Kapitalis

Tuesday, December 8, 2015

Cerpen: Power Ranger Merah dan Raksasa


Aku pandang tiket yang aku pegang. Nama aku jelas tertulis, bersama dengan nombor tempat duduk. Aku mengeluh perlahan. Perasaan cemas memenuhi jiwa. Ini bakal jadi kali pertama aku naik kapal terbang, moganya tak ada apa yang akan berlaku, aku berdoa dalam hati.


Pandangan aku lontarkan ke hadapan, memandang kakak kepada si Syahrul yang dari tadi melayan kerenah anak-anaknya. Sebenarnya percutian kali ni dirancang oleh Syahrul, rakan sekerja aku yang berotak mereng. Dia memang dah pernah pergi melancong ke Jepun, tapi kali ni dia pergi lebih awal sebulan, nak backpacking seluruh Jepun katanya. Jadi keluarga kakaknya, Luqman, Hana dan suaminya, dan aku semua akan ke Tokyo, dan bertemu Syahrul di sana. Kami pergi bersama, tidur serumah, namun masing-masing bebas untuk pergi ke mana saja. Ini bukan rombongan sekolah, kata Syahrul semasa dia merancang percutian ini.

Aku jeling kakak aku Hana dengan suaminya. Urgh lovey-dovey pasangan baru kahwin, baik jangan kacau. Aku terpandangkan Luqman yang dari tadi sendirian di kerusi depan.

                “Layan emosi ke bang?” kata aku sambil melabuhkan punggung di kerusi di sebelahnya.
                “Ah kau ni. Cuba la bagi salam!” balasnya sambil menyimpan telefon bimbit yang dimainnya dari tadi.
                Aku perhatikan mukanya. Luqman ni rakan lama aku dari sekolah rendah lagi. Inilah geng bertepuk-tampar, main Power Rangers, dengan main masak-masak dulu. Biasanya, aku la yang jadi raksasa dan dia jadi Power Rangers Merah. Kejam.
                “Eh, kau cemas eh?” aku mengusiknya. Mukanya memang nampak pucat berbanding biasa.
                “Ah, kau pun sama. Jangan ingat aku tak tahu kau tak pernah naik kapal terbang.”
                “Pernahlah!” balasku.
                “Bila? Tipu lah. Tak sampai Tokyo kau nanti.”
                “Kau pun tak sampai kalau aku tak sampailah!” bentakku.
                Dia menyandarkan kepalanya ke kerusi. Tangannya dimasukkan ke dalam poket jumper. Dia mengeluh kecil.
                “Kau ni kenapa? Mati bini?”
                “Aku break up dengan Aisyah bulan lepas,” balasnya.
                “Jadi betullah mati bini,” balasku sambil tergelak. “Apasal pula break up kali ni?” Eh, tetiba aku rasa nak jadi kepochi.
                “Pasal trip ni la. Dia nak ikut bila dapat tahu kau pergi juga. Aku cakap la tak boleh, semua preparation dah buat. Tiket, hotel, semua dah beli,” dia mengeluh kecil. “Lepas tu dia kata nak break up.
                Aku jegilkan mata. “Itu ja?” Suara aku ternaik lebih tinggi dari aku jangkakan. Selepas tersenyum minta maaf pada penumpang sekeliling yang memandang, aku terus bertanya lagi. “Dia nak ikut sebab tahu aku pergi? Dia jealous ke apa?” tanyaku. Dia hanya menggelengkan kepala. “Jadi sekarang kau single la ni?” sambungku.
                “Apa nak buat. Nasib badan.”
                Oh yes, badan 6 pax.
                “Takpalah jah oi. Awek Jepun ramai yang comel lote dengarnya,” kataku sambil menunjukkan gambar-gambar Whatsapp yang Syahrul hantar semalam. Si lembap tu pergi hantar berpuluh-puluh gambar perempuan Jepun yang dia tangkap di sana. Dasar pervert punya jantan!
                “Eh betul lah,” kata Luqman sambil merampas telefon bimbit dari tangan aku. “Comel lote nyaa.”
                “Cilakak, dasar lelaki!” balasku sambil merampas semula telefon bimbit itu dan menuju ke tandas.
                Gatal punya lelaki!

