Kapitalis

Tuesday, May 7, 2013

Isteriku Ratu Ais - Bab 14

taken from here 

Datin Hafsyah yang sedang berehat menikmati udara malam terkejut apabila melihat Peugeot RCZ coupe milik Adriana meluncur masuk ke dalam perkarangan rumahnya.

"Assalamualaikum" ucap Adriana sambil bersalaman dengan mamanya.

"Waalaikumussalam. Ni Hanan sorang je ke? Firdaus mana?" tanya Datin Hafsyah sambil matanya meliar mencari satu-satunya menantunya.

"Nak pergi swimming" Adriana terus melangkah meninggalkan mamanya yang masih terpinga-pinga dengan kepulangannya.

"Hanan! Jawab dulu! Ni Hanan datang sini Firdaus tahu tak?" Adriana hanya menggeleng perlahan dan terus melangkah ke tingkat bawah tanah rumahnya. Dia amat memerlukan ketenangan sekarang.

'Hmm solat dulu lagi bagus' Adriana berpatah balik menuju ke bilik tidurnya dan membersihkan diri. Dia menunaikan solat Isyak dan mengaji seketika sebelum menukar pakaiannya. Selesai menukar pakaian, Adriana menuju ke kolam renang tertutup ditingkat bawah tanah rumahnya.

Adriana menukar ke pakaian renang di bilik persalinan. Selepas menukar pakaian, dia melakukan senaman ringan sebelum masuk ke dalam kolam renang. Setelah berenang selama lima pusingan, Adriana mengapungkan badannya dipermukaan kolam renang.

'Mungkin aku patut maafkan Firdaus. Tapi...arghhhhh!' Adriana berlawan dengan perasaannya sendiri. Dia marah namun pada masa yang sama dia rasa bersalah kerana memarahi Firdaus ketika di Star Archery dan meninggalkan Firdaus dengan Julian tadi.

'Ni aku datang sini pun bukan dia tahu pun' Adriana teringat pada kata-kata ustazahnya dahulu.

"Berdosa jika seorang isteri keluar tanpa izin suaminya." topik pembelajaran Pendidikan Agama Islam tentang nusyuz itu sering menarik perhatiannya dan dia juga ada membaca tentang kisah-kisah isteri yang jatuh nusyuz.

 Pap! Adriana menepuk dahinya. Dia terlupa untuk memberitahu Firdaus yang dia pulang ke rumah mama dan papanya.

'Adoi ni kira berdosa la ni?' Adriana berenang perlahan ke tepi kolam. Dia keluar dari kolam renang dan terus menukar pakaiannya di bilik persalinan.

"Abang dah agak dah yang Ana akan datang sini" terkejut Adriana melihat Firdaus yang sedang berdiri sambil menyilang kedua-dua belah tangannya di luar bilik persalinan. Wajah muram Firdaus hanya dipandang sekilas oleh Adriana yang sibuk mengelap rambutnya.

"Ana, apa-apa pun Ana patut beritahu abang kalau nak pergi mana-mana. Abang risau tahu?" Firdaus mengapai tangan Adriana memaksa Adriana memandang tepat ke wajahnya. Adriana hanya memandang kosong kearah Firdaus. Perasaan marahnya datang kembali.

"Awak tak percayakan saya kan?" kata Adriana sambil menarik kasar tangannya dari pegangan Firdaus. Tercengang Firdaus dengan reaksi dingin Adriana terhadapnya.

"Ana..abang nak.." Belum sempat Firdaus menghabiskan kata-katanya, Adriana mencapai pasu bunga kristal yang terletak dimeja sisi ditepi bilik persalinan itu.

Prang!!! Berderai serpihan pasu bunga kristal itu jatuh ke lantai. Tingkah laku Adriana itu cukup membuatkan Firdaus terkejut besar.

"Ana!"

