Kapitalis

Sunday, March 9, 2014

Isteriku Ratu Ais - Bab 33

taken from here   

“Suha nak makan aiskrim tak? Daris boleh..”

“Eh tak lah Suha nak makan puding la abang! Tadi dia baru beritahu Fateh!”

“Ahhh tak ada! Korang janganlah sibuk!” Fatehah menarik tangan Suha lalu berlari masuk ke kawasan kolam renang di tingkat bawah tanah banglo milik Datuk Ilyas dan Datin Hafsyah. Bangun sahaja dari tidur Daris dan Fateh tak habis-habis menganggu ‘kakaknya’. Naik lemas dia melihat abang-abangnya yang terlalu obses dengan kehadiran Suha. Namun begitu sedikit pun dia tidak berasa cemburu kerana dia sendiri pun suka akan Suha. Perangai kembarnya, Fateh yang tiba-tiba peramah lagi membuatkan dia bertambah pelik.

“Fatehah, abang-abang awak memang macam itu ke?” Suha menjuntaikan kaki masuk ke dalam kolam renang kanak-kanak. Dia sendiri terkejut dengan perhatian yang diberikan oleh kedua-dua abang Fatehah terhadapnya.

“Entah. Dah jom berenang!” Suha mengangguk lantas bangun untuk menukar pakaian renang. Awal-awal lagi Adriana sudah berpesan untuk membawa pakaian renang.


“Waa pagi lagi dah berenang!” Firdaus mendekati Suha dan Fatehah yang seronok berenang didalam kolam kanak-kanak. Selepas sarapan tadi lesap terus budak-budak berempat itu. Tadi dia terserempak dengan Daris dan Fateh sedang bertanding siapa yang boleh menyiapkan jigsaw puzzle paling cepat. Bersemangat sungguh mereka bertanding dan Fateh berjaya mengalahkan Daris yang kemudiannya mencadangkan mereka bertanding dalam membina robot mainan yang sudah dicerai-ceraikan kepada bahagian-bahagian kecil. Firdaus yang sudah tak larat menonton membawa diri ke tingkat bawah banglo mertuanya. Tak sangka pula bertemu dengan Suha dan Fatehah yang seronok bermain air. Ada seorang pembantu rumah yang mengawasi keadaan mereka dari tepi kolam.

“Papa Daus nak mandi sekali?” soal Fatehah sambil berenang-renang ke tepi kolam.

“Boleh juga, sekejap ye papa pergi tukar baju.” Firdaus menghadiahkan senyuman kepada Fatehah dan Suha. Isterinya sibuk hendak memasak makanan tengah hari untuk mereka sekeluarga. Tadi dia dihalau keluar dari dapur dengan kejamnya oleh Adriana. Nak merajuk tak boleh sebab orang tu tengah dalam keadaan hormon tak stabil. Datuk Ilyas dan Datin Hafsyah pula keluar membeli-belah. Lawak sungguh apabila dia sempat menyaksikan adegan Datin Hafsyah memujuk Datuk Ilyas menemaninya membeli-belah ditepi kolam ikan koi. Bapa mertuanya dengan muka tak ada perasaan akhirnya mengalah apabila Datin Hafsyah mengugut untuk mencampak tuba ke dalam kolam ikan. Nampaknya pengembaraan membawa dirinya tamat di kolam renang hehehe....


“Abang, naik cepat! Makanan dah siap!” Dalam tak sedar sudah dua jam dia bermain air dengan Suha dan Fatehah. Seronok budak berdua itu bermain sampaikan Suha pun sudah tak malu-malu dengannya. Hehehe inilah Firdaus, Pencinta Wanita keskeskes...

“Mama, tengok tangan Fatehah ada kedut-kedut macam orang tua!” Fatehah menayangkan jari-jari yang mengecut dek terlalu lama bermain air. Suha turut menunjukkan jari-jarinya kepada mamanya. Adriana mengambil tuala lalu mengelap badan kedua-dua mereka. Lama-lama nanti, boleh kena selsema la pula. Selesai mengelap, Suha dan Fatehah masuk ke bilik untuk menukar pakaian.

“Sayang....” Firdaus yang masih berada didalam kolam menayangkan muka sedih ke arah Adriana. Konon nak minta perhatian. Dari tadi isterinya sibuk menguruskan budak berdua itu sehinggakan langsung tak memandang kearahnya. Untuk menunjukkan protes dia berulangkali naik dan terjun semula ke dalam kolam dengan pelbagai gaya namun Adriana buat tak tahu. Kecil hati + sedih...

“Hmm nak apa?” Sengaja Adriana menayang wajah tak ada perasaan. Seronok pula mendera perasaan suaminya dari pagi tadi hahaha..dia gelak jahat dalam hati.

