Kapitalis

Saturday, September 19, 2015

Cerpen: The Cool and the Delinquent (Part 4)

Abang Baby dan Rei [kredit]   


Latihan merentas desa yang baharu sahaja tamat cukup meletihkan aku. Laluan trek yang agak mencabar membuatkan ramai pelajar yang berhenti sekerat jalan dan berehat di warung-warung yang terdapat di sekitar laluan trek. Aku? Tak adanya nak berhenti! Nadhif menggugut mahu mencari anjing liar dan melepaskan anjing tersebut untuk mengejar aku jika aku berhenti separuh jalan. Memang bagi semangat kaw-kaw punya kat aku!

“Penat?” soalnya sambil menghulurkan sebotol air mineral. Mula-mula agak sangsi juga nak ambil sebab dia ini banyak akal nak kenakan aku tapi…haus punya pasal tibai sahajalah! Alhamdulillah hilang haus dengan air yang Abang Baby beri minum.


“Selalunya orang pendek ni lari laju.” Ha..tengok? Ada sahaja benda yang dia nak kenakan aku.

“Jadi aku tak pendek sebab aku lari tak berapa nak laju,” jawabku malas sambil meregangkan otot-otot aku.  Dia terus menghamburkan tawa dan bila aku berpaling, tuala kecil yang digunakan untuk mengelap peluh dicampak tepat ke mukaku.

“Pakailah. Tu yang bersih punya.” Aku tak menunggu lama untuk mengesat peluh dimuka memandang aku terlupa untuk membawa tuala aku sendiri.

“Bersih sebab baru sekali je aku pakai. Hahaha…” Ceit, terkena lagi aku!





“Weh mak ayah kau ada tanya tak plan kau lepas habis sekolah?” soal Nadhif ketika aku sedang memerah otak menyelesaikan soalan Matematik Tambahan yang sudah dia siapkan dalam masa kurang dari lima minit. Tak dinafikan walaupun perangai dia tak serupa orang tapi otak dia memang bergeliga.

“Tak ada pun sebab diorang nak suruh aku tentukan masa depan aku sendiri.” Aku mula duduk bersila ala-ala bertafakur konon-konon nak tenangkan otak dan dapat inspirasi dari alam. Serius Matematik Tambahan ini memang bagi aku tekanan!

“Samalah. Tapi terus terang aku cakap yang aku tak ada plan.” Matanya memandang jauh ke arah kebun Auntie Fei dan Uncle Ho. Inilah masalah dengan orang genius! Genius sangat sampai tak tahu nak jadi apa!

“Kau pandai Nadhif. Gunakan otak yang Allah kurniakan pada kau untuk berbakti kat orang lain dan dalam masa yang sama buat sesuatu yang boleh berikan kepuasan untuk diri kau sendiri.” Nasihat yang lebih kurang sama along aku beri kepada kami adik beradik suatu ketika dulu. Sesudahnya, kami semua dipaksa menulis karangan yang bertajuk ‘Cita-cita saya’. Ingat balik memang kelakar tapi itu yang menjadi pembakar semangat untuk kami adik beradik.

“Aku tak tahulah. Boleh tak kalau aku ikut je mana kau pergi?” Huk?!

“Aku..aku tak reti nak bergaul dengan orang. Bila kau ada baru aku rasa tenang dan marah aku boleh dikawal. Aku serius tak tahu apa akan jadi kat aku kalau kau tak ada.” Muka aku mula nak membahang tapi fikiran logik pantas menerpa.

“Aku tak kisah tapi sampai bila weh? Sedangkan kalau masuk U pun blok asrama lain-lain.” Sengaja aku memasukkan elemen gurauan untuk bagi dia peluang untuk berfikir.

“Hmm itu aku tahulah. Sekarang ni pun kita bukan duduk serumah.” Dia menguak rambutnya ke belakang. Haish dah panjang sikit rambut Abang Baby ni. Tunggu masa sahajalah nak kena tahan dengan Guru Disiplin.