"Awak rasa awak boleh cantumkan semula tak pasu bunga ni? Macam inilah hati saya sekarang. Tanpa meminta sebarang penjelasan awak tuduh saya curang dihadapan kawan baik saya. Awak tahu tak betapa malunya saya tadi? Maruah saya bagaikan dipijak-pijak dan sekarang awak nak minta maaf? Saya boleh maafkan tapi beri saya masa. Saya tak tahu berapa lama tapi jika awak tak sanggup tunggu, ikut suka awaklah nak buat apa" Adriana terus meninggalkan Firdaus setelah dia mengeluarkan segala yang terbuku didadanya.

Firdaus terduduk setelah Adriana meninggalkannya. Tak sangka isterinya amat terasa hati dengan perbuatannya yang tidak rasional tadi. Dia bingkas bangun lalu mengejar Adriana yang sudah naik ke tingkat atas banglo milik Datuk Ilyas dan Datin Hafsyah.

Dengan perlahan Firdaus membuka pintu bilik Adriana. Bilik yang dihias dengan tema era Victoria itu makin dingin dipandangan mata Firdaus. Sedingin cinta Adriana terhadapnya sekarang. Adriana yang sedang menyikat rambutnya dimeja solek dipandang Firdaus dengan penuh rasa bersalah.

"Ana..mungkin abang boleh sambungkan pasu bunga yang dah pecah tadi sepertimana abang akan berusaha untuk memenangi cinta Ana semula. Abang minta maaf sebab cemburu tak tentu pasal bila tengok Ana dengan Julian tadi. Abang singgah Sunway Pyramid pun sebab nak beli barang untuk rumah kita. Handphone abang pula tertinggal dalam dashboard kereta tu yang tak dapat jawab call Ana. Ana beri peluang kat abang ye? InsyaAllah lepas ni abang takkan buruk sangka dengan Ana lagi" pujuk Firdaus sambil memegang bahu Adriana yang masih sibuk menyikat rambutnya yang panjang mengurai. Wajah Adriana masih tidak bereaksi. Bagaikan tidak tersentuh langsung dengan luahan hati Firdaus.

"Tengoklah macam mana nanti. Saya tidur sini malam ni. Kalau awak nak balik silakan" Adriana bangun dan terus berbaring diatas katil.

"Abang tidur sini dengan Ana" tegas Firdaus lalu mengunci pintu bilik dan menutup lampu.

"Lantaklah" kata Adriana pendek lalu memejamkan matanya. Firdaus berbaring mengiring menghadap Adriana yang sudah memejamkan mata. Walaupun masih marah, isterinya itu masih berbaring mengiring menghadapnya. Firdaus memeluk tubuh Adriana lalu mencium ubun-ubun dikepala isterinya. Perasaan bersalah menyelubungi hatinya. Kerana ikutkan nafsu marah, maruah dan perasaan isterinya kini tercalar.

"Abang minta maaf, Abang sayangkan Ana" ucap Firdaus dalam sendu. Adriana yang masih belum tidur hanya mendiamkan diri. Tak lama selepas itu dia terlena didalam pelukan hangat suaminya.


Firdaus terjaga apabila penggera telefonnya berbunyi. Isterinya yang tidur sambil memeluk dirinya cukup membuatkan hatinya senang. Firdaus mencium pipi Adriana yang masih tidur dengan penuh kasih lalu menatap wajah tenang isterinya sepuas-puas hatinya. Wajah tenang yang bakal bertukar menjadi wajah sedingin ais apabila Adriana bangun dari tidurnya

"Sayang, bangun Subuh" kejut Firdaus lalu melemparkan senyuman yang paling manis kepada isterinya. Adriana yang baru sedar yang tangannya memeluk batang tubuh suaminya, bingkas bangun dan berlari masuk ke dalam bilik mandi.

Firdaus hanya tersenyum melihatkan gelagat isterinya. Didalam otaknya, dia sudah merangka projek untuk memikat semula hati isterinya.


"Hai Firdaus, bila sampai?" tanya Datin Hafsyah sebaik sahaja melihat Firdaus turun dari tingkat atas rumahnya.

"Malam tadi mama" jawab Firdaus sambil menyalam tangan Datin Hafsyah dan Datuk Ilyas yang sedang duduk di meja makan.

