Kapitalis

Friday, July 25, 2014

Isteriku Ratu Ais - Bab 43

taken from here  

Malik masuk ke dalam bilik yang disediakan oleh Datuk Ilyas didalam banglo untuk berehat. Dia ada menyimpan baju lebih di situ kerana selalunya jika waktu tengah hari, dia akan pulang ke banglo Datuk Ilyas untuk menjenguk anaknya dan menunaikan solat disitu. Itupun setelah disuruh Datuk Ilyas yang kasihankan dirinya yang selalu berulang-alik dari banglo ke rumahnya sekarang. Rumah itu disediakan oleh Datuk Ilyas untuk dirinya dan anaknya. Sama seperti yang Datuk Ilyas lakukan terhadap Henry. Disebabkan berasa segan dan tak mahu terlalu terhutang budi dengan Datuk Ilyas, dia membayar duit sewaan kepada majikannya itu walaupun Datuk Ilyas selari lari-lari. Ketawa sendiri apabila teringat akan gelagat majikannya itu.

“Malik nak bawa Zimam pergi tengok Hanan ke? Zimam ni baru je tidur, tadi dia merengek-rengek juga sebab demam. Akak dah jelum kepala dia dengan air asam jawa tadi tu yang dia sedap tidur. Alhamdulillah panas badan dia pun dah berkurangan.” Malik yang mengangguk mendengar penjelasan Kak Fairos. Malik mencium dahi anaknya yang enak tidur. Ada Koolfever yang ditepek didahi Zimam. Pipi anaknya diusap lembut sebelum dia bangun dari duduknya.

“Kalau macam tu saya pergi dulu.” Kak Fairos mengangguk. Dia keluar dari banglo Datuk Ilyas dengan lafaz bismillah. Dia membuat keputusan untuk menaiki bas sahaja kerana jarak antara hospital dan kediaman Datuk Ilyas bukannya jauh dan hanya dia seorang sahaja. Lainlah jika dia membawa Zimam.

“Malik!” Malik berpaling ke arah Kak Fairos yang tiba-tiba memanggil namanya.

“La awat jalan kaki? Pi la pakai kereta Datin tu,” tegur Kak Fairos. Malik hanya senyum dan menggelengkan kepalanya.

“Tak apa kak bukan jauh mana. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.” Malik meneruskan perjalanannya ke pondok menunggu bas berdekatan dengan kediaman Datuk Ilyas. Tak sampai lima minit menunggu, bas pun tiba.

Perjalanan dari kediaman Datuk Ilyas ke hospital yang sepatutnya cuma mengambil masa 20 minit menjadi satu jam setengah kerana terdapat kemalangan jalan raya yang melibatkan dua buah lori. Tiba sahaja di hospital M, Malik berasa pelik kerana terdapat beberapa orang lelaki yang memasuki ruang hospital dengan mengacukan senapang ke arah anggota keselamatan sebelum menarik mereka masuk ke dalam hospital. Dengan berhati-hati Malik mencari laluan lain dalam hati dia berdoa agar keluarga Datuk Ilyas tidak berada dalam keadaan bahaya. Dia menyusup masuk ke dalam hospital melalui pintu yang menghubungkan bahagian Forensik dan unit Patologi. Apabila melewati ruang menunggu, dia terlihat kelibat Firdaus dan sahabat-sahabatnya berlari ke tangga kecemasan. Malik mencari peluang untuk ke tangga kecemasan. Laluannya untuk ke sana amat merbahaya kerana besar kemungkinan akan ditangkap oleh lelaki yang lengkap bersenjata yang pada ketika itu sibuk mengawal keadaan sekeliling. Dia berpatah balik ke unit Forensik untuk menaiki lif mengangkut barang. Tiba di tingkat dua, dia berlari ke tangga kecemasan untuk menjejak Firdaus dan sahabat-sahabatnya. Nasibnya baik kerana terlihat kelibat Firdaus yang sedang menutup perlahan pintu rintangan api di tingkat empat. Dengan kadar segera, dia mendaki tangga ke tingkat empat namun pintu rintangan yang dibuka secara tiba-tiba di tingkat tiga membuatkan dia terhenti. Kelihatan seorang lelaki berbangsa India menarik Adriana ke tangga kecemasan.

“Kau memang tak guna kan? Kali ni biar aku buat Datuk Ilyas merana bila tengok anak dia kena dengan aku! Hahaha..” Lelaki berbangsa India itu menarik tudung Adriana dan cuba untuk merentap baju anak majikannya itu. Malik yang mula naik darah pantas berlari ke arah lelaki India itu dan melayangkan penumbuk ke mukanya.