“Ada satu je cara untuk pastikan kita sentiasa bersama.” Aku memandang pelik ke arah Abang Baby yang mula tayang muka serius.

“Apa benda weh?” soalku tak sabar. Boleh pula dia ‘pause’ seminit!

“Kita kahwin.” Huk?! Apakah? Dah biol ke apa otak si genius ni?

“Mengarutlah kau! Dah aku nak balik! Lama-lama dengan kau mahu senget kepala otak aku!” Aku bingkas bangun dan mula mengemas barang-barang aku. Rafiq dan Rafi mula mendekati aku apabila melihat aku dah bersiap-siap untuk pulang ke rumah.

Abang Baby? Dia senyap terus dan langsung tak pandang muka aku. Haish aku ke dia yang cakap benda mengarut ni?




Kertas-kertas peperiksaan percubaan SPM aku masukkan ke dalam fail. Markah? Alhamdulillah bolehlah tahan berkat usaha dan doa mak ayah aku. Perlahan aku mengatur langkah ke taman botani sekolah. Aku nak menjenguk pokok-pokok yang aku tanam dan ada yang perlukan penjagaan rapi maka aku memang kena cakna dengan perubahan tumbuh-tumbuhan tersebut. Silap sikit mahu mati pokok aku kome tahu?

“Nadhif macam mana kamu boleh masuk dalam taman botani ni? Setahu cikgu cuma Reika yang ada kunci untuk taman ini!” Aku mempercepatkan langkah apabila melihat Cikgu Rosman dan beberapa orang murid ada didalam taman botani.

“Kenapa ni cikgu?” Aku terkaku di pagar melihatkan keadaan taman botani yang kucar-kacir.

“Rei, bukan aku Rei!” Nadhif memandangku dengan muka bengis. Mungkin terasa dirinya bakal dipersalahkan.

“Tapi masa saya sampai, cuma Nadhif sahaja yang ada dalam taman ini cikgu,” ujar seorang pelajar dengan muka takut-takut.

“Cepat mengaku Nadhif! Kamu yang jahanamkan taman ni kan?! Pantang tengok benda elok sikit dia nak bagi jahanam!” Cikgu Rosman yang sudah meninggikan suara membuatkan aku terkedu lagi. Otak aku sedang cuba memproses maklumat yang aku terima dan sibuk membuat analisis.

“Rei, percaya cakap aku Rei. Aku mana mungkin sanggup nak jahanamkan benda yang kau sayang!” Aku mengangguk perlahan. Senakal-nakal Nadhif, tak pernah dia menjahanamkan harta benda sekolah.

“Cikgu, saya tak rasa Nadhif salah. Kalau pun nampak dia seorang sahaja dalam taman ni tapi tak ada bukti yang dia rosakkan pokok-pokok ni jadi kita tak boleh terus menuduh Nadhif,” jelasku sambil melemparkan senyuman kepada Nadhif. Aku tahu dia tak akan buat benda-benda bodoh macam ini. Muka tegang Abang Baby kembali kendur selepas melihat aku tersenyum ke arahnya.

“Ala diorang bercinta cikgu, mana mungkin nak kata Nadhif salah!” Eh? Siapakah si durjana itu?! Nak minta penumbuk ke apa? Dan-dan juga muka si Abang Baby keruh semula. Haish….

“Kalau kami bercinta pun, saya tak akan gila melepaskan orang yang buat onar pada pokok-pokok saya. Tak apa, taman botani ini ada CCTV. Tak akan terlepas orang yang buat jahat dan kemudiannya menuduh orang lain!” Cikgu Rosman menganggukkan kepalanya.

“Hmm terlupa pula cikgu yang ada CCTV dalam taman botani kamu ni Reika. Baiklah saya akan pergi periksa rakaman CCTV tu sekarang. Nadhif dan Reika boleh ikut saya.” Aku dan Nadhif segera membontoti Cikgu Rosman.