"Hanan belum bangun lagi ke?" Datin Hafsyah menyenduk kuehteow goreng ke dalam pinggan kosong lalu diberikan kepada Firdaus.

"Dah dia tengah bersiap" jawab Firdaus sambil menyambut huluran pinggan berisi kuehteow goreng itu.

"Hmm dah turun dah dia" Datuk Ilyas memandang kearah anaknya. Anaknya tampak lebih dingin daripada kebiasaannya.

'Hmm perang ke?' Datuk Ilyas mengerling kearah menantunya yang bangun lalu menarik kerusi untuk Adriana.

"Mari abang sendukkan kuehteow untuk Ana ye?" dengan pantas Firdaus menyenduk kuehteow goreng lalu diberi kepada Adriana. Adriana menyambut huluran Firdaus dengan muka tanpa perasaan. Gelagat mereka itu diperhatikan oleh Datuk Ilyas dan Datin Hafsyah dengan penuh khusyuk.

"Terbalik pula. Suami pula yang melayan isteri" sindir Datuk Ilyas sambil memandang tajam kearah Adriana. Kurang senang dengan layanan anaknya kepada Firdaus. Muka Adriana mencuka apabila mendengar sindiran papanya. Mamanya turut menayang muka cemberut kepadanya.

"Hari ni biar Firdaus layan Ana. Hidup berumahtangga kenalah bertolak ansur" kata Firdaus lalu tersenyum kearah Adriana. Jawapan Firdaus itu sedikit sebanyak membuatkan Adriana berasa gembira.

"Abang hantar Ana ye hari ni?" kata Firdaus sambil memandang wajah Adriana. Adriana hanya mengangguk tanpa segaris senyuman. Dia sudah berjanji dengan Firdaus semalam, nak tak nak dia terpaksa membenarkan Firdaus menghantar dan mengambilnya dari tempat kerja.


Firdaus memandu BMW X6 M miliknya dengan penuh berhati-hati. Dia memandang sekilas kearah isterinya yang sibuk mengatur jadual kerja disebelahnya.

"Ehem. Ana balik pukul berapa hari ni?" Firdaus memulakan bicara dek tak tahan dengan suasana sunyi didalam keretanya.

"Tak tahu lagi. Kalau banyak kerja, balik lambat" jawab Adriana dengan acuh tak acuh. Matanya masih melekat pada skrin telefon pintarnya.

"Abang balik pukul 5 petang" Adriana hanya mengangguk tanpa memandang wajah Firdaus.

"Habis kerja je abang datang pejabat Ana ye?" kata Firdaus lalu memandang isterinya yang hanya mengangguk.

"Malam ni kita makan kat luar ye? Abang nak bawa Ana makan kat satu tempat best" ujar Firdaus dengan nada teruja.

"Okay" jawab Adriana pendek sambil memandang sekilas kearah Firdaus.


Tiba sahaja di perkarangan Menara Elves Holding, Adriana membuka tali pinggang keledarnya dan ingin terus keluar dari kereta.

"Salam abang dulu sayang" tegur Firdaus lembut sambil tersenyum. Adriana berpaling lalu menyalami tangan Firdaus. Firdaus menghadiahi isterinya dengan ciuman lembut didahi. Perlakuan Firdaus itu sedikit sebanyak menyentuh perasaan Adriana namun dia hanya memendamkannya dan menayangkan muka tanpa perasaannya.

"Kerja elok-elok ye sayang? Assalamualaikum" ucap Firdaus yang masih tersenyum walaupun Adriana menayangkan muka tanpa reaksi kepadanya.

"Waalaikumussalam" Adriana berlalu masuk kedalam Menara Elves Holding tanpa berpaling. Firdaus hanya memerhati isterinya yang masih dingin. Dia hanya pergi setelah memastikan Adriana selamat masuk ke dalam lif. Tanpa sedar, Adriana turut memerhatikan tingkah laku Firdaus dari cermin besar di lobi Menara Elves Holding. Dia berasa terharu dengan keprihatinan Firdaus namun egonya cuba menidakkan perasaan itu.

No comments: