ais sememangnya tiada masalah dalam mengimbangi badannya.

"Jom" Firdaus memegang tangan Adriana lalu meluncur di trek yang disediakan. Kelihatan beberapa pasangan yang berbasikal disitu. Suasana sejuk dan nyaman pagi itu sememangnya menenangkan hati sesiapa sahaja yang beridah di taman itu.

Setelah sejam meluncur, Firdaus berhenti untuk membeli minuman dari gerai yang berdekatan. Tekaknya berasa haus setelah puas meluncur dan bergurau senda dengan isterinya.

"Kita pergi jalan-jalan dekat bandar Fraser ye lepas ni?" Firdaus menghulurkan sebotol air mineral kepada Adriana yang sedang duduk berehat dibangku taman. Adriana menyambut huluran botol air mineral itu dan mengangguk setuju dengan cadangan suaminya itu. Setelah berehat seketika, mereka pulang ke villa untuk membersihkan badan dan menukar pakaian.

Bandar Fraser Hill mungkin tidak sepopular pusat peranginan yang lain namun tarikannya tetap ada. Berada di Fraser Hill bagaikan berada di negara Barat yang beriklim sejuk. Kehijauan yang masih dikekalkan cukup membuatkan Fraser Hill nyaman dan segar.

Menara jam yang menjadi mercu tanda Fraser Hill dipandang kagum oleh Adriana. Firdaus yang bersemangat mahu mengambil gambarnya menyuruhnya membuat pelbagai gaya dihadapan menara jam itu namun Adriana hanya menayangkan wajah kaku dan dingin. Sukar baginya untuk bergaya macam-macam kerana sememangnya dia tidak biasa. Firdaus sempat juga meminta seorang pelancong Inggeris untuk membantu mengambil gambar mereka berdua disitu.

Firdaus membawa Adriana untuk melawat kedai-kedai yang menjual pelbagai barangan cenderahati, bunga dan lain-lain. Adriana hanya membeli beberapa rantai kunci untuk pekerja-pekerjanya dan t-shirt untuk anak-anak buahnya. Dia sememangnya bukan kaki shopping seperti mamanya.

Sesudah itu mereka berjalan-jalan disekitar Bandar Fraser. Firdaus masih galak mengambil gambar permandangan dan isterinya. Adriana hanya menurut sahaja langkah Firdaus sambil menikmati permandangan di taman rekreasi yang penuh dengan bunga-bungaan itu.

Penat berjalan, Firdaus membawa Adriana ke restoran Melayu yang terletak berdekatan dengan masjid untuk makan tengahari.

"Ikutkan nak makan makanan western dekat Smokehouse tapi abang ragu-ragu dengan status halal restoran tu jadi abang bawa Ana makan kat sini saja okay?" ujar Firdaus setelah mereka mengambil tempat duduk.

"Okay" jawab Adriana pendek. Dalam diam dia memuji sikap Firdaus yang teliti tentang status halal makanan. Dia juga tidak akan menjamah sesuatu makanan sekiranya dia meragui status halal haram makanan tersebut. Baginya tiada kompromi dalam perkara halal dan haram.

"Jom ambil makanan, makan nasi campur sekali sekala pun best juga" pelawa Firdaus lalu bangun dari tempat duduknya. Adriana turut sama bangun dan menuju ke tempat mengambil makanan.

Setelah mengambil makanan yang diingini, Firdaus dan Adriana kembali ke tempat duduk mereka. Mujur tidak ramai pengunjung di restoran itu jadi senang untuk mereka mendapatkan tempat duduk. Seorang pelayan datang mengira harga makanan yang mereka pilih.

"Nak minum apa?" tanya pelayan lelaki itu mesra kepada Firdaus dan Adriana.

"Milo ais" jawab mereka serentak.

"Okey semua sekali RM16" pelayan itu menulis harga pada sehelai kertas dan memberikannya kepada Firdaus.

"Nanti bayar di kaunter ye, terima kasih" ucap pelayan itu sebelum pergi meninggalkan Firdaus dan Adriana.