“Sampai hati...” Firdaus terus membenamkan diri ke dalam kolam. Adriana hanya tersenyum sinis. Nak tengok berapa lama bakal bapak budak itu nak merajuk.

30 saat..seminit.. hampir dua minit berlalu namun Firdaus masih tak timbul-timbul. Adriana mula panik lalu menjengulkan kepala di tepi kolam.

“Abang!” Hampir sahaja Adriana ingin terjun ke dalam kolam. Firdaus timbul lalu merenjiskan air ke muka isterinya.

“Jahat!” Adriana mengelap mukanya dengan tuala yang ingin diberikan kepada Firdaus. Nasib baik dia tak memakai sebarang solekan kalau tak mesti comot.

“Eleh dia yang buat jahat kat kita dari pagi tadi boleh pula..” Firdaus naik dengan mulut yang memuncung. Nak merajuk juga!

“Meh sini,” Adriana memanggil Firdaus untuk dekat kepadanya tapi kali ini Firdaus pula jual mahal. Sengaja dia berjalan menonong ke bilik menukar pakaian. Tercengang Adriana apabila ditinggalkan sebegitu oleh Firdaus.

Tapi..ini Adriana Hanan yang tak kenal erti putus asa. Pantas Adriana berlari lalu melompat dan memanjat belakang Firdaus yang masih basah. Tangannya kemas memeluk leher Firdaus. Nasib baiklah Firdaus boleh dikatakan tegap kalau tak mahu terbalik dua-dua.

“Ni apa panjat-panjat belakang orang ni?” soal Firdaus dalam nada merajuk. Adriana buat tak tahu lalu mula mengelap rambut Firdaus dengan sebelah tangannya masih memeluk leher suaminya.

I love you,” bisik Adriana dekat ke telinga Firdaus sebelum menghadiahkan kucupan di pipi suaminya.

“Apa dia? Abang tak dengarlah?” Sengaja Firdaus buat-buat tak dengar. Nak tengok sejauh mana Adriana nak memujuknya.

I love you,” bisik Adriana sekali lagi ke telinga kanan. Kot la tadi telinga kiri Firdaus dimasuki air itu yang tak dengar kata-kata cintanya.

Firdaus sudah mula tersenyum. Makin nakal isterinya sejak berbadan dua ini. Paling tak boleh tahan, boleh pula main panjat-panjat belakangnya dan memaut kalah monyet. Nasib baiklah tubuh isterinya kecil.

“Eiii mama Ana macam monyet! Hahaha..” Fatehah dan Suha yang sudah selesai menukar pakaian seronok melihat aksi monyet Adriana. Firdaus menurunkan Adriana dengan cermat. Wajah Adriana sudah kemerah-merahan walaupun kekal tanpa perasaan.

“Suha dengan Fatehah masuk dulu ye? Sekejap lagi mama dengan papa datang okey?” pesan Firdaus kepada dua gadis kecil itu.

“Baik tuan papa!” Suha dan Fatehah naik ke tingkat atas setelah memberi tabik hormat kepada Firdaus. Disebabkan leka bermain dengan Firdauslah mereka tak sedar berendam selama dua jam sehingga jari-jari ditangan mereka mengecut.

“Okey sayang masak apa tadi sampai halau abang?” soal Firdaus sambil mengelap badannya.

“Masak biasa-biasa je. Saja tak mahu abang kacau,” jawab Adriana selamba. Firdaus yang geram terus menarik pipi gebu Adriana.

“Saja je. Dah meh panjat belakang abang!” Firdaus terus merendahkan badannya. Adriana berkira-kira untuk memanjat belakang suaminya lagi. Malu jika ada yang melihat. Tadi pun dia dah cukup malu dengan Suha dan Fatehah.

“Tunggu apa lagi? Tadi bukan main siap lompat belakang abang kalah monyet!”  Firdaus bangun semula dan menarik tangan Adriana untuk memaut kemas dilehernya. Adriana hanya menurut dan dia naik ke tingkat atas dengan didukung oleh Firdaus.

“Aik Hanan kamu jatuh ke?” tegur Datin Hafsyah yang baru sahaja pulang dari membeli-belah. Cemas wajahnya melihat Firdaus mendukung Adriana. Datuk Ilyas turut mendekati mereka.

“Tak adalah mama, saya saja je nak dukung Ana ni sementara boleh dukung lagi. Lagi berapa bulan saya sendiri pun tak pasti larat lagi ke tak nak mendukung bakal mak budak ni,” seloroh Firdaus sebelum menurunkan Adriana. Adriana meneruskan langkah ke dapur bagaikan tiada apa-apa yang berlaku padahal dia sudah malu yang teramat. Dalam otaknya sekarang dia hanya mahu menghidangkan makanan di meja makan secepat mungkin.