***

                “Ohaiyou gozaimasu~~ hisahiburi desu ne~~”
                Eh aku lempang juga mamat bajet Jepun ni. Padahal muka jawa sangat. Aku betulkan kedudukan beg sandang aku yang dari tadi tersangkut pada tudung.
                “Hai Farah! Hai boyfriend Farah! Hai kakak Farah dan suami! Hai Kak Lang!” Habis semua dia hai. Ni mesti kes rindu tak cakap Bahasa Melayu lama sangat ni. Mamat ni memang macam bodoh sikit perangai macam budak-budak padahal dah umur 27.
                “Woi, tu bukan boyfriend aku la!” Namun Syahrul kini sedang berbual dengan kakaknya. Dia menoleh. “Eh jomlah. Kita kena kejar bas untuk ke Asakusa. Keretapi habis dah kalau pukul 12 tengah malam ni,” katanya.
                Kami mengikut langkahnya. Mungkin terlalu lama berjalan seorang diri, langkahnya begitu besar. Kami terpaksa mengorak langkah lebih besar untuk mengejarnya.
                “Eh, kau beritahu dia aku boyfriend kau?” Luqman tiba-tiba ada di sebelah.
                “Haish mana adalah! Mamat tu memang mereng!” balasku.
                “Oh…”
                Perbualan kami terhenti apabila mendengar Syahrul memberitahu bahawa bas terakhir akan bergerak lagi seminit. Kami segera buka langkah seribu menerpa ke arah bas.

***

                “Jadi apa rancangan korang esok?”
                Kami kini ada di dalam rumah apartment yang kami sewa bersama. Tiga bilik, jadi kakak si Syahrul dan keluarga sebilik, Hana dan suaminya sebilik, aku dalam bilik paling kecil. Yang lelaki semua tidur di ruang tamu. Mereka yang lain semua dah masuk tidur kerana kepenatan seharian di dalam kapal terbang. Hanya aku, Syahrul dan Luqmanberada di ruang tamu.
                “Mungkin nak ke Akihabara, lepas tu ke Masjid Tokyo Camii,” balasku. Memang aku dah niat nak ke lihat bagaimana masjid di Tokyo. Kata orang cantik tempatnya.
                “Tahu macam mana nak ke sana?” Tanya Syahrul.
                Aku buka buku nota kecil yang aku tuliskan semua perancangan aku ketika di Tokyo. “Dari sini naik Metro ke Tokyo, lepas tu pergi ke Shinjuku naik JR Yamanote,” aku selak helaian seterusnya. “Dari situ, tukar ke Tokyo Metro Chiyoda Line untuk ke Yoyogi-Uehara.”
                “Dari Yoyogi-Uehara?” soal Luqman pula.
                “Jalan kaki 15 minit,” balas Syahrul. “Tanya orang sekeliling situ sebab situ kawasan perumahan, masjid dia terselindung sikit.”
                Pergh mamat ni hebat gila. Dah macam lama duduk Tokyo ni. “Masjid tu okay?” Aku bertanya.
                “Okay sangat. Tempat sembahyang perempuan dekat atas. Lelaki dekat level biasa. Tapi,” balas Syahrul. “kalau korang tengah sembahyang ada orang masuk melawat, itu biasa. Masjid dekat luar negara memang open untuk bukan Islam masuk melawat, dekat Malaysia je yang macam-macam.” Pergh sempat mengutuk Malaysia. Aku koyakkan passport dia kejap lagi.
                “Betul, aku setuju,” balas Luqman. Fine, aku koyak passport kau sekali.
                “Hish korang ni. Melalut la,” kataku sambil bangun. “Dah, aku nak tido. Esok kena bangun awal.”
               