“Sekejap. Korang semua tolong keluar dari taman aku. Ini private space aku.” Serius aku tak selesa bila mereka beramai-ramai didalam taman yang selalunya dihuni oleh aku seorang diri. Masing-masing tayang muka tak puas hati dan ada juga yang mengatakan aku perempuan hutan gila. Hmm kisah sangatlah aku dengan cakap-cakap orang.

“Rei, terima kasih sebab percaya aku.” Nadhif memandangku dengan wajah lega.

“Hmm dah kau tak salah.” Aku segera mengunci pintu pagar taman botani. Cikgu Rosman dari tadi memerhatikan sahaja kelakuan kami. Hmm jangan dia ingat aku dengan Nadhif berkomplot jahanamkan taman botani sekolah sudah. Tapi...rasanya satu sekolah tahu yang aku memang sayang gila-gila dengan taman ini.




Setelah menonton rakaman kamera CCTV, terbukti Nadhif tak bersalah. Rupa-rupanya geng basikal pelesit sekolah yang menjahanamkan taman botani aku sebab nak balas dendam kat Abang Baby. Yang beria-ia menuduh Nadhif itulah dalangnya. Nasib baiklah ada kamera CCTV kalau tak, tak pasal-pasal Abang Baby kena gantung sekolah.

“Rei, macam mana kau tahu yang aku tak salah?” Aku yang sedang merendamkan kaki ke dalam sungai hanya tersenyum nipis. Sungai yang terletak hampir dengan kebun Auntie Fei dan Uncle Ho menjadi tempat aku berehat setelah penat mengulangkaji matapelajaran Kimia dengan Nadhif tadi. Macam biasa, Rafiq dan Rafi setia menemani aku sebab Abang Baby ada sama.

“Dah kau cakap kau tak salah.” Aku menjawab setelah dia menayang wajah bengang bila aku tak mejawab soalan dia hahahaha…

“Macam tu je?” soalnya semula dengan muka bengang minta jawapan panjang.

“Yelah.” Nadhif hanya mendiamkan diri sambil mencampak batu-batu kecil ke dalam sungai.

“Lagi satu, kalau aku tak percayakan kau, aku tak layak jadi kawan kau.” Aku meregangkan otot lalu bangun dari dudukku.

“Terima kasih. Aku memang tak salah pilih kau.” Aku hanya menjungkitkan kedua-dua belah bahu. Kawan kalau tak saling percaya, apa guna?

“Rei..” Aku yang ketika itu hendak mengambil air botol yang aku bawa dari rumah terhenti seketika dek panggilan Abang Baby.

“Tolong tunggu aku.” Dia cakap apa ni?

“Ha? Kau nak air ke?”

“10 tahun. Aku minta kau tunggu aku untuk 10 tahun atau mungkin kurang dari itu. Aku akan buktikan yang aku lelaki yang sesuai untuk kau.” Terkedu seketika aku dengan kata-kata yang keluar dari mulut Abang Baby. Kena sampuk dengan jin sungai ke dia ni?

“Ka..kau cakap apa ni?” Aku yang ternyata terkejut tak mampu memandang wajah serius Nadhif.

“Aku akan ambil kau jadi isteri aku. Aku yakin hanya kau yang sesuai untuk aku.” Aku terkedu dan hilang kata-kata.

“Mungkin kau rasa macam tak betul je apa yang aku cakap tapi ini adalah keputusan yang aku buat setelah berfikir lama. Lagi 10 tahun, kita akan kembali ke tempat ini dan aku akan melamar kau untuk jadi isteri aku. Kau sudi tak tunggu aku?” Automatik aku mengangguk. Eh?!!!!! Aku pun kena sampuk sekali ke apa?

“Benda ni kita hanya merancang tapi Allah yang tentukan segalanya. Kalau ada jodoh tak akan ke mana.” Abang Baby hanya tersenyum nipis mendengarkan kata-kata aku.

Que sera..sera..what will be, will be.” Aku mengangguk. Apa lagi yang boleh aku katakan?







“Along, balik hujung minggu ni ke mak?” soal aku ketika membantu mak menyediakan juadah petang.

“Haah. Dia balik sekejap sebab nak buat passport.” Passport? Along aku nak pergi luar negara ke?

“Buat passport? Along nak pergi mana mak?”

“La..along tak beritahu Rei ke? Dia ada misi kemanusiaan ke Kemboja.”

“Hmm mungkin along lupa nak beritahu.” Hmm seronok betul jadi pelajar universiti. Selama ini ada sahaja aku mendengar along bercerita tentang aktiviti-aktiviti dia. Selalunya aku hanya mendengar tapi tak masuk pun dalam kepala otak aku sangat sebab aku memang tak berapa berkenan nak buat aktiviti yang melibatkan ramai orang.

“Rei nanti kalau dah masuk universiti, bolehlah ikut aktiviti-aktiviti macam tu. Sekurang-kurangnya boleh hilangkan tekanan belajar dan Rei boleh timba pengalaman.” Aku hanya mampu mengangguk. Serius aku tak janji yang aku akan aktif di universiti.

“Rei nanti lepas SPM mungkin dapat tawaran kat mana-mana universiti. Masa tu, kira pertama kali Rei jauh dari keluarga. Mak sebenarnya risau juga tapi sampai bila nak duduk bawa ketiak mak. Rei perlu keluar dan lihat dunia. Dunia luar tak sama macam apa yang Rei tengok dalam televisyen dan internet. Rei kena pandai jaga diri dan ingat Allah melihat setiap perbuatan dan kelakuan Rei. Mak dan ayah hanya boleh mendoakan yang terbaik untuk Rei dari jauh.” Sayu jugalah mendengarkan kata-kata dari mak ini. Aku tahu yang aku ini ‘lain’ dari anaknya yang lain dan itu juga antara sebab dia risau akan keadaan aku bila berjauhan dengan keluarga.


“InsyaAllah Rei ingat pesan mak.” Mak mengangguk perlahan. Aku dan mak meneruskan kerja tanpa bercakap sehingga siap. Pada aku, lama lagi baru nak masuk universiti tapi mungkin pada mak, dia sedang mengira berapa banyak masa lagi yang dapat dia habiskan bersama aku sebelum aku keseorangan diluar sana.


*************************************************************************
Alhamdulillah siap lagi satu bahagian. Maaf ambil masa yang agak lama sebab saya sibuk dengan persediaan kelas dan hal buku.

Oh ye nak buat iklan sikit untuk Happy Virus. Sesiapa yang masih belum dapatkan buku koleksi cerpen saya boleh emel saya di kouryu.nasrin@gmail.com tak pun add Facebook Norlyana Nasrin Zulkifli.

Harga buku cuma RM28! Setiap buku saya sendiri akan tandatangan sebelum pos hehehe perasan popular sekejap....

Dalam buku ni ada 5 cerpen dari blog dan 5 lagi cerpen ekslusif fresh dari otak saya. Ketahuilah kelima-lima cerpen baru itu tak akan disiarkan ke dalam blog atau dimana-mana.

Okay macam biasa tak suka ka apa sila komen na?
(^-^)v

4 comments:

Didyana Idris said...

Yes!!! You are the best!!! <3<3<3

Norlyana Nasrin said...

@Didyana Idris: Alhamdulillah thanks ye 😁

Anonymous said...

Bile nk sambung cerpen ni?..x sabar menunggunyee..

Norlyana Nasrin said...

Harap bersabar huhu..penulis tgh blur seketika..insyaAllah ada idea saya sambung huhuhuhu 😅😅😅