“Cik Hanan, pakai balik tudung tu cepat!" Malik yang tidak memandang ke arah Adriana terus membelasah lelaki tadi sehingga lembik. Setakat tunjuk kuat depan perempuan, memang dasar lelaki durjana! Sedaya upaya dia tak mahu aurat saudara seagamanya terdedah kepada bukan yang mahram.

Malik mengheret lelaki India itu ke koridor tingkat tiga dan mencampak lelaki itu ke dinding. Tersembur darah dari mulut lelaki itu hasil pukulan Malik.

“Kamil pasti bunuh kau!” Dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, lelaki itu masih mahu memprovokasi Malik.

“Apa nama kau?” tanya Malik bengis!

“Thiru.”

“Bagus, boleh aku tempahkan jirat untuk kau. Ke kau nak kena bakar je?” soal Malik dengan nada sinis. Adriana agak terkejut dengan perubahan sifat Malik yang tiba-tiba. Sebiji macam samseng! Thiru dibelasah sehingga tidak sedarkan diri.

Lama Malik berdiam diri dan beristighfar setelah ‘selesai’kan Thiru. Adriana hanya diam memandang Malik yang mengikat Thiru yang sudah pengsan akibat dibelasah teruk.

“Saya ada masa silam yang gelap. Maaf jika menakutkan Cik Hanan. Jaga diri ye? Saya nak pergi tolong Encik Firdaus.” Malik mengheret Thiru dan mengurungnya didalam bilik stor. Risau juga jika Thiru tiba-tiba bangun dan mengapa-apakan Adriana.

“Malik.” Belum jauh Malik beredar, Adriana memanggil semula namanya. Malik berpaling ke arah anak majikannya.

“Terima kasih,” ucap Adriana ikhlas dan dia menguntumkan senyuman buat Malik. Baik sungguh lelaki itu kerana sanggup mempertahankan maruahnya tadi.

“Sama-sama cik. Cik Hanan jika ditakdirkan saya tak balik hari ni, tolong jadi ibu buat Zimam boleh?” pinta Malik dari kejauhan. Adriana terkaku seketika sebelum mengangguk. Mana mungkin dia tak sanggup menjadi ibu angkat buat anak kecil secomel Zimam.

“Saya pergi dulu.” Malik segera berlari nak ke tingkat empat. Dia dapat merasakan sesuatu yang buruk bakal berlaku.

Setibanya ditingkat empat, Malik melangkah dengan berhati-hati. Berderau darahnya apabila melihat Datuk Ilyas dipukul oleh seorang penjahat sehingga berdarah. Majikan yang sanggup menolongnya disaat tiada saudara-maranya sanggup menghulurkan bantuan kini diperlakukan sebegitu rupa. Dengan kadar segera dia menyusup masuk ke dalam bilik kawalan tanpa dikesan oleh sesiapa.

“Dia dah mati! Dia dah mati! Hahahaha...” ketawa si penjahat membuatkan Malik semakin berang.

“Sekarang aku nak cucunya terima nasib yang sama....” Malik terkejut apabila si penjahat mula mengacukan pistol ke arah bakul yang dipercayainya berisi anak Firdaus. Tanpa berfikir panjang, Malik meluru untuk menghalang penjahat itu dari menembak anak Firdaus.

Bang! Tembakan dilepaskan dan mengenai tepat ke dada Malik. Walaupun dia berasa sakit namun Malik puas, dia berjaya menghalang orang jahat itu dari menembak cucu kepada majikan yang disayanginya. Tubuhnya tumbang ke lantai dan serentak itu penjahat itu ditembak oleh salah seorang sahabat Firdaus.

“Allah...” dengan nafas tersekat-sekat Malik berusaha untuk mengucap. Tahulah dirinya yang hari ini merupakan hari terakhir dia sebagai seorang khalifah di bumi Allah. Dia redha dengan ketentuan takdirnya. Firdaus yang duduk memangku tubuhnya dipandang dengan sayu.

“Jadi... bapa... Zimam....ma..afkan..segala silap saya.” Firdaus mengangguk laju. Air matanya tak dapat dibendung dan dibiarkan tumpah. Sesungguhnya dia berterima kasih dengan kesanggupan Malik untuk menyelamatkan anaknya. Malik tersenyum badannya tersentak beberapa kali menunjukkan betapa seksanya ketika ruh ingin bercerai dari badan. Firdaus mengenggam tangan Malik dan menyuruhnya mengucap. Tak lama selepas itu barulah pasukan bantuan perubatan tiba namun Malik sudah pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.






“Zimam, main baik-baik dengan adik.” Datin Hafsyah menegur cucu-cucunya yang baru sahaja boleh berjalan. Sudah setahun sejak peristiwa hitam itu berlaku. Adriana menjadi ibu susuan kepada Zimam setelah Malik meninggal dunia. Ingat akan janjinya kepada arwah Malik yang dia akan menjadi ibu buat Zimam. Zimam anak yang sangat baik dan kurang meragam begitu juga dengan Ayyash.

“Hanan, kamu dah siap-siap ke barang nak pergi bercuti ni?” soal Datin Hafsyah lelu melabuhkan punggung disebelah Adriana yang sedang ralit memerhatikan kedua-dua anaknya bermain di taman.

“Dah.”

“Bawa baju lebih untuk Zimam dengan Ayyash tu. Budak-budak ni cepat je kotor bajunya,” pesan Datin Hafsyah. Adriana hanya mengangguk dia sudah menjangkakan itu dan bagasi-bagasi mereka sudah siap dikemas sejak dua hari lepas dek keterujaan Firdaus yang tak sabar mahu pergi bercuti.

“Hanan, kamu sayang Zimam?” tersentak Adriana dengan soalan tiba-tiba yang dilontarkan oleh mamanya.

“Hanan sayang dia.” Adriana menjawab dengan muka tak ada perasaan namun redup matanya membuatkan Datin Hafsyah yakin yang anaknya memang sayangkan Zimam. Sengaja sahaja dia menanyakan soalan sebegitu untuk menguji Adriana.

“Macam mana kalau ada saudara-mara Malik yang datang menuntut Zimam?” soal Datin Hafsyah lagi. Adriana tersentak buat kali kedua. Hatinya dipagut sayu apabila mengenangkan yang macam mana sekalipun, Zimam bukan dilahirkan dari rahimnya.

“Entah, tapi apa yang pasti, Hanan akan jaga dia selama mana Hanan hidup atas dunia ni.” Adriana mengekalkan muka tanpa reaksinya. Sesedih mana pun susah juga nak bereaksi di depan mamanya lainlah jika depan Firdaus. Segala jenis reaksi dia boleh beri.

“Baguslah kalau begitu. Mama tak pernah anggap Zimam sebagai orang lain. Mama jatuh sayang pada dia sejak kali pertama mama tengok dia dipangku Malik. Arwah sangat menjaga Zimam sampai mama kagum tengok dia dan bila tengok muka comel Zimam lagilah mama suka.” Adriana mengangguk mendengar luahan mamanya.

“Bila mama nak tambah cucu lagi ni?” Ehey~ soalan yang buat Adriana nak tersedak. Ada dua orang ni pun tak cukup ke mama oiii?

“Ada rezeki nanti adalah,” jawab Adriana. Rezeki pemberian Allah takkanlah nak ditolak? Tak gitu? Lagipun dalam diam sebenarnya Adriana seronok menjaga Zimam dan Ayyash. Walaupun letih, dia bahagia apabila melihat anak-anaknya membesar didepannya. Kini dia hanya membantu menguruskan syarikat papanya dari rumah. Tambahan pula, Henry sudah ada untuk membantu papanya.


“Eh budak-budak tu kolam ikan bukan kolan mandi!” nyaring suara Datin Hafsyah menjerit kepada cucu-cucunya sambil berlari mendapatkan kedua-dua mereka. Adriana tersenyum nipis dengan gelagat mamanya. Suasana kediaman mereka semakin meriah dan dia sukakannya.

6 comments:

Anonymous said...

yeah saat yg dinantikn tq writer

xsbar nantikn n3 entry x-D

always the best ~fifah~

Norlyana Nasrin said...

@fifah: you're welcome(^-^)v

insyaAllah saya try update lagi ye

selamat hari raya~ ngeee

Unknown said...

woohoo, awesome kak nasrin .
Selamat Hari Raya~~~

Norlyana Nasrin said...

@adryz annisa: hahaha thanks (^-^)

Selamat Hari Raya juga ~

Anonymous said...

Asal macam laju sangat dan tiba2...klimaks ke nie...x best ah kalo hero dia adalah karakter bru...

Norlyana Nasrin said...

part klimaks ada di dua bab sebelum ni dan tambahan sikit diatas.

Hero untuk novel ini tetap adalah Firdaus. Malik dimatikan pada bab ini dan Zimam dibawah jagaan Firdaus dan Adriana selepas kematian Malik.

Cerita ini masih belum tamat (^-^)