***

                Hari pertama berlalu pergi. Aku, Luqman, kak Hana dan suaminya pergi merayau ke seluruh Tokyo dengan menaiki JR Yamanote. Nasib baik ada tiket murah, baru 710 yen saja untuk naik keretapi sesuka hati dalam sehari. Puas kami turun naik keretapi. Syahrull dan keluarga kakaknya pula ke Edo Wonderland; bawa anak-anak buahnya bermain di taman tema itu.
                Pada malamnya, Hana dan suaminya buat keputusan untuk berehat saja di rumah. Keluarga kakak Syahrul pula buat keputusan untuk keluar ke restoran tempura di Asakusa. Nak cari yang halal memang susah, jadi makan tempura sayur dan makanan laut sajalah yang boleh.
                “Macam mana siang tadi?” Tanya Syahrul. Kami bertiga kini berjalan di Sensoji Temple yang begitu dekat dengan kawasan rumah.
                “Seronok jugalah. Pergi Akihabara, pergi istana diraja diorang, pergi tengok orang perform dekat Shinjuku, memang best sangat.”
                “Masjid Tokyo?” Tanya Syahrul.
                Luqman menepuk bahu Syahrul dengan gaya memahami. “Memang betul bro. Ada orang bukan Islam masuk macam tu saja. Siap tangkap gambar aku tengah sembahyang. Malu i...” Eh tetiba dah jadi kawan baik pula budak berdua ni?
                “Haha…kan?”
                Kami membelok ke kawasan Nakamisedori, kawasan yang penuh dengan kedai-kedai jualan pelbagai barang. Sedang berjalan, Luqman berhenti secara tiba-tiba. Aku yang berjalan di belakangnya hampir terlanggar badan besarnya.
                “Woi, apa berhenti tiba-tiba ni?” marah aku.
                “Farah! Tengok tu!” tuding Luqman ke dalam satu kedai. Aku yang memang bermata sepet ni cuba menyepetkan lagi mata untuk mencari objek yang ditudingnya. Apa benda kejadah yang ditunjuknya?
                “Itulah!” katanya lagi.
                Aku yang memang jiwa mudah mendidih memandangnya dengan tangan kemas tergenggam. “Cakap ‘itu’ lagi sekali, aku debik kau kat sini.” Dia menggelengkan kepala dan masuk ke dalam kedai. Aku mengekornya dari belakang.
                “Topeng raksasa ni.” Tunjuknya pada salah satu topeng yang tergantung di dinding.
                Aku memandangnya pelik. Apa kenanya dengan topeng tu? Ada masalah mental ke mamat ni? Kena tinggal dengan Aisyah terus jadi gila? “Kenapa dengan topeng tu?”
                “Kau ni memang banyak makan semut la,” gelengnya. “Ingat masa kecil-kecil dulu, masa main Power Ranger, kan kau selalu jadi raksasa.” Di belakang, Syahrul dah mula mengilai ketawa.
                “Ya, kenapa,” balasku. Panas pula jiwa.
                “Masa tu, semua orang ada pakai topeng Power Ranger. Kau saja takda. Lepas tu setiap kali lepas habis sekolah, kita pergi dari kedai ke kedai cari topeng raksasa,” katanya sambil tersenyum. “Lepas tu bila tak jumpa, ada budak kata takyah topeng pun takpa, kau memang macam raksasa,” sambung Luqman lagi. “Seminggu kau tak datang sekolah sebab tu.”
                Okay memori pahit aku dah kantoi pada si Syahrul. Celaka Luqman. Tapi hebat betul dia boleh ingat benda remeh begini lagi. Aku dah ingat-ingat lupa dah.
                Syahrul datang menghampiri kami. Kini dia pula menepuk bahu Luqman dengan pandangan memahami. “Bro, aku rasa kau suka kat si Farah ni kan?”
                Luqman memandang aku. Aku membalas pandangannya dengan senyuman jahat. Senyuman jahat turut terukir di bibir Luqman
Malam itu, Syahrul dikejar Power Ranger Merah dan Raksasa di sekeliling Sensoji Temple.