"Okey la juga harga makanan kat sini. Mari baca doa makan" Firdaus menadahkan tangan dan segera membaca doa makan dengan gaya tadikanya. Adriana hanya mengaminkan setelah doa itu habis dibaca. Meleret-leret bacaan Firdaus sehinggakan ada pelanggan yang menoleh ke arah meja mereka.

Selesai makan, mereka menunaikan solat Zohor di masjid. Masjid yang masih mengekalkan seni bina Melayu lama itu amat menarik minat Firdaus dan Adriana. Mereka sempat solat berjemaah dengan bersama-sama dengan jemaah masjid yang lain.

Usai solat, mereka ke air terjun Jeriau dengan menaiki Land Rover Freelander 2 HSE. Kawasan air terjun itu yang telah dibaik pulih itu tampak lebih cantik berbanding dengan beberapa tahun yang lalu. Adriana hanya merendamkan kakinya sambil menikmati permandangan di sekitar air terjun itu.

"Tak nak mandi ke? Air kat sini dah bersih sekarang" kata Firdaus yang sudah membuka bajunya dan kini hanya berseluar pendek paras betis.

Adriana menggelengkan kepala dan hanya memerhatikan Firdaus yang sedang seronok bermain air. Kamera DSLR milik Firdaus segera digapainya dan dia terus mengambil gambar-gambar permandangan sekitar air terjun itu. Adriana turut mengambil gambar kandid Firdaus tanpa disedar oleh suaminya yang seronok berenang.

Setelah hampir dua jam berendam, Firdaus mendapatkan Adriana yang sedang melihat gambar-gambar yang diambil sejak percutian mereka di Langkawi dahulu.

"Balik nanti abang pergi cuci gambar-gambar tu ye?" ujar Firdaus sambil tersenyum. Adriana segera menghulurkan tuala bersih kepada suaminya yang basah lenjun. Firdaus menyambut lalu mengelap badan dan rambutnya.

"Ana tunggu sini sekejap ye? Abang pergi tukar baju sekejap" Firdaus mengambil beg galasnya dan terus masuk ke bilik persalinan yang terletak hampir dengan tempat dia mandi.

Kurang dari 10 minit, Firdaus selesai berpakaian. Adriana menghulurkan sikat kepada suaminya. Rambut suaminya yang serabai itu hampir membuatkan dia ketawa. Firdaus segera merapikan rambutnya. Dia yang tertinggal gel rambutnya di villa sengaja membuat gaya rambut ala-ala nerd untuk meghiburkan Adriana. Ternyata cubaannya tidak sia-sia apabila isterinya tergelak kecil dengan gaya rambutnya dan mengambil gambarnya.


Pagi Ahad itu mereka mulakan dengan solat Subuh berjemaah seperti biasa. Usai solat, Adriana segera ke dapur untuk menyiapkan sarapan ringkas untuk suaminya. Bagasi-bagasi mereka telah siap dikemas malam tadi dan hari ini mereka akan ke Paddock sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur.

Paddock merupakan tempat menunggang kuda dan memanah yang popular di Fraser Hill. Sengaja Firdaus memilih untuk ke sini apabila mengetahui yang Adriana juga berminat dalam sukan equestrian.

"Nak memanah dulu ke tunggang kuda?" tanya Firdaus. Dilehernya tergantung kamera DSLR yang sering menemaninya tiap kali dia bercuti. Sekali-sekala Firdaus mengambil gambar permandangan tak pun gambar Adriana.

"Tunggang kuda!" jawab Adriana dengan penuh teruja. Di Kuala Lumpur, jarang sekali Adriana dapat menunggang dek kesibukannya dengan kerja. Padahal dia merupakan ahli kelab equestrian yang aktif suatu masa dahulu. Kuda miliknya yang mati dua bulan lepas membuatkan dia semakin malas untuk ke kelab itu kerana asyik teringatkan kudanya yang telah tiada.

Firdaus terus mendekati pekerja yang bertugas dan menyewa dua ekor kuda untuk mereka berdua. Setelah lima minit berbincang, akhirnya Firdaus memanggil Adriana untuk mendapatkan yang disewanya.

"Abang minta diorang tak payah temankan kita naik kuda ni sebab nakkan privasi. Tu yang lama sikit bincang tu" terang Firdaus setelah mereka selama berada diatas kuda dan mula bergerak jauh dari pekerja tadi.