“Hmm malu la tu. Firdaus, pergi salin pakaian kamu cepat. Hanan dah mula menghidang tu.” Firdaus menjeling ke arah isterinya yang sedang menghidang makanan dengan dibantu oleh pembantu-pembantu rumah. Sempat juga dia hadiahkan flying kiss apabila Adriana memandangnya tadi. Datuk Ilyas yang perasan akan aksi mereka hanya menayang wajah selamba sebelum mengejutkan Daris dan Fateh yang terlentang tidur dengan jigsaw puzzle, mainan robot dan set catur.



Tiga hari sudah berlalu dan seperti yang telah dijanjikan, Firdaus dan Adriana menghantar Suha pulang ke pangkuan Syed Azfar. Serius, Suha boleh dikatakan terlupa langsung tentang papanya selama tiga hari itu. Hanya sekali sahaja dia menelefon Syed Azfar. Itupun untuk memaklumkan yang dia sudah selamat sampai dan mahu masuk tidur.

“Jadi seronok pergi sana?” soal Syed Azfar kepada Suha setelah Firdaus dan Adriana pulang.

“Seronok! Ada Fatehah, Daris dan Fateh main dengan Suha. Kat rumah nenek Sya ada swimming pool besar gila! Papa Daus pun baik.” Syed Azfar mengangguk. Sepanjang ketiadaan Suha, dia bagaikan mayat hidup. Tak sangka anaknya boleh pula berseronok tanpa kehadirannya. Bosan punya pasal, dia membeli set karaoke dan menyanyi seorang diri dirumah. Kalau Nik tahu mesti pengsan sahabat baiknya itu. Syed Azfar dan set karaoke, boleh dikatakan seperti Afrika dengan Alaska.

“Papa, lain kali kalau Suha nak pergi sana lagi boleh? Kesian Fatehah, tadi dia nangis-nangis..” Adui habis tu kau tak tahu ke aku ni macam mana kalau kau tak ada wahai anakku. Ehey, Suha tak akan tahu melainkan anaknya itu memeriksa CCTV rumah mereka! PastI Suha pun akan pengsan sekali dengan Nik.

“Okey...” macam mana nak cakap tak boleh bila Suha tayang muka kasihan? Haih Syed Azfar, nampaknya kau akan melepak dirumah Nik dan Izelea la bila Suha tak ada dirumah. Nasib baiklah anak lelaki Nik dan Izelea boleh kata rapat dengannya kalau tak lagi haru.

“Papa, apa benda tu?” Jari telunjuk Suha menunjukkan ke arah set karaoke yang baru dibelinya. Serba salah dan malu nak menjawab maka dia hanya mendiamkan diri sambil meneguk air dari gelasnya dengan rakus.



Hari sudah bertukar malam apabila Adriana dan Firdaus tiba dirumah mereka. Adriana yang sudah lama tidak pulang ke kediaman rasmi mereka terkejut melihat keadaan rumah yang agak kelam-kabut. Nampak sangat Firdaus tertekan sepanjang ketiadaannya.

“Tak apa, Ana tak payah buat apa-apa. Esok abang kemaskan semua ni okey?” tukas Firdaus apabila melihat Adriana mula mengangkat majalah-majalah dan kertas kerjanya yang bersepah atas sofa di ruang tamu rumah mereka. Adriana mengangguk dan hanya menurut arahan Firdaus.

“Abang!!!!!” Firdaus yang sedang membersihkan bilik tidur mereka berlari mendapatkan isterinya di bilik menyimpan pakaian dan aksesori.

“Kenapa sayang?” soal Firdaus cemas.

“Abang bawa balik perempuan mana ni? Kenapa perfume Ana tinggal sikit?!” Sakit hati Adriana melihat minyak wangi Flora by Gucci yang sudah hampir habis. Seingatnya dia baru membelinya sebelum meninggalkan rumah mereka dulu. Wajah Firdaus yang serba salah lagi menguatkan syak wasangkanya.

“Ana sayang, sebenarnya...abang yang pakai perfume Ana.”

What?!”

“Serius sayang, abang rindu sangat dengan sayang jadi abang pergi kerja pakai perfume sayang. Nak tidur pun abang sembur dulu perfume tu kat bantal sayang baru abang boleh tidur kalau tak memang degil mata ni nak lelap.” Adriana terus menuju ke arah katil mereka. Sah! Memang ada bau minyak wanginya di bantal. Sekarang dia tak tahu nak marah ataupun mengetawakan suaminya. Aduilah macam-macam!

“Tak apa sayang. Esok abang beli baru untuk sayang ye?” Firdaus terus memeluk Adriana dari belakang. Setakat minyak wangi, seratus pun Firdaus boleh beli untuk isteri kesayangannya ini.

“Abang, Ana nak buat confession.”

Spit it out then.”

“Ana ‘kidnap’ perfume abang.” Adriana mengeluarkan minyak wangi Polo Blue milik Firdaus dari tas tangannya. Suka sangat dengan bau Firdaus sehingga dia membawa minyak wangi suaminya ke mana sahaja dia pergi.

“Oh patutlah abang tak jumpa perfume abang hari tu. Nasib baik memang abang selalu beli lebih. Alah lepas Ana tak ada hari tu, memang abang dok bantai perfume Ana je.”

“Pergi kerja pun?”

“Yup. Sampai kena tegur dengan makcik cleaner tapi abang buat tak tahu je.” Adriana membalas pelukan Firdaus. Tak sangka mereka ada tabiat pelik yang sama.


“Janji dengan abang, lain kali kalau ada apa-apa salah faham tanya abang dulu. Kita bincang dan cari penyelesaian. Jangan lari dari abang lagi.” Adriana hanya mampu mengangguk. Ini baru sebulan rumah dah tunggang-langgang dan minyak wangi jadi mangsa. Kalau lagi lama...haiish tak payah fikirlah sebab dia berazam untuk menjadi isteri yang terbaik untuk Firdaus.

Saturday, March 8, 2014

Cerpen: Berlari ke Syurga

sumber dari sini.    

Ahli-ahli usrah ummi yang duduk berkumpul diruang tamu aku pandang sekilas sebelum melemparkan senyuman kepada ummi. Rumahku memang dijadikan tempat perjumpaan pada setiap malam Jumaat. Kakiku kubawa ke dapur. Gelas dicapai dan diisi dengan air suam. Sudah menjadi tabiatku untuk minum air suam sebaik sahaja pulang dari mana-mana. Punggung kulabuhkan ke kerusi. Dengan bacaan basmallah, aku meneguk minumanku mengikut sunnah junjungan mulia Rasulullah S.A.W. Dari dapur, kedengaran suara ummi yang baru sahaja mahu memulakan aktiviti usrahnya. Ruang tamu dan dapur yang hanya dipisahkan dengan batuan marmar paras pinggang membolehkan aku melihat wajah ummi dari tempat dudukku.

"Assalamualaikum semua? Alhamdulillah dengan izin Allah kita dikumpulkan disini pada hari ini dan insyaAllah kita akan berkongsi ilmu serta memperbaiki diri. Baiklah kita ada ahli yang baru sahaja menyertai usrah kita. Boleh perkenalkan diri dan ceritakan sedikit tujuan kamu menyertai usrah?"

"Assalamualaikum semua! Saya Najla dan saya masuk usrah sebab saya nak pergi meminang Inche Gabbana!"

'Puuuuuuurrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrr!" Tersembur air yang sedang kuminum. Gadis bertubuh tinggi yang sedang berdiri dengan yakin aku perhatikan dari kalangan ahli usrah ummiku. Wajahnya tidak langsung menunjukkan yang dia malu dengan kata-katanya tadi.Wajah ahli usrah yang lain tak usah ceritalah, masing-masing tercengang. Paling ketara Makcik Sameah, akhawat yang paling lama berusrah dengan ummiku. Jiran sebelah rumahlah katakan..

Perlahan aku bangun dan mengatur langkah ke bilik tidurku dengan senyuman.



"Mubarak, ummi nak tanya." Aku terus menutup buku yang sedang kubaca lantas mengambil tempat disebelah ummiku yang sudah duduk dibirai katil.

"Ya ummi?"

"Siapa Inche Gabbana tu?" Soalan yang sudah dapat kujangka. Sejak dari tamat perjumpaan dengan ahli usrahnya aku lihat ummi seperti sedang memikirkan sesuatu. Ummi, tak akan senang duduk jika tidak mendapat jawapan.

"Tak silap Mubarak, Inche Gabbana tu penulis blog dan daie, ummi," jawabku seringkas yang mungkin. Siapa tak kenal penulis blog Angel Pakai Gucci? Setiap entri boleh mencapai ribuan atau mungkin jutaan pembaca. Entri yang memberi nasihat, pandangan dan yang paling penting dakwah. Di Facebook, penulis blog ini juga sentiasa menulis status-status yang bisa menyentuh hati para pembaca.

"Oh begitu. Terkejut ummi tadi bila anak usrah ummi cakap nak pinang Inche Gabbana tu. Ummi ingatkan artis mana entah." Aku hanya mampu tersenyum. Biasalah macam-macam gaya anak remaja sekarang ini. Tapi sekurang-kurangnya gadis tadi ingin meminang seorang daie. Mungkin dia ada sebabnya yang tersendiri.

"Ummi,bukan ke usrah ummi ni untuk makcik-makcik sahaja? Macam mana budak tu boleh termasuk usrah ummi ni?" Giliran ummi pula tersenyum. Wajah putih bersih ummi tak perlukan sebarang solekan. Pipi dan bibir ummi merah secara semulajadi. Ramai jugalah pakcik-pakcik yang meminang ummi setelah arwah walidku meninggal dunia namun ummi tolak secara baik dan untuk mengelak dari terus diganggu, ummi mengenakan niqab. Kasih ummi hanya pada arwah walid dan kini katanya dia mahu mengumpul saham akhirat supaya dapat bersama dengan arwah walid di syurga kelak..insyaAllah.

"Tak kisahlah Mubarak. Asalkan dia mahu belajar masuk usrah mana pun tak apa kan?" Aku menganggukkan kepala tanda setuju.

"Esok kerja kan? Tidur awal, boleh bangun qiam nanti. Assalamualaikum," pesan ummi sebelum bangun dari duduknya. Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Sudah menjadi kebiasaan ummi untuk tidur awal dan bangun malam untuk menunaikan solat-solat sunat. Amalan nabi dan para sahabat yang membuahkan pahala.

"Waalaikumussalam. InsyaAllah ummi." Tangan ummi kugamit dan kukucup dengan penuh kasih. Ummi seorang wanita yang tabah dalam membesarkan aku selepas arwah walid pergi menemui Illahi. Ummi mengambil upah menjahit dan pada waktu pagi menjual nasi lemak dihadapan rumah kami. Setelah aku tamat pengajian dan housemanship, aku menyuruh ummi berhenti bekerja kerana giliran aku pula menyara ummiku. Ummi bukan jenis yang duduk diam. Terus sahaja dia berusrah dan mengajar kanak-kanak mengaji Al-Quran secara percuma.



"Awak...awak?" Aku segera menoleh ke arah suara yang menegur. Wajah gadis itu kuteliti. Macam pernah nampak...

"Awak anak Ustazah Hasnah kan?" soal gadis itu dengan wajah teruja. Aku hanya mengangguk. Bila masa pula ummi aku jadi popular ni?

"Ye ada apa yang boleh saya bantu?"

"Macam ni, saya nak tanya kalau nak meminang orang lelaki, saya kena bawa tepak sirih juga ke? Amalan ni kira adat orang Melayu ke memang kita orang Islam kena buat macam tu?" Wajah kudus + selamba gadis itu aku pandang dengan muka tak percaya.

Okey aku dah ingat dah budak perempuan ni! Ini betul-betul serius nak pergi meminang Inche Gabbana yang identiti luarnya tak diketahui ramai.

"Itu adat Melayu kita sahaja. Islam ini mudah. Jika suka pada seseorang lelaki, perempuan itu boleh menghantar wakil untuk menyatakan hasrat. Tak payah nak tepak sirih dan hantaran bagai. Oh lelaki itupun tak payah nak duduk bersimpuh sopan dekat pelamin," jawabku dengan senyuman. Gadis itu tersenyum puas hati.

"Okey terima kasih ye! Lain kali kalau nak tanya apa-apa saya cari awak ye?" Ah sudah! Karang lain pula yang jadi.

"Err..saya rasa lebih baik kalau cik terus tanya pada ummi saya jika ada apa-apa kemusykilan sebab jika cik berjumpa saya seorang diri macam ni akan menimbulkan fitnah," dengan cermat akan menyuarakan kebimbanganku. Bukan aku tak mahu tolong tapi kena ingat diantara perempuan dan lelaki bukan mahram ada yang ketiga.

"Oh bukan apa, kadang-kadang tu nak tanya tapi belum sempat apa-apa dah kena jeling dengan makcik-makcik dalam bulatan gembira tu." Wajah mendung gadis itu kupandang kasihan. Antara sebab-sebab dijeling tak lain tak bukan adalah kerana sifat gadis ini yang suka bertanya soalan-soalan yang agak pelik dan ekstrem pada golongan makcik-makcik itu padahal ummi relaks je.

"Okeylah macam ni, lain kali kalau nak tanya apa-apa, tanya masa makcik-makcik tu dah balik. InsyaAllah ummi saya tak ada masalah bab-bab nak menjawab pertanyaan cik." Cadangan yang aku harap membantu. Wajah gadis itu kelihatan seperti sedang berfikir sebelum mengangguk.

"Okey. Oh nama saya Najla. Tak payahlah nak ber'cik-cik' sangat dengan saya." Tangannya dihulur kepadaku untuk bersalaman. Aduh ummi tak cerita pasal aurat antara lelaki dan perempuan lagi ke kat dia ni?

"Err..nama saya Mubarak. Maaf kita bukan mahram jadi tak boleh bersentuhan." Senyuman seikhlas mungkin kulempar pada Najla.

"Oh sorry..saya ni bab-bab agama memang fail." Tangannya ditarik semula dengan wajah selamba.

"Baiklah kalau tak ada apa-apa saya nak gerak dulu."

"Mubarak!"

"Ye?"

"Kirim salam kat ummi ye?" Aik bila masa pula ummi aku ambil dia jadi anak angkat? Aku hanya mengangguk sebelum berjalan menuju ke keretaku.



"Mubarak dah ada calon menantu untuk ummi ke?" Soalan tiba-tiba dari ummi membuatkan aku sesak nafas. Masuk kali ini dah tiga kali ummi bertanyakan tentang calon menantunya.

"Err..kenapa ummi? Ada orang datang meminang Mubarak ke?" selorohku untuk menenangkan diri. Teringat pula pada Najla yang hendak meminang Inche Gabbananya. Dah pergi pinang ke belum? La...apahal pula aku teringat kat budak tu hari-hari minggu ni?

"Hmm tadi makcik Sameah bertanyakan tentang kamu, anak dia si Asilah tu macam berkenan dengan kamu." Gulp! Biar betul! Serius aku kurang berkenan dengan Asilah yang selalu aku nampak melepak dekat benteng dengan lelaki-lelaki yang entah dari ceruk mana. Aduilah macam mana nak jawab? Aku tak mahu buka aib orang..

"Ummi, biar Mubarak buat isikharah dulu boleh? Tapi jujur Mubarak cakap, Mubarak tak ada perasaan pada Asilah tu." Ummi hanya senyum. Bukan sifat ummi untuk memaksaku. Dari kecil lagi, dia tak pernah memaksa aku untuk melakukan apa-apa kecuali bab-bab menjaga ibadah solat dan adab pergaulan.

"Tak apa Mubarak, ummi tolong tanyakan sahaja. Nanti apa-apa beritahu ummi ye?"

"InsyaAllah ummi." Dengan umur yang lagi berapa tahun nak ke 30, aku tahu ummi teringin untuk melihatku mendirikan rumah tangga tapi apakan daya, jodoh itu ditangan Allah.



"Assalamualaikum." Seperti kukenal sang pemilik suara tapi berlainan sungguh luarannya

"Waalaikumusalam."

"Mubarak! Ni Najla lah!" Mungkin dia melihat aku seperti tak kenal akan dia lalu dia memperkenalkan diri.

"Oh Najla..alhamdulillah Najla dah berhijab mengikut syarak." Dengan baju kurung dan tudung yang mengikut syarak, Najla tampak lebih sopan dan kulihat wajahnya juga lebih ceria berbanding dulu.

"Alhamdulillah berkat usaha ummi yang sabar mendidik saya. Okeylah Mubarak saya nak beli barang ni. Kirim salam kat ummi ye? Assalamualaikum."

"Waalaikumusalam. InsyaAllah.." Najla memang berusaha untuk berubah. Boleh kata Najla sering ke rumah untuk berguru dengan ummi walau bukan pada hari usrah pun. Ummi memang seronok apabila ada teman dirumah dan dari cerita ummi, Najla rajin bertanya dan sanggup mentelaah kitab-kitab koleksi ummi untuk mendalami ilmu agama. Pergh adakah ini penangan cinta Inche Gabbana?




Cukup tiga malam aku membuat istikharah. Aku bermimpi berlari berkejaran di sebuah padang rumput yang luas bersama seorang gadis. Apabila gadis itu berpaling, aku memang terkejut besar lantas terjaga dari tidurku. Biar betul!!

"Ummi, Mubarak dah buat keputusan.." wajah ummi terus ceria apabila mendengarkan keputusan yang aku telah buat. Aku tak tahu sama ada aku membuat keputusan yang tepat atau tidak tapi hati aku tenang apabila menyuarakan hasratku pada ummi.




"Alhamdulillah, mereka terima Mubarak." Wajah ceria ummi kupandang dengan penuh kelegaan. Dadaku terasa dipenuhi oksigen semula. Dari tadi aku berdebar menunggu keputusan diluar perkarangan rumah teres dua tingkat itu.

"Tapi, si dia nak bertemu dengan Mubarak sebentar." Ummi menunjukkan ke arah gadis yang sedang berdiri ditepi buaian didalam kawasan rumah. Aku hanya mengangguk lalu berjalan menuju ke arah gadis yang sudah menjadi tunanganku kini.

"Assalamualaikum." Salam kuberi sebaik sahaja gadis itu berada didalam 'radius' selamat. Jarak diantara aku dan dia tidak terlalu jauh dan tidak terlalu dekat. Masing-masing ingin menjaga ikhtilat.

"Waalaikumusalam," jawab si gadis lantas menundukkan pandangan.

"Kenapa pilih saya?" soalan yang terus dilontarkan oleh si gadis membuatkan aku tersenyum.

"Sebab saya rasa awak pilihan yang tepat untuk saya insyaAllah.."

"Awak sendiri tahu niat asal saya untuk berubah kan? Jadi kenapa masih mahu meminang saya?" soalnya lagi.

"Itu dulu dan kini saya dapat lihat yang awak ikhlas berubah kerana Allah dan bukan kerana Inche Gabbana lagi. Betul kan Cik Nur Najla Marissa?" Najla terus tersenyum lalu mengangguk perlahan.

"Alhamdulillah. Ummi nasihatkan saya supaya berubah kerana Allah bukan kerana manusia lain. Awak tak nak tanya ke apa niat saya nak pergi meminang Inche Gabbana tu?" Aku menggeleng kepala.

"Saya rasa awak akan beritahu juga bila awak dah sedia."

"Baik saya beritahu sekarang supaya awak boleh balik dan fikir sama ada awak mahu teruskan pertunangan ini atau tidak okey?" Aku berfikir sejenak sebelum mengangguk. Najla memalingkan pandangan ke arah pokok-pokok bunga dihalaman rumahnya.

"Dahulu saya seorang yang hanya Islam pada kad pengenalan dan tak pernah pun menjalankan tanggungjawab saya kepada Allah. Mungkin kerana wajah saya tak seperti orang Melayu maka orang tak kisah pun bila saya makan secara terang-terangan di bulan Ramadan atau masuk ke kelab-kelab hiburan. Ye, ayah saya Canadian dan ibu saya pula berketurunan Cina kerana nenek saya dulu masuk Islam sebab kahwin dengan lelaki Melayu. Sejak dari kecil saya tidak diberi didikan agama dari keluarga. Tambahan pula, saya dimasukkan ke sekolah antarabangsa dimana subjek agama Islam boleh diambil jika saya mahu dan terus terang saya katakan yang saya tak berminat langsung untuk belajar tentang agama Islam." Mengucap panjang aku mendengar cerita Najla. Kulihat ada air mata yang mengalir dari sudut sisi wajah Najla. Apakan daya, dia bukan mahramku untuk aku kesat air matanya dengan jariku sekarang.

Dengan mengambil nafas panjang, Najla meneruskan penceritaannya. "Entah macam mana, satu malam tu semasa saya sedang online mencari baju baru untuk ke parti hari jadi kawan saya, saya termasuk website Inche Gabbana tu. Entah apa kejadahnya blog yang diberi nama Angel Pakai Gucci itu. Sangka saya blog perempuan yang suka shopping." Najla ketawa sebelum menyambung kembali ceritanya.

"Entri yang saya baca ialah "Pada Firaun Ada Harapan", seluruh tubuh saya menggigil dan air mata tu tak usah ceritalah memang turun laju kalah Niagara Falls. Esoknya saya bertanya kepada kawan-kawan saya macam mana saya nak mendalami Islam. Semua pakat gelakkan saya dan terus mengatakan yang saya dah buang tabiat nak mati. Saya tinggalkan mereka dan terus berjalan-jalan seorang diri dekat kawasan perumahan awak tu. Tengah jalan-jalan tu saya terdengar suara seorang perempuan yang tengah macam menyanyi tapi lain macam pula lagu tu. Saya terus mencari-cari suara itu and guess what? Itu suara ummi awak yang sedang mengaji. Bila saya cakap saya nak belajar agama dengan ummi awak, dia terus senyum dan mengajak saya untuk menyertai usrah malam tu. Balik je rumah syaitan mula menghasut saya. Saya macam terfikir betul ke apa yang saya buat ni? Saya endahkan dan malam itu saya pergi juga ke rumah awak."

"Balik sahaja dari usrah saya macam hilang keyakinan sebab semasa mereka bertilawah, saya hanya membaca tafsir sebab saya memang tak reti mengaji. Pernah juga saya terfikir nak berhenti menyertai usrah sebab saya rasa macam saya tengah memperbodohkan diri saya sendiri tapi bila saya fikir secara mendalam dan berbincang dengan ummi awak, saya rasa saya akan jadi lebih bodoh dan jahil tahap gaban jika saya berhenti sekarang dan kembali kepada kehidupan lama yang memang gelap tu. Alhamdulillah setelah belajar dan ummi yang tak putus asa dalam mendidik saya dari sekecil-kecil perkara sehinggalah saya faham apa itu Islam serta tujuan hidup, saya tahu yang saya dah buat keputusan yang tepat dan yakin Allah sayangkan saya. Sekarang saya sedang cuba mentarbiyahkan kedua ibubapa saya. Alhamdulillah mereka yang pada mulanya memandang pelik akan perubahan saya kini sudah mula menunjukkan minat."

"Jadi apa kaitannya dengan meminang Inche Gabbana?" tanyaku dengan penuh minat.

"Oh lupa pula nak cerita tang tu hahaha..okey sebelum jumpa ummi awak, saya ingat saya kena cari seorang lelaki yang boleh membimbing serta mentarbiyahkan saya dan ahli keluarga saya. Inche Gabbana pada ketika itu saya rasakan sebagai manusia yang paling tepat untuk saya pilih."

"Walaupun awak tak tahu rupa dia macam mana?"

"Yup! Nekad sungguh ketika itu. Bila difikirkan balik, kenapa harus saya harapkan orang lain untuk berubah dan bukan saya sendiri yang memulakan usaha untuk berubah?" Aku mengangguk tanda setuju. Aku mengambil nafas sebelum menyuarakan pandanganku.

"Najla, bersyukurlah yang awak diberi hidayah dari Allah dan dibukakan jalan untuk kembali kepadaNya. Saya tak kisah jika awak ada masa lampau yang gelap kerana apa yang didepan mata saya sekarang yang saya pandang dan insyaAllah saya akan cuba menjadi seorang yang boleh membimbing awak untuk kita sama-sama berlari ke syurga Allah." Kulihat matanya mula bergenang dan mengucap syukur.

"Baiklah Najla, jumpa pada hari akad nikah kita nanti. Assalamualaikum." Najla menjawab salamku sebelum masuk semula ke dalam rumahnya. Ummi yang dari tadi memerhatikan kami dari dalam rumah kulihat meminta diri untuk pulang. Tenang hatiku setelah berbicara dengan Najla. Siapa aku untuk menilai Najla dari masa lampaunya? Dia diantara manusia yang beruntung kerana diberikan hidayah dari Allah dan aku sendiri telah melihat usahanya untuk menjadi seorang muslimah. Sesungguhnya aku dapat rasakan yang aku sebenarnya yang bertuah kerana dipilih oleh Najla.




Beberapa bulan kemudian....

"Ummi!! Ada entri baru dari Inche Gabbana!!" Aiseh jeritan keterujaan Najla membuatkan aku terkejut seketika.

"Mana? Mana?" Ummi yang berlari-lari dari dapur sudah hilang ayunya. Sekarang seronok pula dia melayan menantunya yang asal online sahaja buka blog Inche Gabbana. Ummi sekarang dah jadi pengikut tegar Inche Gabbana dek terjebak dengan Najla ni.

"Pergh...kalau ummi ada anak perempuan memang ummi pinangkan Inche Gabbana ni untuk anak perempuan ummi tu." Najla yang sudah terkekeh ketawa membuatkan aku tersenyum. Hmm dia teringat kisah 'dolu-dolu' dia lah tu

"Amboilah korang...Mubarak kat sini pun dah jadi invisible dek melayan sangat blog tu." Najla tersengih lalu memaut manja lenganku.

"Aiseh, ini worang sudah jealous ka?" Hidung mancung Najla kutarik. Geram betul dengan isteriku yang nakal ini.

"Oh ye, Najla dah tempah dah tempat untuk kita bercuti. Abang dah ambil cuti kan?" Ummi yang masih melayan entri Inche Gabbana membuatkan aku tersenyum sebelum mengangguk. Sejak berkahwin, aku dan Najla tinggal bersama ummi. Bukan aku tak mampu untuk membeli rumah tapi kerana ingin menjaga ummi dan ummi tak mahu berpindah dari rumah peninggalan arwah walid. Alhamdulillah Najla seorang isteri yang sangat memahami dan dia memang 'kamcheng' dengan ummi aku. Rumah tangga yang dibina bakal bertambah serinya dengan kelahiran anak sulung kami insyaAllah empat bulan dari sekarang. Ummi dan isteri, dua wanita yang menjadi sumber kekuatan. InsyaAllah kami sekeluarga sama-sama berusaha berlari menuju ke syurga Allah.

p/s: sila layan cerpen ni sementara penulis nak update entri baru ye (^-^). Oh ye penulis dah minta kebenaran Inche Gabbana untuk masukkan dia dalam cerpen penulis yang amatur lagi tak boleh blah ni..keskeskes~ jika ada sebarang kesilapan sila tegur ye.