***

                Hari berganti hari. Rasa sekejap saja kami berada di sini. Dah enam hari rupanya. Penerbangan balik kami ke Malaysia adalah pada jam 11 malam ini. Jadi kami semua buat keputusan untuk merayau saja seharian sementara menunggu waktu malam untuk ke lapangan terbang. Pada jam 6 petang, kami semua dah berkumpul di lapangan terbang, kecuali Luqman yang terpisah apabila dia mengatakan yang dia perlu bertemu rakannya.
                Sedang aku berbual-bual dengan anak buah si Syahrul, telefon bimbit aku berbunyi menandakan ada menerima mesej. Aku jeling sekilas; dari Luqman. Aku yang dari tadi risau ada apa-apa berlaku padanya segera membuka mesej tersebut.
                “Aku sesat. Tak tahu di mana. Cari Asakusa. Bateri nak mati.”
                Jantung aku berdegup kencang. Ah sudah, dah dekat masa nak balik ni barulah nak sesat bagai. Aku lempang juga budak ni nanti. Aku segera mendapatkan Syahrul dan menunjukkan mesej itu padanya. Aku cuba berkali-kali untuk menghubunginya, tetapi gagal.
                Syahrul mengerling jam tangannya. “Sekarang baru pukul tujuh. Kita ada masa lagi,” katanya pantas. Dia menoleh kepada kakaknya. “Nanti pergi check in. Tolong check in kan kitorang punya sekali. Cakap kitorang ke tandas ke apa ke. Nah passport,” katanya sambil menghulurkan passport kepada kakaknya. “Mari pergi.”
                Aku mengikutnya. “Kita nak ke mana?” tanya aku sambil cuba mengikuti langkah lebarnya.
                “Ke Asakusa.”
                “Kenapa Asakusa? Dia tahu Asakusa kan?” soalku.
                “Tapi sebab stesen Asakusa ada dua tempat. Dia mungkin tak tahu mana satu nak pergi.” Kami berlarian anak ke stesen Tokyo Monorail. Setibanya di Hamamatsucho, kami segera berlari ke stesen Daimon untuk menaiki Toei Asakusa Line untuk ke Asakusa semula. Setibanya di Asakusa, kami bergegas menaiki tangga untuk ke jalan raya.
                “Sekarang macam mana?” aku bertanya. Jam menunjukkan pukul 6.45 petang.
                Syahrul berdiri sebentar berfikir. “Kita berpecah. Aku cari di kawasan antara dua stesen ni,” katanya sambil menuding jarinya ke arah seberang jalan. “Kau pula pergi cari dia di kawasan apartmen kita duduk. Mungkin dia tunggu di sana.” Dia memandang jam tangannya. “Pukul 7.15 mesti ada dekat sini semula.”
                Kami berpecah. Aku segera menuju ke apartmen tempat kami duduki. Kelibatnya masih tak kelihatan. Aku ambil inisiatif untuk pergi bertanya kepada tuan rumah yang duduk di rumah sebelah dengan bahasa Jepun hancur, namun dari gerak tubuhnya, aku pasti dia juga tak tahu.
                Aku berdiri sebentar di tepi jalan. Ke mana agaknya dia akan pergi? Otak aku mula memikirkan perkara yang tak baik. Mungkin dia pengsan di tepi jalan. Mungkin dia ada di hospital. Mungkin dia sesat dan dah sampai dekat Hokkaido. Mungkinkah dia dah kena tangkap dengan Yakuza dan kini disimen kakinya dan dicampak ke dalam Selat Jepun?
                Ah, tak mungkin! Aku menggelengkan kepala. Aku mula berlari tanpa tujuan. Dari lorong ke lorong aku cari. Otak aku masih ligat memikirkan apa yang mungkin berlaku padanya. Aku dah cuba untuk hentikan, tapi otak perempuan, memang sentiasa fikirkan macam-macam. Aku gelengkan kepala lagi. Diam, otak, diam!
                Fokus Farah, fokus! Fikirkan tentang dia sekarang! Fikirkan kawan baik kau sejak dari kecil lagi, marah aku kepada diri sendiri. Luqman memang sejak dari kecil selalu dengan aku. Biarlah orang nak kata apa, rapatnya kami berdua sering mengundang cemuhan dan sinisan rakan-rakan. Biarlah orang nak kata apa, kami hanya rakan, bukan ada lakukan apa-apa yang menyalahi agama dan norma masyarakat.
                Sedang aku berlari, aku teringatkan semasa aku sesat di hutan belakang rumah kami masa kecil-kecill dulu. Luqmanlah yang berlari-lari, menjeritkan nama aku sehinggalah aku ditemui semula. Sekarang baru aku faham perasaan kau, Luqman.
                Tiba-tiba, tangan aku terasa basah. Aku berhenti sebentar. Baru aku perasan rupanya aku dah menangis lama. Muka aku dipenuhi dengan air mata yang meleleh sampai ke bawah, dan jatuh ke tangan. Kenapa aku menangis pasal si samdol tu, getus hatiku. Namun makin aku tepis air mata, semakin banyak yang mengalir keluar.
                “Farah!” dari jauh aku nampak kelibat Syahrul. Di belakangnya ada kelibat seorang lelaki lain. Aku yang terkesima segera bingkas dan mengeringkan air mata. Sedih aku berganti marah, dan aku segera menerpa dan menumbuk bahu Luqman.
                “Cilakak! Tak guna!” Berkali-kali aku menumbuk bahunya. Dia mengangkat tangannya sebagai tanda minta maaf.
                “Maaf, maaf.” katanya. “Aku kembali ke Asakusa untuk beli sesuatu. Tapi lepas tu aku dah lupa di mana stesen keretapi.”
                “Bodoh!” tanpa aku sedar air mata aku kembali mengalir. “Apa benda yang penting sangat sampai kau datang sini balik dan lupa?”
                Dia menghulurkan beg kertas di tangannya. “Nah, untuk kau.”
                Dengan kasar aku rampas beg itu dari tangannya dan membukanya. “Kau datang sini balik untuk beli topeng bodoh ni saja?”
                Luqman menggelengkan kepala. “Sebab pada aku kau bukan raksasa macam budak tu cakap. Kalau kau raksasa, akulah Power Rangersnya.”
                Aku tenung Luqman dengan mata terbuntang. “Tengok dalam topeng tu,” katanya lagi.
                Topeng itu aku lihat di dalamnya. Terdapat satu bungkusan keropok di dalamnya. Aku kenal keropok ni.
                “Keropok ni…” aku kehilangan kata-kata.
                “Keropok ni lah yang kau beli masa kecil-kecil dulu dan dapat cincin. Bila kita main masak-masak, kau akan pakai cincin tu bila kau jadi mak, aku jadi bapak” kata Luqman “Tapi satu hari, aku terhilangkan cincin ni. Kau kata kau benci aku.” Luqman tersenyum. “Jadi aku ganti semula hari ni.”
                Aku segera buka bungkusan keropok itu. Cincin plastic berwarna pink dengan batu permata mainan berwarna ungu aku keluarkan dari bungkusannya. Sama dengan cincin lama aku.
                “Aku…” aku masih lagi kehilangan kata-kata.
                “Jadi kau tak boleh kata kau benci aku lagi,” kata Luqman sambil tersenyum.
                Syahrul yang dari tadi memerhati datang menghampiri kami. Dia meletakkan tangannya di atas bahu Luqman dan memberikan pandangan memahami. “Bro, cincin dah ada. Kendurinya bila?”
                Muka aku dan Luqman merah padam. Sekali lagi dia dikejar Raksasa dan Power Rangers Merah menuju kembali ke Lapangan Terbang Haneda. Alhamdulillah, kami berjaya menaiki kapal terbang walaupun begitu hampir pintu kapal terbang ditutup. Macam dalam filem omputeh pula.
                Sepanjang perjalanan balik aku tak lekang bermain dengan cincin yang ada di jariku. Sekali-sekali aku mencuri pandang kepada Luqman. Baru aku sedar aku kini memandangnya dengan pandangan yang baru. Baru aku sedar kacak juga dia ni.

                Ah, apa yang aku merepek ni? Bencinya!


*************************************************************************
Korang perasan tak karya ni lain dari yang biasa akak buat? Hahaha...okay ni karya Syamil, kawan akak yang turut menyumbang dalam buku kompilasi cerpen Happy Virus.

Maaflah akak ni lama tak update kat sini. InsyaAllah tak lama lagi akak update kompilasi cerpen versi heartbreak huhuhu...

Okay macam biasa tak suka ke apa sila komen. Sesungguhnya mamat itu sangat teruja nak tahu apa reaksi korang untuk karya dia ini. 

14 comments:

anonymous said...

kawaaaiiii!..comel ja depa >< ,,ultraman tak da ka?? hahahahah..thumbs up ^_^

farahshahar said...

suka3 best... ucap tahniah kat kwan akak tu...akak cepat2 la update ya...^_^

Norlyana Nasrin said...

@anonymous: hehehe sengal kan...ultraman tak da pi bercuti kat Sapporo. Thanks ye.

@aecha sha: Alhamdulillah...nnt akak sampaikan kat dia. InsyaAllah..nanti akak keluarkan dua sekali siri heartbreak. tunggu na...

(^-^)v

Adfin said...

isteriku ratu ais da terbit ke belum?

Unknown said...

Hahaha..lawak dan best sngt..taniah kt kwn akak tu..akak nti cpt2 update:)

Norlyana Nasrin said...

@Finaz Fauzi: blm lg...insyaAllah ada rezeki saya umum kat sini.

@lebah comel: alhamdulillah..insyaAllah

(^-^)v

Anonymous said...

best... kelakar... sempoi... sambung la cerita... insyaallah ada yang akan baca...

Norlyana Nasrin said...

x tau la rasanya Syamil ni buat oneshot ja..insyaAllah kalau ada rezeki lagi akak try buat kerjasama dengan dia lagi..hehehe

(^-^)v

Unknown said...

patutlah lain... tapi not bad juga... Keep on writing Syamil.

Norlyana Nasrin said...

@rozita kadiman: hehehe kan..insyaAllah nanti kami akan berkolaborasi lagi hehehe~

(^-^)v

ヌルハミだー said...

Muehehehhehehe.......
Kelakarla akk...
Hbih gelak sorg2 kt sni
Smbung update citer lain kk
👍👍👍

Anonymous said...

Akak,kalu heartbreak 2 kan,akak wat Yg happy ending,bwu best,hehe
Akak the best

Anonymous said...

Akak memang the best!! ;)

Norlyana Nasrin said...

@Nur Hamidah Lubis: Thanks insyaAllah. Dalam proses nak buat.

@Anonymous: Heartbreak compilation semestinya not a happy ending.

@SNIz: Alhamdulillah

(^-^)v