Adriana menunjukkan muka tanpa reaksi dan hanya mengangguk. Mereka berborak sambil menunggang kuda menyusuri trek yang tersedia. Sekali-sekala Adriana tersenyum apabila Firdaus menceritakan pengalaman-pengalaman lucunya.

"Dulu abang pernah trauma nak dekat dengan kuda sebab tengah syok abang bagi makan kat satu kuda ni, boleh pula dia jilat dan gigit tangan abang" cerita Firdaus sambil ketawa.

"Entah sedap sangat kot tangan abang ni" tambah Firdaus lalu tersengih.

"Sakit tak?" tanya Adriana dengan penuh perasaan ingin tahu. Sepanjang pengalamannya dengan kuda, tak pernah pula ada kejadian digigit kuda.

"Sakitlah juga sampai terkeluar air mata. Trauma sekejap" cerita Firdaus lagi.

"Okey jom kita pergi memanah pula" ajak Firdaus sebaik sahaja mereka tiba dihujung trek. Sempat juga Firdaus meminta pekerja disitu mengambil gambarnya dan Adriana diatas kuda. Firdaus turun dari kuda dengan dibantu oleh pekerja disitu. Dia terus mendapatkan Adriana untuk membantu isterinya turun dari kuda yang ditunggang isterinya itu. Cemburu apabila seorang pekerja lelaki disitu yang asyik mencuri pandang pada isterinya dan berura-ura untuk menbantu Adriana.

Di lapangan memanah, Adriana mendapatkan set busur dan anak panah dengan begitu teruja. Ini merupakan kali pertama dia memanah di tempat terbuka. Selalunya dia hanya memanah didalam kompleks membeli belah yang menyediakan tempat rekreasi. Faktor angin dan kejituan memanah yang perlu diambil kira olehnya membuatkan Adriana begitu teruja untuk mencuba.

Firdaus hanya memerhatikan gelagat Adriana yang teruja itu sambil tersenyum. Tanpa disedari oleh Adriana, dia mengambil gambar-gambar kandid isterinya. Dia turut mendapatkan set busur dan anak panah dan bergerak mendekati isterinya yang sudah memakai sarung tangan.

"Kita lawan nak? Siapa kalah kena tunaikan permintaan pemenang okey?" cadang Firdaus lalu menjungkitkan sebelah kening tanda mencabar. Adriana terus mengangguk setuju.

Panahan demi panahan dilepaskan oleh Adriana. Pada mulanya, sasaran kurang mengena, namun setelah beberapa kali mencuba, dia sudah dapat mencari rentaknya dan panahannya mengena tepat pada papan sasar. Firdaus yang agak terkial-kial mengendalikan busur dan anak panah itu hanya memerhati isterinya yang ralit memanah. Panahan Firdaus seringkali tersasar dan ada kalanya langsung tidak mendekati papan sasar yang terletak 30 meter dari tempat mereka berdiri.

"Nampaknya Ana menang" Firdaus menayangkan muka kasihannya sambil menguis-guis tanah padang memanah itu.

"Hmm" Adriana tersenyum kecil. Dia berpuas hati dengan panahannya hari ini.

"Meh abang ambil gambar Ana dengan busur ni semua" Firdaus mengambil kamera DSLR miliknya yang diletak disudut penyimpanan barang. Dia merakamkan gambar Adriana dengan penuh teruja. Terlupa terus dengan kekalahannya tadi.

"Disebabkan adinda menang, apakah permintaanmu wahai permaisuri hatiku?" tanya Firdaus dengan gaya bangsawannya. Adriana tergelak kecil dengan gaya suaminya yang turut menarik perhatian pengunjung-pengunjung yang lain.

Adriana hanya menjungkitkan bahu lalu bergerak menuju ke kaunter pemulangan untuk memulangkan busur, anak panah, pelindung lengan dan tangannya. Firdaus tersenyum dengan gelagat isterinya, dia turut bergerak ke kaunter pemulangan. Mereka perlu pulang ke Kuala Lumpur selepas ini.

No comments: